Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Thursday, December 6, 2012

Jariku Menari Bukan Kerana Publisiti :)

Assalamua'laikum.. :)
Saya cuma nak panjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerana telah menilai usaha dan niat saya.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. :)
Beberapa bulan yang lepas, saya ada hantar artikel kat iluvislam.com . Em, tak sangka pula berjaya. Alhamdulillah. Saya teringin nak hantar artikel kat situ sebab pembacanya lebih ramai kalau nak dibandingkan dengan pembaca kat blog saya. Maklumlah, blog saya ni 'kecil-kecilan' je. Hehe.
Sebenarnya, saya menulis bukan sekadar suka-suka. Melalui cerita yang saya tulis, saya nak sampaikan suatu mesej yang Insya-Allah berguna buat pembaca sama ada yang tersurat mahupun yang tersirat.

Yang saya hantar hari tu, sebenarnya cerpen. Tapi, iluvislam publish it under category of 'Inspirasi'. Tak apa, yang penting saya dapat sampaikan sesuatu buat umat di luar sana. Kalau berminat nak baca, silalah ke link ni ya? :-



Ataupun jenguk yang ini, (link untuk cerpen asal) :-


Alhamdulillah, cerpen ini juga mendapat tempat di hati pihak yang menganjurkan pertandingan menulis cerpen sempena Malam Media Islam di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS). Walaupun memenangi tempat ketiga, saya tetap sangat bersyukur, Alhamdulillah. Tapi, saya ada edit dan tambah-tambah sikit. :)

Alhamdulillah, 'insiden-insiden' yang terjadi ni memberi dorongan untuk saya terus bergiat menulis walaupun hanya di blog 'kecil-kecilan' ni. Hihi ;)

Jariku menari bukan kerana publisiti... :)
Biarlah pemilik jari tidak dikenali, asalkan dikenali di mata Ilahi...

Akhir kata, ikhlaskanlah niat ketika beribadat. Insya-Allah. Insya-Allah. Insya-Allah. Aaaaamiiiin... :)

Wassalam. :)

* Senyum itu sedekah. Hehe :)

Monday, December 3, 2012

Aku Kerdil. Kau ?


Benar. Aku berasa sungguh kerdil sekali. Subhanallah. Hebat sungguh mereka. Perjuangan diteruskan melalui pena. Alhamdulillah, melalui penulisan mereka, aku tersedar.

Hidup ini tidak lama. Sungguh singkat dan lebih singkat daripada singkat yang telah kita bayangkan. Kita cukup tahu bahawa hidup ini tidak lama, namun kenapa kita masih tetap dalam keadaan alpa dan leka...?
Kita tahu bahawa ajal itu akan datang pada bila-bila masa, namun kenapa kita masih membatu dengan dengan amal yang masih di tahap sederhana? Langsung tidak mahu meningkatkan amalan dari masa ke masa? Masih berada di takuk yang lama? Aduh....! Sampai bila?

Ya Allah. Aku tidak mahu kelalain ini terus bersarang dalam diri. Aku tidak mahu kealpaan ini terus memakan dari hari ke hari. Sungguh, aku tidak mampu bertahan dengan kelekaan ini. Aku hanya mampu bersama iman yang sentiasa ingin mekar dan segar dari saat demi saat. Namun, syaitan kerap kali datang menjerat sehingga diriku menjadi seakan-akan tersekat. Nafsu juga semakin bermaharajalela di saat syaitan datang menghampiri. Ah......! Iman aku meronta-ronta ingin berlari melepaskan diri lalu syaitan kembali menghasut mengikut kreativiti tersendiri. Nafsu pula menilai membuta tuli. Drama dalam diri semakin berlanjutan, mencipta cerita yang semakin berderetan. Ah......! Segala-galanya kerana aku tidak mahu bangkit membina kekuatan! Aduh....! Sampai bila?

Kadangkala, apabila kita hendak menyampaikan sesuatu kebaikan, mungkin akan ada manusia yang akan berkata,
"Alahhh.. Kau tu suruh orang buat baik, tapi kau tak baik pun....!"  

Benar. Susah untuk berubah. Tetapi, siapa yang berkuasa menukar gelap kepada cahaya? Hidayah itu milik Allah. Hati ini juga milik Allah. Jadi, apa-apa yang ada dalam hati ini, tidak akan ada sesiapa yang tahu melainkan Allah. Jadi, saya mahu menyeru setiap insan, janganlah terus hendak menilai seseorang begini dan begitu kerana kita tidak tahu yang tersirat disebalik fikiran dia. Kita tidak tahu yang tersirat dalam benak dia.  Mungkin dari segi tindakan, dia kurang menzahirkannya tapi dari segi penilaian Allah pada hatinya, siapa yang tahu? Mungkin hatinya sangat cantik pada pandangan Allah walau kelihatan tidak cantik pada pandangan manusia. Jadi, janganlah ada antara kita nak menilai ikut rasa hati sendiri. Siapa kita untuk menilai insan begini dan begitu...?

* Gambar 'print screen' di atas, hanya sekadar ingin berkongsi sebab musabab aku menaip di blog pada hari ini. Sekadar gambaran buatmu wahai pembaca. Aku suka berkongsi jadi izinkan aku berkongsi. Bukan sekadar mahu membiarkan jari-jemari menari, tetapi mahu menzahirkan rasa di hati. Namun, bukan sekadar mahu menzahirkan rasa hati, tetapi mahu diriku dan dirimu memuhasabah diri.
Ya. Aku suka melakukan sesuatu itu secara bersama-sama supaya ukhuwah itu sentiasa segar di dalam jiwa.
Aku ialah aku. Kamu ialah kamu. Kamu tidak mungkin akan menjadi aku. Aku tidak mungkin akan menjadi kamu. Namun, kita saling memerlukan agar bisa mengingatkan. Kita saling mengingatkan agar bisa menguatkan. Kita saling menguatkan agar bisa melengkapkan. Insya-Allah. Insya-Allah. Insya-Allah.

Sebelum saya mengakhiri tarian jari-jemari saya pada hari ini, izinkan saya berkongsi lagi. Silalah baca jika ada kesempatan ya? Insya-Allah.

Biar saya beri sinopsis sikit :-

Beberapa hari ini, aku menyelak satu persatu....helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah SWT. Malam Pertama.... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang,mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan,biarlah Allah SWT juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.  

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu,aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang.... As-Syifa' aku adalah al-Quran,yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar,aku sedang memujuk gelora hati.Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut,begini rasanya orang-orang yang mendahului.  

"Kak Solehah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"  

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.  

"InsyaAllah,'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah SWT.Itu yang paling utama."


Syukran jiddan buat empunya blog Srikandi Asytari yang menjadi perantara dan Ukhtie Solehah Ashikin binti Muhammad yang empunya penulisan. Walaupun blog ukhtie kurang 'followers', itu semua tak penting. 'Followers' di sisi manusia sementara cuma, 'followers' di sisi Allah yang selamanya. Ingat, bukan penghargaan keduniaan yang kita harapkan, cukuplah keredhaan Tuhan yang menjadi impian. Insya-Allah. Insya-Allah. Insya-Allah.

Buat pembaca, izinkan saya untuk berkongsi dengan pembaca blog ukhtie yang istimewa ini. Walau tak pernah bersua, namun saya sangat tertarik dengan perjuangannya melalui pena dan penulisannya yang sungguh berbakat. Subhanallah. Sekiranya ada peluang, jenguk-jenguklah blog ukhtie ini ya? Pasti akan ada yang berkenan di hati. Insya-Allah.


Wassalam.
Wallahua'lam.




Tuesday, November 20, 2012

Aku bukan Fatimah Syarha


“Tut tut! Tut tut!”, telefon bimbitku berbunyi menandakan ada mesej yang baru masuk. Tertera nama seseorang yang muda setahun daripadaku.


‘Assalamua’laikum, kak. Apa khabar? Lama tak dengar cerita. Kalau ada pun, kat blog je. :D ’

‘Wa’alaikumussalam. Alhamdulillah, sihat. Adik apa khabar? SPM habis bila? :) ’, balasku.

‘Alhamdulillah, sihat juga. SPM habis 28 November ni. :) ’, balasnya.

‘Buat elok-elok ya.. Cayok2! ;) ’

‘Insya-Allah.. Kita akan buat sehabis baik...’

‘Insya-Allah... Hmmm.. Bagus ni, boleh jadi pelajar contoh. :D ’

‘Aamiin.. Kita nak jadi macam akak.. :D ’

‘Akak tak bagus mana. Adik boleh jadi yang lebih baik lagi..’

‘Mana ada.. Akak dah cukup bagus dah. Dah boleh jadi macam Fatimah Syarha dah. :)’

Aku menelan air liurku, ‘Gulp!’

Lantas hatiku berbisik, ‘Macam Fatimah Syarha...? Ya Allah... Fatimah Syarha jauhhhh lebih baik daripada diriku... Masya-Allah, adik. Adik tersalah dalam membuat penilaian ni... :( ’

Kemudian aku membalas mesejnya, ‘Taklah. Akak dengan dia macam langit dengan bumi... Huhu. ’

‘Kita tengok sama je... :) ’ balas adik tersebut yang tetap dengan penilaiannya terhadap diriku.

Aku termangu sebentar. Hati ini terus berbisik. Masih lagi bermonolog.
‘Mana mungkin aku dapat jadi sehebat Fatimah Syarha...?  Ya. Memang dia antara sumber inspirasi buat diriku. Tapi.... Aku memang takkan dapat jadi wanita sehebat dirinya di zaman ini. Fatimah Syarha sangat berani membahaskan isu-isu agama di khalayak ramai. Aku...? Fatimah Syarha sangat berilmu dalam pelbagai perkara. Sedangkan aku...? Fatimah Syarha sangat profesional dalam tindakannya. Aku...? Fatimah Syarha sangat menjaga prinsip yang dipegangnya. Aku...? Fatimah Syarha banyak berbakti buat umat dan mampu menghasilkan buku yang banyak dengan genre yang pelbagai. Aku...? Fatimah Syarha mampu menarik orang lain kembali kepada Allah melalui penulisannya, Subhanallah. Aku...? Fatimah Syarha mempunyai target yang jelas dalam hidupnya. Aku...? Kemungkinan besar, Fatimah Syarha banyak menghidupkan malamnya dengan menghadap Ilahi. Aku...? Waktunya banyak dihabiskan untuk menegakkan dan memperjuangkan agama Allah yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. Sedangkan aku...? Sungguh. Aku memang tidak akan mampu menjadi wanita sehebat dirinya.'

'Semoga Ustazah Fatimah Syarha tetap istiqamah dalam melakukan apa-apa kebaikan dan semoga sentiasa memperolehi ikhlas di dalam hatinya. Aamiin. Sungguh. Fatimah Syarha mempunyai banyak kelebihan berbanding diriku. Beliau jauhhh lebih baik. Subhanallah. Sungguh. Aku bukan Fatimah Syarha. Jangan samakan diriku dengan dirinya. Aku tidak layak untuk dibandingkan dengannya sebegitu rupa. Walaupun sudah beberapa orang mengatakan bahawa aku seperti Ustazah Fatimah Syarha, aku tetap ingin berkata, “Tidak! Dia jauh lebih baik!”. Usahlah kalian menyamakan aku dengan dirinya. Jangan menilai aku dari beberapa sudut sahaja. Nilailah dari semua sudut, pasti kalian tidak akan dapat menemui persamaan antara aku dengan dia. Pasti!'


'Aku hanya mampu mencontohi perjuangan dan keperibadiannya tapi aku memang tidak akan sama dengan dirinya. Percayalah! Lagipun... Dia jauh lebih comel. Aku pula, tak berapa nak comel. Huhu. Alhamdulillah, aku bersyukur dengan apa-apa yang aku miliki. Aku akan cuba memperbaiki diri demi menggapai redha Ilahi. Fatimah Syarha sebagai salah satu sumber inspirasi. Mengapa...? Kerana melalui penulisannyalah, Allah mengurniakan hidayah-Nya buat diriku. Subhanallah. Alhamdulillah. Jadi, wahai adik serta teman-teman yang aku sayangi, AKU BUKAN FATIMAH SYARHA! Dia jauh lebih baik. Percayalah. Cuma, aku ingin memohon doa kalian supaya aku dapat mencontohi sifat-sifat yang baik yang ada pada dirinya. Mudah-mudahan. Aamiin. Aku hanya SYAHIDATULHUSNA yang masih belajar erti perjuangan. Yang masih mahu meneguk setitik ilmu. Banyak yang mesti aku belajar dan masih belum belajar. Doakan aku supaya dapat mencontohi sifat mahmudah yang terdapat pada dirinya. Sungguh! Aku BUKAN Fatimah Syarha! Jangan samakan aku dengan dirinya... Aku tidak pantas kok... :( ’

Ya Allah... Sedangkan hendak menjadi seperti Fatimah Syarha pun sungguh payah untuk aku lakukan, inikan pula hendak menjadi seperti para wanita yang telah dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t. Astaghfirullah... :(

Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Wanita syurga yang paling utama ialah : Khadijah binti Khuwailid, Fathimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiyah binti Muzahim (isteri Firaun)."
[Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ahmad, Thabrani, Thawawi dan Dhiya' daripada Ibnu Abbas. Disahihkan oleh Suyuthi dan Al-Albani]

Ya Allah... Bantulah aku dan seluruh kaum muslimin serta muslimat dalam mendekatkan diri kepada-Mu. Kurniakanlah hidayah-Mu kepada kami supaya kami tergolong dalam golongan orang-orang yang beruntung. Sungguh ya Allah. We are nothing without You. Please guide us. Aamiin ya Rabb. Sungguh. Kami benar-benar ingin menetap di syurga-Mu pada hari akhirat kelak. Jadi, mudahkanlah segala niat dan urusan dunia serta urusan akhirat kami. Rabbi Yassir wala Tua'ssir. Ya Tuhanku, mudahkanlah dan jangan Kau susahkan. Aamiin.... :'(

~ Sekadar nukilan dari hati. Beginilah diriku apabila hatiku ingin berbicara. Usahlah dikau menghalangnya. Biarkan hati ini terus berbicara. Berbicara, dan berbicara.... ~

~ Tepat-tepat habis menaip ketika azan Zuhur berkumandang. Semoga kita sama-sama mampu menjadi manusia yang sentiasa solat tepat pada waktunya. Ya. Itulah amalan yang paling UTAMA. Dan perkara PERTAMA yang akan dihisab oleh Allah s.w.t. di hari akhirat nanti adalah tentang SOLAT. Semoga kesedaran yang ada sentiasa disusuli dengan tindakan. Insya-Allah. Aamiin.

~ Isnin, 19 November 2012.



Friday, November 16, 2012

Wanita Pencari Syurga ~


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم :)
Kali ini, saya cuma ingin berkongsi sesuatu yang telah saya baca semalam. Saya ingin mengajak diri saya dan diri pembaca untuk bersama-sama memuhasabah diri.Saya ingin berkongsi tentang sifat-sifat wanita pencari syurga.


Okay. Straight to the point. Kata-kata ini yang agak terkesan pada hati saya :-
“Wanita pencari syurga semestinya berperibadi yang gemar berpuasa, tegar, ahli ibadah, patuh, beriman, bertaubat, bersyukur, sabar, taat kepada Rabbnya (penciptanya), taat kepada suaminya, menunaikan kewajipannya, mengasuh anak-anaknya, mendidik anak-anaknya, membimbing saudara-saudaranya, menasihati teman-temannya, memperhatikan hak-hak tetangganya, berbakti kepada kedua-dua orang tuanya, sayang kepada ibunya, mengevaluasi dirinya, mengawasi hatinya, sentiasa menautkan hatinya dengan langit dan merumputkan rohnya di kebun syurga.”

Penulis menyambung lagi. Kali ini lebih terkesan :-
“Wanita pencari syurga semestinya mengetahui hakikat waktu malamnya, saat manusia terlelap tidur... Mengetahui waktu siangnya, saat manusia mensia-siakannya... Mengetahui kesedihannya, saat manusia sedang riang gembira... Mengetahui tangisnya, saat manusia ketawa terbahak-bahak... Mengetahui masa diamnya, saat manusia banyak berbicara... Mengetahui kekhusyukannya, saat manusia berlaku sombong...
Semestinya dia (wanita pencari syurga) banyak menangis, bersedih, penyayang dan sedikit bicara. Janganlah dia menjadi orang yang kasar, lalai, berteriak-teriak, marah-marah, cemas, berakhlak buruk, egois, mengungkit-ungkit pemberian dan mengeraskan tangis.
Semestinya, hatinya selalu terpaut pada penciptanya... Semestinya dia mencintai-Nya dengan sebenar-benarnya...
Ya Allah, sesungguhnya kami memohon syurga-Mu dan berlindung kepada-Mu dari neraka.”

Begitulah tinta penulis (Dr. Mushthafa Murad) di dalam bukunya ‘The Greatest Women : Wanita Teladan Sepanjang Zaman’. Saat membaca tinta tersebut, hati ini dirundung duka. Mengapa? Kerana...hati ini masih tidak suci. Masih terdapat kotoran hitam di sana-sini.

Fikiran juga menerawang sama. Berat memikirkan tentang amal yang masih lagi sedikit bukan berbukit. Layakkah diri ini menginap di syurga-Nya nanti..? 

Di malam hari, diri ini tidak pula menghadap Ilahi. Hanya meneruskan mimpi yang sungguh enak sekali. Langsung tidak bermotivasi untuk berqiamullail apabila terjaga tiba-tiba di malam hari! Layakkah diri ini bersenang-senang di akhirat nanti...? Sedangkan, diri ini sudah terbiasa bersenang-senang di dunia yang fana ini...? 
Di siang hari, banyak waktu dihabiskan di atas katil sendiri. Menyambung semula mimpi yang enak sekali. Membiarkan nafsu tidur dituruti. Apabila timbul kesedaran dalam diri, barulah kembali menghadap Ilahi. Allahu Rabbi... Dho’fa quwwati... :’(


Sungguh...
Amal ibadah diri ini, masih lagi sedikit. Bagaimana jika tiba-tiba Allah Azzawajalla mencabut nyawa ini?

Ya Allah... Bantulah setiap hamba-Mu dalam mendekatkan diri kepada-Mu. Mudahkanlah segala urusan kami. Kurniakan petunjuk buat kami sepanjang perjalanan ini untuk menuju ke akhirat yang kekal abadi...

Ya Allah... Sedih sekali apabila memikirkan kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam diri ini. Gusarnya hati ini apabila memikirkan pandangan-Mu terhadap diri ini... Sudikah Engkau memandang hatiku yang masih mempunyai titik-titik hitam yang tidak terkira banyaknya..? Astaghfirullah...

Wahai teman..
Marilah kita sama-sama memuhasabah diri, antara semua ciri wanita pencari syurga yang dinyatakan oleh penulis sebentar tadi, berapa banyak sifat yang ada dalam diri kita? Berapa banyak pula yang masih TIADA dalam diri kita? Allahu Akbar.... Astaghfirullah... :’(

Setelah menilik diri sendiri, tanyakan soalan ini kepada diri kita,
“Wanita pencari syurgakah kita? Layakkah...?”

Ya Allah...
Ayuhlah wanita. Marilah bangkit semula dari segala kelalaian ini. Yang namanya ajal itu, tidak pernah mengenal usia sama ada tua ataupun muda.

Sungguh...
Lidah ini kelu sekali untuk meneruskan kata-kata apabila bicara mengenai ajal. Diri ini takut. Takut sekali. Takut kecundang di alam barzakh. Jika awal-awal sudah kecundang, bagaimana pula yang seterusnya..? Ya Allah... Takutnya diri ini. Takut tidak layak untuk menghuni syurga-Nya namun tidak terdaya pula diri ini menghuni neraka-Nya (nau’zubillah).

Kitaran sebagai hamba Allah s.w.t. :-
* Andai kecundang di salah satu daripadanya, maka kecundanglah untuk yang seterusnya. Kita sekarang berada di alam dunia. Selagi masih ada nyawa dikandung badan, selagi itu kita masih punyai peluang untuk betulkan kesilapan. Itupun kalau kita nak berjaya di alam barzakh dan akhirat. Insya-Allah. Semoga kita sama-sama dapat mengubah diri kita ke arah yang lebih baik. Dah masuk 1434H dah... Bila lagi nak berubah kalau bukan sekarang? Insya-Allah. Rabbi yassir wala tu'assir. Ingat, target kita : MARDHATILLAH (keredhaan Allah).

Renungan bersama. Wallahua'lam. Wassalam.

Friday, November 2, 2012

Ini Tentang Saya ~


بسم الله الرحمن الرحيم

Saya menulis di sini pada hari ini bukanlah untuk menceritakan keaiban diri sendiri. Saya hanya ingin menyatakan rasa hati yang telah saya pendam beberapa hari. Tiada seorang pun yang tahu apa yang sedang saya fikirkan kecuali Allah dan kamu yang membaca post ni. :’(

Dah beberapa hari saya bazirkan masa yang terluang macam tu je. Dulu saya tak macam ni. Sekurang-kurangnya, lepas saya dah tidur lama sikit pagi tu, saya takkan tidur untuk waktu petang. Saya akan sibukkan diri dengan benda-benda lain. Kerja-kerja lain. Tapi, saya tak tahu kenapa saya rasa malas sangat-sangat beberapa hari ni. :’(


Kalau dulu, lepas je bangun tidur waktu pagi tu, walaupun kadang-kadang dah agak lewat (ni kes tidur lepas Subuh), saya akan terus bangun dan sibukkan diri dengan kerja-kerja rumah. Basuh kain, sapu rumah, kemas rumah, memasak, lipat kain, pastu, tolong mak lepas mak dah balik kerja.

Tapi kali ni, saya tahu saya dah lewat bangun tidur tapi saya buat rilexxxx je...... Saya rasa biasa. Kalau dulu, ada rasa menyesal tu tapi sekarang? Astaghfirullahhhh... Kenapa dengan aku????? Hati dah keras ke? Nau’zubillah.... :’(

Dahlah dah tidur lama pagi tu, petang tidur lagi. Pastu, malas nak memasak. Serba-serbi malas. Ya Allah....
Sebenarnya, kat kolej, saya dah berjaya untuk tak tidur lepas Subuh. Saya sibukkan diri dengan kerja-kerja lain yang lebih penting yang saya boleh buat. Bila saya tak cukup tidur, baru saya akan tidur lepas Subuh. Cuma kadang-kadang terlajak jugak sampai ke 10am lebih. Kadang-kadang pukul 11am. Pernah sekali pukul 12pm. Mau tak gelabah! Tak pernah-pernah tidur sampai pukul 12pm! Terus menyesal. Sejak dari tu la saya berazam untuk tak tidur lepas Subuh. Saya berjaya dengan misi saya tu. Memang kat kolej, saya padatkan aktiviti saya. Walaupun saya rasa penat sangat, tapi saya puas dan gembira sebab saya dapat habiskan masa dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Saya rasa gembira sangat sebab saya berjaya ubah apa yang saya nak ubah.

Waktu hari raya haji hari tu, saya balik rumah dengan harapan saya akan istiqamah dengan apa yang saya cuba ubah. Mula-mula memang hampir menjadi. Sampailah satu masa tu, seseorang telah buat hati saya terguris dengan kata-kata yang dilontarkannya. Saya terus patah semangat. Rasa kecewa sangat dengan kata-kata dia. Saya cuba untuk berfikiran positif. Tapi saya tak tahu kenapa saya tak boleh. Saya betul-betul tertekan. Dicampur lagi dengan masalah yang saya tengah hadapi sekarang, saya betul-betul serabut. Si dia masih menge’point’ saya. Saya betul-betul serabut.

Terguris + Masalah-masalah = Stress

Kali ni saya betul-betul lemah. Orang selalu kata saya kuat. Kuat dalaman. Huh? Kuat ke ni?? Kali ni saya betul-betul lemah. Sangat tertekan. Sangaaaattttttt. Sampai affect kat tindakan seharian saya. Disebabkan saya malas nak fikir semua benda ni, saya pun banyakkan tidur dan biarkan rasa  malas menyelubungi diri. Huh! Memang saya tahu tindakan saya ni tak patut pun. Tapi apa gunanya kesedaran tanpa sebarang tindakan???? Memang tak patut!

Saya tak tahu kenapa saya macam ni. Tak. Sebenarnya saya tahu kenapa. Saya terlalu ikut perasaan dan nafsu. Sampai bila? Selama-lamanya? Astaghfirullah. Saya kena hadapi semua ni dengan sabar dan tenang.
Tetiba saya rasa saya tak layak untuk memberi nasihat terhadap orang lain. Apa guna post perkara-perkara Islamik tapi saya sendiri tak Islamik? Ajak orang buat baik tapi saya sendiri tak baik? Huh. I’m so terrible! :’(

Saya sendiri terumbang-ambing tapi ada hati nak membimbing?? Ya Allah.... :’(

Saya tak nak jadi orang yang macam dalam firman Allah ni :-
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”
(Surah As-Saff, ayat 2 dan 3)

Ya Allah.... Tolong aku.... :’(

Kamu yang membaca, tolong doakan saya... :’(

Saya tak tahu kenapa saya menjadi selemah ini gara-gara hati terguris dek kata-kata manusia yang bersifat sementara cuma.. Ah! Semua kerana saya terlalu ikut perasaan!

Semalam, saya terbaca firman Allah ni :-
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”
(Surah Al-‘Ankabut, ayat 2)

Ayat ni betul-betul menyedarkan saya. Allah sedang menguji saya untuk menguatkan lagi iman saya. Jadi, kenapa saya perlu jadi selemah ini?? Tidak! Saya mesti kuat! Saya tak boleh jadi lemah macam ni! Kalau betul cintakan Allah dan rasul-Nya, saya mesti kuat! Saya tak boleh mengalah macam tu je dengan syaitan yang sedang bersorak gembira dengan perubahan negative yang saya dah buat untuk beberapa hari ni. Ya. Aku mesti kuat! Aku kena tabah! Hidup kat dunia ni sementara je. Semua yang saya hadapi ni sementara je. Kehidupan di dunia adalah untuk akhirat. Saya tak boleh gagal dalam ujian ni. Saya kena LULUS dengan cemerlang! Saya kena bangkit balik untuk bina kekuatan diri! Saya kena bangkit dari segala kemalasan ini!

Allah sedang uji saya. Itu tanda cinta-Nya. Allah nak uji tahap keimanan saya. Takkan saya nak mengalah tanpa berusaha membuktikan bahawa saya benar-benar hendak menggapai redha-Nya?

Target : Mardhatillah

So, jangan mengalah! Bangkitlah!


Ingat! Hidup kat dunia ni sementara je. Hidup di akhirat yang abadi selama-lamanya. Firman Allah :-
“Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui.”
(Surah Al-‘Ankabut, ayat 64)

Jadi, tak payahlah nak layan sangat perasaan dan nafsu jahat tu....~

Kembalilah kepada-Nya. Allah memang Maha Mengetahui segala isi hati.

Di saat saya tengah serabut macam ni, banyak petunjuk yang saya jumpa melalui ayat-ayat cinta-Nya dalam Al-Quran. Banyak sangat. Alhamdulillah, ya Allah... :’(

Jadi, saya kena sambung semula mujahadah saya. Mesti! semoga Allah mudahkan. Saya percaya dan yakin, Allah akan sentiasa bersama dengan orang-orang yang ingin menggapai redha-Nya. Firman Allah lagi dalam surah Al-‘Ankabut, ayat 69 :-
“Dan orang-oarng yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.”

Antara masalah yang saya tengah hadapi sekarang ialah masalah yang berkaitan dengan urusan sambung belajar saya. Memang saya rasa teruji sangat. Sekarang, saya tengah cuti sem. Cuti sem start dari cuti raya haji hari tu. Tapi, lepas saya cuti sem ni, saya cuti terus. Faham-fahamlah ye...

Tak faham? Maksudnya, saya kena berhenti belajar dari kolej tu. Pembiayaan kat kolej kan mahal.... Mula-mula rasa macam boleh biayai perbelanjaan kat situ, tapi rupanya tak. Baitulmal pun tak diluluskan lagi. Memang agak sedih la sebab kena berhenti. Siapa yang tak sedih???


Masuk kolej tu pun sebab tak dapat tawaran dari mana-mana IPTA. Jadi, sambunglah kat IPTS. Walaupun result SPM agak ok (Alhamdulillah), tapi saya memang tak dapat mana-mana tawaran IPTA. Takpelah. Saya pasrah. So, sekarang saya menganggur. Berhenti dari kolej. Dan masih tak sure nak sambung kat IPTA mana. Tapi, tinggal lagi satu je peluang : UPSI. Result keluar 30 November ni. Do pray for me, okay? Kalau saya tak dapat UPSI (Nau’zubillah), saya kena stay dulu kat rumah (berterusan jadi penganggur kalau tak dapat kerja yang sesuai), pastu, apply balik UPU untuk tahun 2013 pulak. Ya Allah.... :’(

Walauapapun, saya tersedar sesuatu lepas baca firman Allah dalam surah Al-‘Ankabut jugak, ayat 62 :-
“Allah melapangkan rezeki bagi orang yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya dan Dia (pula) yang membatasi baginya. Sungguh, Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Saya tersedar. Ayat cinta daripada Allah ni, kembali menyedarkan saya. Saya je yang kena yakin dengan Allah sebab Allah dah aturkan yang terbaik. Insya-Allah.


Saya sedang kembali mendidik diri untuk menilai sesuatu dengan mata hati. Bukan dengan membuta tuli atau nafsu jahat yang kian menguji.

Saya mesti meneruskan misi bermujahadah saya! Biarlah orang nak mengata, yang penting bukan Allah yang mengata.

Nilaian manusia sementara cuma, nilaian Allah yang abadi selamanya....~

Semoga saya mampu sentiasa tersenyum seperti Rasulullah s.a.w. walaupun bermacam-macam perkara yang bermain di benak ini.... Insya-Allah. Mudah-mudahan. Ameen~



~Khamis,
~1 November 2012,
~1630.

Wednesday, October 10, 2012

Tafsiran Surah Al-Asr + Asbabun Nuzul Surah Al-Masad & Al-Kafirun :)


Assalamua'laikum semua :)
Kali ni, saya nak kongsi tentang apa yang saya dah belajar untuk subjek Tahfiz. Maklumlah, final exam dah nak dekat. So, sambil-sambil saya buat revision tu, terdetik pulak nak share kat blog. Saya dapat manfaat daripada revision saya, pembaca dapat manfaat apa yang dibca. Alhamdulillah, saja nak kongsi ilmu ni. Biar melekat dalam kepala otak. Insya-Allah. Selamat membaca! Boleh tambah ilmu tau! :)

***

TAFSIRAN SURAH AL-ASR

سورة العصر

Tafsiran :
·        Ayat 1
- Allah bersumpah dengan masa (jika Allah bersumpah dengan makhluk-Nya, maksudnya, makhluk itu mulia dan ada kepentingan)

·        Ayat 2
- Allah mengatakan semua insan berada dalam kerugian.

·        Ayat 3
- Allah memberikan pengecualian kepada orang-orang yang mempunyai ciri-ciri berikut :
Ø ءامنوا = beriman dengan rukun iman.
Ø وعملوا الصلحت = melakukan banyak kebaikan.
Ø mengamalkan “amar ma’ruf nahi mungkar” (meyeru kebaikan, mencegah kemungkaran)


 ASBABUN NUZUL SURAH AL-MASAD & SURAH AL-KAFIRUN

سورة المسد


Asbabun nuzul = Sebab-sebab diturunkan :-
  • Pada suatu hari, Nabi Muhammad S.A.W  memanggil semua orang Mekah berkumpul di Bukit Safa untuk mengajak mereka memeluk agama Islam. Tiba-tiba, Abu Lahab bangun dan berkata,
تبا لك يا محمد !  ’’ ( Taban laka ya Muhammad! ) = “Celakalah Engkau wahai Muhammad!” . Maka, turunlah surah ini.

Info :-
1. Nama sebenar Abu Lahab ialah Abdul Uzza bin Abdul Mutalib.
2. Nama isteri Abu Lahab ialah Ummu Jamil.

*** 

سورة الكافرون


Asbabun Nuzul = Sebab-sebab diturunkan :-
  • Pada suatu hari, sekumpulan orang Quraisy berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W dan sahabat-sahabat-nya. Mereka memberikan tawaran untuk bertukar agama ; orang Quraisy akan masuk Islam dalam tempoh SETAHUN manakala orang Islam akan menyembah berhala juga selama SETAHUN. Maka, turunlah surah ini.

Monday, October 8, 2012

Aku vs. Nafsu


Sejak akhir-akhir ini, rasa malas menyelubungi diri. Aku tak tahu kenapa aku tiba-tiba lemah. Lemah yang tersangat lemah. Acapkali aku bertarung dengan nafsu sendiri. Mujahadahku masih tidak berada di tahap yang tertinggi. Istiqomahku terbang melayang. Diriku terhuyung-hayang. Hidupku tunggang terbalik. Hatiku berbolak-balik.


Namun.... Dalam masa yang sama, aku masih boleh tersenyum. Seolah-olah 
tiada apa-apa yang mengganggu benakku. Zahirku nampak tenang, walhal dalamanku kelam dan kusam.



Kadangkala, aku terasa identiti diriku yang dahulu semakin melangkah pergi. Aku tak tahu kenapa aku! Kenapa aku menjadi selemah ini...? Sedangkan dahulu aku mampu berdiri dengan penuh dedikasi walau banyak perkara yang membelenggu diri.



Wahai teman-teman yang mengenali diri ini, tolonglah doakan aku. Sungguh! Aku sangat rindu diriku yang dahulu. Diriku yang mula-mula berhijrah dulu. Aku tak ingin terus bergelumang dalam kelalaian. Tak mahu! Seksa sekali, kamu tahu?



Ketahuilah teman, tak bermakna apabila aku tersenyum, aku gembira. Tak bermakna aku menangis, aku sengsara.
Boleh jadi, aku tersenyum kerana aku ingin menyembunyikan kesengsaraan dan kesedihan.
Boleh jadi, aku menangis kerana aku ingin menyembunyikan kegembiraan.



Sesungguhnya, yang zahir itu tak semestinya menggambarkan yang batin.



Tolonglah doakan aku sentiasa. Insya-Allah, doa untuk kaum muslimin dan muslimat sering kupanjatkan dalam doaku.

Aku tidak pernah menganggap diriku sempurna, namun aku seringkali idamkan kesempurnaan. Bolehkah begitu? Aku sedar kelemahanku, namun tindakanku kadangkala tidak menggambarkannya. Bolehkah begitu? Aku sering bermuhasabah diri, namun acapkali aku mengulangi kesilapan yang sama berulang-kali. Bolehkah begitu? Kata orang, apabila jatuh, bangun kembali. Allah SWT sentiasa di sisi. Subhanallah.. Allah Al-Hadi, maka mengapa masih meragui? Coretanku ini hanya sekadar coretan hati. Untuk mengemis nasihat daripada sesiapa yang sudi. Sudikah kamu yang membaca coretanku ini? 

Kekasih = Tunang? Upss!


بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamua’laikum :)
Saya nak bercerita ni. Informal type of writing.
*Again. ^^

Mun kitak orang mok baca, baca jak. Mun kitak orang sik mok, sik pa bah... ^^v
Okay. Ceritanya macam ni....

Beberapa minggu yang lepas, saya ternampak kawan sekelas saya buka Twitter masa kelas Komputer dan Aplikasi (sepatutnya tak boleh, tambah-tambah pula, lecturer dah pun start kelas tu).


Saya ada tegur juga. Saya kata, “Awak. Class dah start la. Lecturer suruh tutup.”

Dia senyum je. Saya ingat dia dah bertindak untuk tutup Twitter tu. Tiba-tiba saya terpandang sekilas Twitter yang dia buka tu, dan saya nampak gambar lelaki terpampang besar.

Masa tu, saya dah ada sangkaan yang kurang baik terhadap dia. Disebabkan takut terjadinya su-uz zhon (buruk sangka), saya tanya dia, “Siapa lelaki tu?”

“Boyfriend.....” jawab dia sambil tersenyum.

‘Astaghfirullahal ‘azhim... Nau’zubillahi min zalik... Ya Allah, bantulah aku untuk menguatkan imanku’, bisik hati saya.

Dan ada suatu hari ni, saya ternampak gambar lelaki yang sama kat wallpaper di handphone dia.
‘Astaghfirullahal ‘azhim... Angau dah budak ni. Nau’zubillahi min zalik..’, getus hati saya selepas itu.

Kebetulan, ada orang lain ternampak juga wallpaper kat handphone dia tu lalu tanya, “Gambar siapa ni?”

“Kalau ikut syariat, dia ni kira tunang saya la. Kalau ikut adat, belum lagi. Sebab, kalau nak diikutkan syariat, if saya dan dia dah setuju untuk diijab kabulkan suatu hari nanti, maksudnya dah tahu perasaan masing-masing dan dapat menerima diri masing-masing, so, kitorang kira dah bertunang la. Jadi, kalau ada orang datang nak meminang saya, tak bolehlah. Sebab saya ni dah dikira sebagai tunangan orang.”

Saya terangguk-angguk tanda mengiyakan kenyataannya sebentar tadi. Namun, anggukan saya tak bermakna saya setuju dengan cara dia dan ‘tunang’ dia berhubung! Bertwitter secara berlebihan... Time class pun, dia boleh layan twitter. Tak focus langsung! Nau’zubillah... Lepas tu, tangkap gambar dekat-dekat. Dan macam-macamlah... Masya-Allah... Astaghfirullah... Nau’zubillah.... :(


“Eh, awak tahu?” tanya dia kepada saya.

“Oh, saya tahu la juga sikit-sikit.” balas saya. (Kalau apa yang saya tahu ni salah, tolong betulkan eh.)

“Awak sekolah agama ke dulu?” tanya dia lagi.

‘Err.. Pelik juga soalan tu ye.. Ada kaitan ke...?’ kata saya dalam hati.

“Eh, taklah. Saya sekolah biasa je. Sekolah harian.” jawab saya.

“Ohh... Saya dari sekolah agama....” kata dia.

Saya angguk saja.

Tapi dalam hati berbisik, ‘Dari tempat yang baik-baik rupanya dia sekolah. Sayang sekali.. Sungguhku tak sangka... Semoga dia diberi hidayah oleh Allah.. Lindungi aku daripada fitnah ya Allah...’

Dan pada hari berikutnya, dia tunjuk gambar raya dia dan ‘tunang’ dia kat saya.

Astaghfirullah... Dekat sangat diorang tangkap gambar. Rapat sangat diorang duduk. Na’uzubillah :(

Ada satu gambar tu, tangan kiri dia pegang bahu kanan lelaki tersebut dari belakang. Tak sure pula saya siapa yang tangkap gambar diorang berdua tu.

Saya tanya, “Kenapa pegang?”

Dia jawab, “Time ni ramai sangat orang kat sekitar tu. Terpaksa la pegang. Kan berlapik...”

‘Huh? Alasan.... :( Boleh pula ye keluar dengan lelaki ajnabi...? Mana boleh pegang even berlapik sebab masing-masing ada perasaan terhadap diri masing-masing! Lagipun, tak sampai tahap darurat pun kan untuk tanganmu berpaut di bahu lelaki tu... :(‘ hati saya menjerit dan merintih!

Tak tahu nak cakap macam mana kat dia... Takkan la dia tak tahu sedangkan pendidikan agama dia lebih tinggi daripada saya :(

Saya ajukan satu soalan kat dia.
“Mak dengan ayah awak tak marah ke awak tangkap gambar macam ni?”

“Tak marah. Bukannya kena pun.”

‘Oh... Macam tu ek? Sedangkan dalam al-Quran hanya mention pasal “jangan mendekati zina”, bukan “jangan berzina”. Maksudnya, perkara yang nampak macam kecil tu yang akan bagi impak yang besar! Tidakkah kamu mengambil pelajaran? Hanya orang-orang yang berfikir sahaja akan benar-benar berfikir sesuatu dengan lebih mendalam.’ getus saya dalam hati lagi. Rasa tak mampu untuk meluahkan semua kata-kata yang bermain di fikiran sejak bertemu dengan sesuatu seperti ini.

Saya bingkas bangun dari tempat duduk (yang bersebelahan dengan dia) lalu berjalan menuju ke sekumpulan kawan yang lain. Tak mampu untuk mendengar dan melihat sesuatu yang nampak indah di mata kasar manusia namun sebenarnya hanya nista dan dusta semata-mata. Saya tidak mahu tertipu. Ya Allah...... ! Kuatkanlah diriku.....!


Diri ini hanya untuk orang yang betul-betul serius nak jadikan saya sebagai isteri dan bukan dengan cara yang menghancurkan iman saya! Semoga Allah pertemukan saya dan bakal suami saya dengan cara yang baik-baik. Yang sama-sama ingin menggapai redha-Nya. Allhumma Ameen...~

Mogalah. Insya-Allah. Yang penting solehahkan diri dulu. Gapai cinta Allah. Rajinkan lidah ni untuk mengalunkan selawat. Bukannya, dok begayut dengan lelaki ajnabi. Tak kisahlah boyfriend ke... Tunang syariat ke.... Tunang adat ke.....

First thing first! Ingat  tu! ----> pesanan untuk saya juga ye...

Dan selepas tu, cuba jadi anak yang baik.. Usaha... Yang penting usaha. Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang tersirat dalam benak kita.
Bila dah sempurna step-step nya, baru boleh dapat gelaran solehah. Solehah di mata dan nilaian ALLAH, bukan manusia ya! Cuba fahamkan betul-betul, okay?

Semua pesanan ni, untuk saya juga...
Kerana, saya tak sempurna. Saya manusia biasa. Bukan seperti rasul dan nabi, yang maksum abadi....
Saya hanya manusia yang hanya ingin memperbaiki diri. Yuk! Sama-sama muhasabah diri...

Cuba ubah sikit-sikit perangai buruk kita ya... Memang susah, tapi selalulah doa :

ربي يسر ولا تعسر
(Rabbi yassir wala tua’ssir)

Maksudnya : Ya Tuhanku, mudahkanlah dan jangan Kau susahkan. Ameen~

Sekian dulu untuk waktu ni ya. 
Wallahua’lam. 
Wassalam.

Tak mampu untuk mendengar dan melihat sesuatu yang nampak indah di mata kasar manusia namun sebenarnya hanya nista dan dusta semata-mata. Saya tidak mahu tertipu. Ya Allah...... ! Kuatkanlah diriku.....!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...