Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Monday, November 30, 2015

Home Quran & Home Tuition by Cik Husna :)

Assalamua'laikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, setelah sekian lama, terlaksana juga perancangan saya untuk melakukan pengajaran Al Quran dari rumah ke rumah. "Home Quran" ini adalah perancangan pertama saya sebelum saya membuka Akademi Al Quran saya sendiri yang in shaa Allah akan diselangi dengan pengajaran subjek-subjek akademik.

Kalau dulu, saya hanya mengajar anak-anak kecil membaca Al Quran di rumah saya sahaja, kali ini saya ingin membuka peluang kepada mereka yang ingin belajar membaca Al Quran di rumah mereka pula. Mungkin atas kekangan pengangkutan, masa dan sebagainya, membuatkan mereka menjadi agak sukar untuk meneruskan pembelajaran membaca Al Quran. 

Yang membuatkan idea ini tercetus apabila ada yang request untuk belajar membaca Al Quran di rumah mereka sendiri. Jadi, saya mula mengatur perancangan yang lebih serius apabila saya semakin menyedari bahawa saya memang benar-benar menyukai bidang mengajar ini. Ditambah pula dengan pengalaman menjadi guru Al Quran di Akademi Alif, Kota Damansara selama satu setengah bulan, saya menjadi semakin bersemangat untuk membuka Akademi Al Quran saya sendiri suatu hari nanti, in shaa Allah.

Semasa saya minta bantuan Ustaz Hilmi Hanis (Pengasas Akademi Alif) untuk war-warkan tentang Home Quran & Home Tuition yang saya buat ini, Ustaz benar-benar memberi sokongan yang penuh terhadap saya. Syukur, Alhamdulillah atas sokongan Ustaz. :)

Kata ustaz, 
"Tahniah, ustazah. Semoga dipermudahkan segalanya. Saya rasa ustazah memang sesuai dalam bidang ini."

Alhamdulillah... Bi iznillah...

Jadi, semoga dengan usaha kecil ini, saya dapat membantu apa yang saya mampu bagi mereka yang memerlukan bantuan saya. In shaa Allah. Semoga Allah memudahkan niat saya ini. Dan, semoga Allah sentiasa merahmati mereka yang sentiasa berusaha untuk membaca Al Quran dengan baik dan lancar.

Home Quran & Home Tuition ini saya buka kepada mereka yang tinggal di kawasan Damansara KL atau yang berhampiran dengannya sahaja. Misalnya, Damansara Perdana, Mutiara Damansara, Damansara Perdana, Bandar Sri Damansara, TTDI, Kg. Sg. Penchala, dan kawasan lain yang berdekatan dengannya.

Sekiranya berminat, terus sahaja Call / SMS / WhatsApp nombor saya ya. In shaa Allah. :)


Iklan tentang Home Quran dan Home Tuition ini, bolehlah 
disebar-sebarkan ya. :)


Logo Home Quran yang baru sahaja saya cipta. 
Okay tak? Hehe :)

Sekian sahaja daripada saya. Apa-apa nanti, bolehlah terus contact nombor telefon saya yang tertera di gambar tu ya. Sebab, jumlah pelajar sangat terhad. Maksimum, cuma 15 orang sahaja untuk permulaan ini. :) 

Iklan yang ini pun boleh disebar-sebarkan ya. :)
Syukran. :)

Semoga Allah meredhai kita semua di dunia dan di akhirat, in shaa Allah. Wassalam. :)

Thursday, November 26, 2015

Nikmatnya Hidup Ber-Tuhan

Saat ini, betapa Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang aku rasai.

Hanya satu yang dapat aku simpulkan setelah segala yang aku lalui iaitu;

Nikmatnya hidup ber-Tuhan.
Sangat nikmat.

Kerana, setelah segala keperitan hati dan keterujian iman yang aku lalui akan terasa lebih ringan, setelah aku mengingati Tuhanku.

ALLAH. Dialah Tuhanku. Satu-satunya Tuhanku. Tiada yang lain melainkan Dia.

Dalam hidup ini...
Banyak perkara yang telah memberi ibrah yang begitu berharga buat diriku ini.

Antaranya yang terpenting adalah tentang kebergantungan aku pada sesuatu.

Seharusnya, kebergantungan itu sepatutnya aku letakkan pada Allah semata-mata. Aku sedar akan itu. Namun, terkadang aku lupa. Terkadang, aku tetap meletakkan kebergantungan pada manusia. Terutama dalam meluahkan rasa keserabutan di hati. Sering saja mencari manusia sebelum mencari Sang Pencipta. 

Natijahnya, aku kecewa dan sedih sendiri. Kerana, apa yang aku kongsi tidaklah begitu dipeduli oleh orang yang telah aku pinjam telinganya untuk mendengar cerita dan luahanku.

Aku semakin sedar. Kebergantunganku masih lagi tak sepenuhnya aku serahkan kepada yang Maha Esa. Sebab itu, aku terlalu mudah meluahkan kepada manusia. Memang aku tidak meletakkan pengharapan yang tinggi kepada semua manusia di sekeliling, namun ada satu hal yang aku sedar;

Aku meletakkan pengharapan yang agak tinggi terhadap ****** sendiri.

Mungkin kerana sayangnya aku kepadanya begitu tinggi. Sebab itu, aku selalu mengharap dia juga akan menyayangi aku sepertimana aku menyayanginya tanpa ada elemen pilih kasih dalam curahan kasih sayangnya. Tapi, ternyata aku takkan pernah mampu memaksa hati orang lain walaupun ****** sendiri. Memang hatinya sudah begitu, aku takkan pernah mampu untuk memaksa.

Tapi, aku redha. Sekiranya memang ini takdir-Nya untukku, aku redha.

Biarpun kasih seorang **** juga tak dapat aku rasakan dengan sebaiknya, cuma secebis dan sipi-sipi sahaja pun, aku redha. 

Andai ini takdir-Nya untukku, aku redha.

Andai suatu hari nanti Allah mengizinkan aku untuk memiliki suami, aku cuma mampu berdoa supaya Allah mengurniakan aku seorang suami yang soleh dan dapat menyayangi aku sepenuh hatinya hanya kerana Allah semata-mata.

Apapun yang Allah ingin berikan kepadaku, aku redha. Aku cuma mampu berdoa dan berusaha yang baik-baik sahaja supaya aku boleh memliki keadaan yang baik, di dunia dan di akhirat.

Natijahnya, aku redha. Yang penting, aku berusaha sebaiknya supaya aku boleh menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik.

Wednesday, September 30, 2015

Apabila Dia Menikah

Terima khabar bahawa adik angkatku telah bernikah.
Alhamdulillah, kesyukuran telah aku luah.
Semoga pernikahannya diredhai oleh Allah.
In shaa Allah. :)

Mendengar khabar itu, jujurnya, terlintas sesuatu di benakku.
'Bila pula tiba masaku?'
Terdiam. Tak mampu aku menjawab pertanyaan itu.
Walaupun soalan itu datang daripada diriku.

'Bila? Di mana? Siapa? Bagaimana?'
Semua itu terserah kepada Dia yang Maha Segalanya.
Dia Maha Tahu betapa saat ini aku masih belum bersedia.
Walau di hati memang perasaan ingin menikah itu telah ada.
Ya, itu memang lumrah dan fitrah setiap manusia, lelaki ataupun wanita.

Mengapa aku kata aku belum bersedia?
Kerana...
Amalan aku masih belum sampai di puncaknya.
Terlalu banyak yang kurang dek kerana kelalaian sendiri.
Dek kerana terkadang aku mementingkan duniawi berbanding ukhrawi.
Terlalu banyak masa terluang yang terbuang.

Aku harus perbaiki diri aku yang terlalu banyak compang-campingnya ini.
Perlu istiqamah dalam setiap amalan sehari-hari.
Perlu lebih serius dan matang dalam setiap gerak-geri.
Ya. Aku harus sentiasa perbaiki diri.
Tidak boleh berasa diri sudah cukup baik kerana hakikatnya, orang yang baik tidak akan pernah merasakan dirinya sudah baik.
Aku mahu sentiasa 'upgrade' diri bukan kerana semata-mata kerana ingin menikah, tapi kerana mahu menjadi hamba yang sebenar-benar hamba buat Sang Pencipta.

Hati, aku mohon kau kuat.
Ya, kuat.
Bukankah kau mahu menjadi hebat buat Dia yang Maha Melihat?
Jadi, kau harus kuat!

~ syahidatulhusna , Ipoh Perak , 0051 , 30092015 ~
~ sekadar coretan ringkas yang hanya menggambarkan secebis rasa hati ~



Saturday, August 29, 2015

Terserah Pada-Mu

Ya Allah. Terserah pada-Mu. Aku ikut mahu-Mu.

Apa yang berlaku pada aku sepanjang sem ni... aku redha.
Aku sedar... aku banyak silap. Segala yang berlaku, membuatkan segala kesilapan dan kekhilafan tersingkap. Bukan orang lain. Tapi diri sendiri.

Tersingkap banyak kekurangan diri. Aku muhasabah....

Mungkin aku pernah buat orang. Maka perkara yang sama berlaku pada aku. Allah itu kan Maha Adil. Allah beri aku satu tamparan hebat yang tak pernah aku duga. Selama ni, aku berasa begitu selesa dengan segala dosa yang aku buat. Aku rasa biasa. Padahal itu dosa.

Tapi...

Apabila tamparan itu dah terjadi, aku betul-betul tersedar. Dan menjadi sangat serius untuk memperbaiki diri. Usaha untuk buang segala yang negatif yang dah lama bersarang dalam diri aku.

Apa yang dah berlaku ni, mungkin juga suatu musibah untuk aku. Mungkin atas perbuatan-perbuatan jahat aku dulu, Allah balas dengan musibah sebegini.

Benarlah kata Nabi...
"Apa yang kamu buat tu, kamu akan dapat balik."

Jadi sekarang... aku sedang terima balasan daripada-Nya.

Maka, aku redha.

Andai dengan musibah ini, terampun segala dosa aku yang lalu, sungguh aku redha.

Aku redha, ya Allah....

Bantu aku untuk menjadi insan yang benar-benar pemaaf. Taat dengan ibadat, benci dengan maksiat.

Bantu aku ya Allah.

Aku tak perlukan nilaian dan sindiran atau pertikaian manusia. Aku hanya perlukan diri-Mu ya Allah.

Ya, hanya diri-Mu.

Kerana, apabila aku berjaya mendapatkan diri-Mu, maka aku akan dapat segalanya...

Segalanya...

- syahidatulhusna, 23 Ogos 2015, Dewan Jubli Perak PUO, 2254 -




Monday, August 24, 2015

Coretan: Tentang Aku & Facebook

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Lama sangat rasanya aku tak menghadap blog aku ni.

Ada banyak faktor yang menyebabkan aku dah lama tak update blog.

Facebook pun aku dah delete. Masa penghujung Ramadhan hari tu. Kiranya, dah beberapa bulan aku tak hidup 'bersama' Facebook. Kalau dulu, selalu sangat online Facebook. Asal ada internet je, Facebook lah yang banyak aku hadap.

Kalau dulu... masa zaman sekolah menengah dulu, terutama time Form 4 and Form 5, blog lah yang paling rajin aku hadap. Facebook kadang-kadang.

Tapi, tu lah. People changed kan.

Daripada tak ada Facebook langsung, habis PMR je, dah ada Facebook. Itupun kawan yang buatkan. Mana aku reti benda-benda gini dulu. Time mula-mula ada Facebook pun, aku tak reti guna. Terkial-kial. Bila dah penat terkial sana, terkial sini, aku malas dah nak godek Facebook.

Time Form 4 lah aku reti guna Facebook. Tapi tak berapa aktif. Status update pun, macam merapu je. Huhu. Gaya budak-budak. Lawak betul kalau baca balik. Haha.

Hmm. Sekarang.... aku dah tak ada Facebook langsung. Ada banyak faktor yang membuatkan aku delete facebook. Banyak faktor. Tapi, biarlah Allah sahaja yang Maha Mengetahui faktor-faktor yang banyak tu. Huhu.

Aku cuma nak cerita secara general je kat sini kenapa aku delete Facebook aku.

Masa bulan Ramadhan hari tu, Allah bagi aku ujian yang sangat aku tak duga. Ujian tu membuatkan aku banyak diam... berfikir... merenung diri.

Ujian yang Allah bagi pada aku time tu, memang satu tamparan yang hebat buat aku.

Aku muhasabah.

Mungkin juga ini musibah.

Jadi, aku banyak mengoreksi diri. Aku fikir... fikir... fikir...

Segala apa yang patut aku perbaiki, aku cuba sangat sangat untuk perbaiki.

Aku ambil banyak masa menyendiri.

Aku delete Facebook.
Aku delete nombor whatsapp yang lama. Tukar yang baru.

Twitter, aku memang dah delete sebelum aku delete Facebook.

Aku memang perlukan masa bersendiri masa tu. Dengan keluarga pun, aku tak banyak bercakap. Aku banyak diam........ Semuanya sebab aku sedang memuhasabah diri aku. Aku flash back balik segala dosa aku. Yang lampau... yang sekarang...

Sikap aku... Akhlak aku.... Ibadat aku.... Semuanya aku renung balik.

Ah. Ternyata terlalu banyak compang-camping dalam amalan seharian aku.

Masa aku nak delete account Facebook aku, memang itu sesuatu yang bukan mudah bagi aku.

Sebab aku memang seorang yang sangat aktif ber-Facebook. Seolah-olahnya, aku ni ialah seorang penulis yang tak bertauliah untuk Facebook. Banyak status update aku pasal Ibrah kehidupan. Aku share ilmu yang aku tahu... Kadang-kadang, aku share pengalaman hidup aku.

Tapi, kadang-kadang memang keikhlasan aku teruji. Bila banyak "like", aku rasa puas. Astaghfirullah... Padahal, "like" manusia ni, bukannya bawak ke mana pun. Kadang-kadang tu, aku berjaya tepis perasaan "mengharap like" tu, aku mujahadah untuk share kerana Allah. Biasalah, syaitan ni memang licik dalam menimbulkan rasa-rasa negatif dalam diri.

Cuma... Facebook membuatkan aku juga menjadi leka.

Aku rasa berdosa sangat pada Allah, bila aku lebih banyak buka Facebook daripada buka Al-Quran. Seriously, memang aku malu.

Hampir setiap hari (kalau ada internet), time buka je mata, aku mesti capat handset dan terus buka Facebook. Hampir setiap jam, mesti akan buka Facebook. Entah apa yang best sangat. Aku pun kadang tak paham. Padahal, duk scroll... scroll... sampai bila tak habis. Bila dah rasa penat (tu pun berjam-jam lamanya), barulah rasa nak stop.

Aduh.. Facebook yang sungguh melalaikan.

Aku duk renung-renung balik.... waktu aku ada Facebook dulu, purata buka Facebook lebih tinggi daripada purata buka Al-Quran.

Ya Allah! Malunyaaaa dengan Allah!

Sebab tu, aku terus tekad ambik keputusan delete account Facebook, walaupun time tu aku memang masih sangat aktif ber-Facebook. Memang agak susah.

Tapi, aku kata pada diri aku,

'Kalau perkara keduniaan sekecil ini pun kau tak mampu lepaskan dari hati kau, macam mana pulak kalau yang lebih besar?'

Allah.... Sebab tu aku tekad.

Ada yang kata macam ni pada aku bila aku bagitau yang aku dah delete Facebook,

"Buat apa nak delete Facebook? Yang salah tu, kau. Bukan Facebook. Kau tu yang tak reti guna Facebook."

Tak apa. Tu pendapat dia. Aku terima apa yang dia kata. Memang betul pun. Kalau orang tu pandai guna, pandai manfaatkan tanpa ada sebarang kelekaan, itu memang bagus. Orang tu memang patut ada Facebook. Sebab menggunakannya sekadar keperluan je. Tak berlebihan dan tak melalaikan.

Tapi, macam aku ni.... Aku kena perbaiki dulu. Bila aku rasa aku memang dah pandai menggunakannya sekadar keperluan je, Insya-Allah aku akan buat account Facebook yang baru. Tapi, buat masa ni, aku memang tak nak ada Facebook. Kalau selama-lamanya aku rasa aku tak patut ada Facebook, selama-lamanya lah aku takde Facebook. Huhuhu.


Dan, lagi satu faktor yang aku boleh kongsi kenapa aku tak nak ada Facebook, aku tak nak orang fikir aku ni terlalu baik dek kerana post-post aku yang Islamik tu. Aku tak kisah kalau orang nak doakan yang baik-baik untuk aku, tapi aku tak nak orang puji aku. Aku tak suka pujian yang melambung. Aku tak suka dilambung-lambung. Aku tak nak orang expect begitu dan begini tentang aku. Sebab, bila diorang expect aku ni adalah sosok yang begitu sempurna, bila diorang dah kenal dan nampak kelemahan-kelemahan diri aku, aku akan terus di judge tanpa belas kasihan.

Aduh! Sakitnya tuh di sini! **sakit di hati. kecewa banget sih jadinya**

Dan yang paling aku tak nak, adalah beberapa jejaka yang ingat aku ni sangat solehah, dan expect macam-macam pasal diri aku. Aku tak nak! Aku tak suka orang expect aku ni begitu solehah dek kerana ilmu-ilmu yang aku kongsi... dek kerana fikrah yang aku share... dek kerana post-post Islamik aku.... Aduhhh. Tu semua masih tak menggambarkan kesolehahan diri seseorang. Aku masih belum solehah, tapi sedang berusaha menuju ke arah itu. Kalau ada yang fikir aku ni begitu solehah, jika kurangnya amalan soleh aku sehari-hari ketika aku down, mesti orang tu akan terus judge aku. Terus tak jadi manusia yang first time aku jumpa. Terus lain. Yalah, sebab kecewa. Sifat aku tak seperti yang dijangkakan.

Aku ni cuma manusia biasa. Aku memang takkan sempurna. Kalau ada yang mengharapkan kesempurnaan daripada aku, maaf aku tak mampu. Yang aku mampu ialah aku akan sentiasa memperbaiki diri aku. Segala kekurangan aku..... aku akan cuba atasi dengan kelebihan yang aku ada. Mujahadah. Memang bukan mudah, tapi kita ada Allah. Mohon bantuan Dia yang Maha Segalanya.

Doakan aku, semoga berjaya mencapai solehah di mata-Nya, bukan di mata manusia semata-mata.

Salah satu sebab aku tak delete blog "Jalan Yang Lurus" ni, aku nak menulis dalam keadaan tak ada sesiapa kenal aku. Kenal nama je.

"SyahidatulHusna"

Aku tak delete blog, sebab aku masih sangat mencintai bidang penulisan. Impian untuk menjadi penulis, masih tertanam dalam diri aku walaupun kadangkala ia pudar, kadangkala mekar.

Pudar, sebab aku rasa aku tak layak. Aku terlalu banyak kekurangan. Rasa macam tak layak nak sebarkan kebaikan.

Mekar, sebab aku rasa semua orang pernah buat silap dalam hidup. Semua orang turun naik imannya. Jadi, semua orang layak. Semua orang boleh jadi pendakwah. Pendakwah memang tak sempurna.

Tapi.. pendakwah ni tak bermakna, dia dah baik. Tapi dia sedang berusaha menjadi baik dan dalam masa yang sama nak ajak orang buat baik sama-sama dengan dia.

Itu yang aku cuba buat.

Kita sama-sama jadi baik ya?

Kalau kamu yang sedang membaca ni sedang ada masalah dalam hidup, and need someone to talk to, boleh emel aku, okay?

husna_layyinah@yahoo.com

Salah satu minat aku, aku nak jadi kaunselor. Sebab tu kalau ada yang minta pendapat aku dalam sesuatu hal, insya-Allah aku akan cuba bantu.

Doakan aku ya, semoga aku berjaya menjadi insan yang hebat di mata-Nya.

Insya-Allah. Allahumma Aamiin!

- syahidatulhusna, Ipoh, 1930, 240815 -


Wednesday, February 11, 2015

Coretan : Derma Darah Menjadi Kenangan Terindah... :)

“Kempen Derma Darah”.

Baiklah, saya cuba. Walaupun dulu, saya pernah tidak berjaya hendak mendermakan dek kerana tekanan darah yang rendah, tidak mengapa. Kali ini, saya akan cuba. Manalah tahu, hari ini boleh. Mungkin kali ini sudah layak.

Saya mengisi borang. Kemudian, memeriksa kelas darah. Cuba teka jenis darah saya apa?

O. Ya, O. Alhamdulillah dan Insya-Allah, darah saya ini bernilai sangat-sangat kerana sesuai untuk dipindahkan kepada mana-mana golongan darah sekalipun. Alhamdulillah... :)

Setelah itu, saya ke kaunter pemeriksaan tekanan darah. Berdebar jugalah. Takut-takut tidak lepas. Tapi..... Alhamdulillah! Semuanya stabil. Semuanya dalam keadaan baik. Jadi, tercapailah hasrat saya untuk menderma darah pada kali ini. Alhamdulillah...

Berdebar? Of course lah.... First time... Kan. Huhu. Dalam keadaan jantung yang berdegup kencang, saya mengambil tempat untuk menunggu giliran. Berdebar-debar. Dup dap dup dap.

Kemudian, debaran semakin terasa. Giliran saya sudah tiba! Salah seorang jururawat wanita di situ mengarahkan saya untuk bangun dan mengambil tempat yang sudah kosong.

‘Allahu rabbi. Dapat tempat kat sebelah lelaki la pulak. Rapat pulak tu kedudukan tempatnya.’, getus hati saya.

Lama saya merenung katil tersebut tanpa bergerak dari tempat duduk saya. Selepas itu, saya lihat seorang jururawat lelaki menarik katil tersebut supaya berjarak sedikit dari katil lelaki tadi. Saya rasa bersyukur kerana jururawat lelaki tersebut memahami. Saya lantas bangun dan bergerak ke arah katil tersebut.

Saya diarah supaya duduk, kemudian berbaring sedikit dan menyinsingkan lengan. Allah... Dup dap dup dap jantung saya dibuatnya. Takut dan segan, bercampur baur. Takut; kerana itu adalah kali pertama saya menderma darah. Segan; kerana terpaksa menyinsingkan lengan. Biarpun ada armsock yang saya pakai, namun warna kulit tangan saya tetap dapat dilihat. Allahu! Malunya! Sudahlah katil saya bersebelahan dengan lelaki. Semakin seganlah saya dibuatnya.

Tapi, Alhamdulillah. Mujurlah jururawat lelaki itu memakai sarung tangan getah. Jadi, ketika dia mencucuk jarum dan alat-alat yang sepatutnya pada tangan saya, saya tidak begitu khuatir kerana sifatnya yang ‘menjaga’.

Setelah dia siap memasang segala benda yang sepatutnya, dia tiba-tiba melakukan sesuatu yang tidak saya duga. Mahu tahu apa?

Dia meletakkan kain di atas bahagian tangan saya yang terbuka. Dia menutup bahagian aurat pada tangan saya! Sungguh, saya betul-betul tidak sangka. Kemudian, saya memandang sekeliling. Saya perhatikan setiap perempuan yang turut menderma darah ketika itu. Tidak pula tangan mereka ditutup oleh apa-apa kain biarpun lengan baju mereka disinsing. 

Allahu... Tiba-tiba rasa terharu. Dengan Sang Pencipta. Sungguh, Dia Maha Memahami segala isi hati. Biarpun tidak saya nyatakan, namun Dia faham. Lantas, dikabulkan segala niat baik yang terbuku. Alhamdulillah, rasa bersyukur sangat pada Allah. Dihadirkan kepada saya, seorang jururawat yang memahami dan menghormati saya sebagai seorang Muslimah, walaupun dia jururawat berjantina lelaki. Sungguh, rasa terharu dengan sifat jururawat lelaki tersebut. Semoga Allah sentiasa merahmati dia. Aamiin. :’)



Saturday, January 31, 2015

Gred Bukan Segala-galanya

Orang selalu fikir yang bergelar “pandai” ialah orang yang dapat gred yang tinggi dalam exam. Bagi mereka, yang “pandai” itu ialah budak-budak yang dapat result SPM yang kebabom. Yang selalu dapat 4 flat. Yang selalu score setiap test yang lecturer buat. Pokoknya, yang dapat gred yang tinggi-tinggilah.
Tapi.... tidak bagi saya. For me, soal “kepandaian” bukan bergantung pada gred semata-mata. Ia lebih daripada itu.
Ramai juga yang tanya saya, “Husna dulu SPM dapat berapa?”
Saya suruh mereka teka. Ada yang teka, saya dapat result yang rendah. Ada yang teka, saya dapat 5A. Ada yang teka, lebih dari apa yang saya dapat.
Apabila saya jawab, “Saya dapat 8A time SPM dulu...”
Mereka yang bertanya terus respon, “Wahhhh. Pandainya Husna...... Pandainya......”
Saya senyum je. smile emoticon
Sebab, gelaran “pandai” itu masih belum layak untuk saya. Masih dalam proses. Mereka kata saya “pandai”, hanya kerana gred yang saya dapat. Bukan kerana faktor-faktor lain yang lebih luas.
Saya teringat kata-kata yang saya baca dalam coretan Aiman Azlan,
“Your grades do not determine your self-worth.”
“Keputusan peperiksaan kamu tidak menentukan nilai kamu sebagai seorang individu.”
Saya sangat setuju dengan apa yang diperkatakan. Sebenarnya, yang penting dalam soal menuntut ilmu ini, bukanlah tentang gred yang kita dapat. Yang penting ialah, sejauh mana penghayatan ilmu di dalam dada. Kalau kita dapat gred yang tinggi pun, tapi tiada penghayatan ilmu, apa guna?
Saya teringat kejadian yang sering berlaku sewaktu exam. Ada yang sanggup meniru hanya kerana mahu markah yang tinggi. Sedarlah kawan....
Apa guna tinggi markahmu, tetapi kau meniru?
Hanya semata-mata kerana markah, kau sanggup hilang barakah?
Jangan terlalu obsess pada nombor sehingga kau sanggup buat sesuatu yang boleh mendatangkan murka Allah.
Hayati kata-kata yang dikeluarkan oleh Aiman Azlan ini:
“Keputusan peperiksaan ada kepentingannya, tetapi tidak ada kaitan dengan nilai keseluruhan seseorang individu. Sekiranya kita tidak cekap dalam sesuatu perkara, itu tidak bermakna kita tidak cekap dalam semua perkara. Islam jelas prinsipnya dalam hal ini. Islam tidak menekankan manusia untuk obsesi pada keputusan akhir. Islam menekankan supaya bersihkan niat, cuba yang terbaik, dan bertawakal kepada Allah.
Walau apapun keputusan akhirnya, sama ada menepati keinginan diri ataupun tidak, seorang Muslim itu tetap akan bersyukur kerana pahala daripada Allah tidak bergantung pada keputusan akhir. Tetapi, bergantung pada niat dan usaha. Allah menghargai usaha kita, bukan keputusan akhir kita.”
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Al-Insan, ayat 22:
“Sesungguhnya, segala pemberian ini adalah untuk kamu sebagai balasan, dan adalah usaha amal kamu di dunia dahulu, diterima dan dihargai oleh Allah.”
Jadi, usah kecewa jika mendapat gred yang biasa-biasa sahaja. Gred bukan segala-galanya. Yang penting kita mencuba untuk lakukan yang terbaik dan sentiasa berusaha. Allah Maha Menilai setiap inci usaha kita. Ingat, penghayatan ilmu adalah yang lebih utama, bukan gred semata-mata.
Jangan obsess dengan nombor, tau. smile emoticon
Dan, jangan sedih jika dapat markah yang biasa-biasa sahaja. Tanya semula pada diri, "Kenapa perlu sedih kalau kita memang sentiasa gigih berusaha? Tawakkal 'allallah!"
Semoga kita sentiasa setting niat,
“Sahaja aku belajar, kerana Allah Ta’ala.”
Ingat. Penghayatan ilmu yang utama, bukan gred semata-mata. wink emoticon

Saturday, January 24, 2015

Coretan: Aku Mahu Kembali Menulis

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Alhamdulillah. Allah beri saya kesempatan untuk menulis sesuatu pada hari ini. Terlalu rindu hendak menulis. Rindu. Sangat rindu. Terlalu lama saya tidak meluangkan masa untuk menulis sesuatu yang bermanfaat buat diri dan ummah.

Tetapi hari ini.... semangat kembali menggugah. Alhamdulillah.

Semangat ini datang mungkin selepas saya membaca sebuah buku yang benar-benar menyentuh hati saya. Hati yang sangat dahagakan motivasi untuk terus menjadi muslimah yang berguna buat agama, bangsa dan negara.

Buku yang saya baca itu bertajuk, “Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti” yang ditulis oleh Hilal Asyraf dan Aiman Azlan. Kedua-duanya sama hebat. Masing-masing dapat menjadi contoh buat pemuda-pemudi zaman ini. Kedua-duanya mempunyai fikrah yang bagus ketika di usia muda lagi. Boleh dijadikan ikon buat sekalian remaja dan diri saya sendiri.

Salah satu bab yang ditulis oleh Hilal Asyraf ialah, “Berdakwah Melalui Penulisan”. Tatkala membaca fikrahnya yang ini, hati saya disentuh oleh sesuatu. Allahu Akbar. Saya dapat rasa seolah-olah Allah sedang ‘memanggil’ saya untuk menulis kembali. Memang ketika itu, hati saya betul-betul rindu untuk menulis. Cuma, kekurangan yang ada pada diri saya membuatkan saya terbantut untuk menulis. Barangkali saya lupa bahawa manusia tidak akan pernah sempurna. Barangkali saya lupa, setiap manusia pernah membuat silap dalam hidupnya. Begitu juga dengan saya. Saya bukan Nabi yang maksum abadi. Saya bukan malaikat, cuma mampu sentiasa beringat. Jadi mengapa langkah saya terhenti untuk menghasilkan sesuatu buat umat ini?

Allahu Akbar. Sayunya hati. Maafkan aku, ya Rabbi.


Pendakwah Manusia Sempurna

Saya teringat akan kata-kata Imam Hasan Al-Basri, “Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka, akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan.”

Benar. Jika kita menunggu kesempurnaan pada diri kita, ia ibarat menunggu bulan jatuh ke riba. Mustahil. Sangat mustahil. Manusia memang tidak boleh menjadi sempurna. Tetapi boleh sentiasa memperbaiki dirinya. Jika pernah melakukan kesilapan, perbetulkan. Jangan bantutkan perjuangan. Jika pernah jatuh, bangun kembali. Jika jatuh lagi? Bangunlah lagi! Walaupun berkali-kali telah jatuh, jangan pernah berputus asa untuk bangkit kembali. Hendak menjadi pendakwah itu, tidak perlu tunggu ketika diri sudah menjadi sempurna. Kerana, hakikatnya kita memang tidak akan pernah sempurna. Namun, sentiasalah perbaiki diri, sambil mengajak orang lain.

Dakwah ini, tanggungjawab semua. Setiap umat Islam ialah pendakwah. Tidak perlu menunggu gelaran “ustaz” atau “ustazah”, kita semua sememangnya memang bertanggungjawab untuk berdakwah. Tidak perlu juga menunggu untuk digelar “Da’i”, “Imam Muda”, “Ustazah Pilihan” dan sebagainya, sememangnya kita sudahpun menggalas tanggungjawab untuk terus menyebarkan Islam.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah memberitahu hal ini dalam Surah An-Nahl, ayat 125 yang bermaksud:

“Serulah ke jalan Tuhanmu, dengan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya. Dia yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Ingat, setiap umat Islam menggalas tanggungjawab sebagai da’i, tiada yang terkecuali. Kita diciptakan adalah untuk memimpin dan mentadbir. Kita semua ialah khalifah di bumi Allah ini. Hal ini telahpun Allah nyatakan di dalam Surah Al-Baqarah,, ayat 30. Jadi, meskipun kita memang mempunyai kelemahan, tetapi itu bukan alasan untuk hentikan perjuangan. Jika bukan kita yang menegakkan dan menyebarkan agama yang suci ini, siapa lagi?


Semangat Mereka

Saya teringat akan kata-kata beberapa orang yang sentiasa memberi sokongan kepada saya. Mereka yang sangat saya hormati dalam hidup saya. Ingin juga saya kongsikan kata-kata mereka di sini sebagai penguat semangat bagi diri saya.

Kata-kata Kak Ai, kakak kandung saya:

“Semakin Una besar, penulisan Una semakin matang. Sibukkan diri Una dengan menulis. Isi masa dengan penulisan yang sepatutnya. Kak Ai yakin Una boleh. Cayok cayok, Una!”

Terharu dengan Kak Ai yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan. Semoga Allah sentiasa merahmati kakakku, Nor Aisyah Binti Birkamsin dan seluruh ahli keluargaku. Amin.

Kata-kata Cikgu Azim, seorang guru yang saya kenali ketika menyertai Kem Pengawas Tahun 2011 dulu:

“Teruskan menulis. Kamu ada bakat dalam bidang penulisan.”

Dan, Cikgu Azim pernah berkata lagi:

“Bila cikgu dapat tengok buku kamu sebaris dengan buku-buku Fatimah Syarha?”

Dulu, Cikgu Azim pernah menawarkan untuk menerbitkan buku hasil penulisan saya. Cuma, Allah belum mudahkan. Waktu itu, saya memang bersemangat untuk terima. Maka, saya terima. Kemudian, saya blank. Blur. Tidak tahu mahu tulis apa. Dengan ujian yang Allah timpakan kepada saya ketika itu, membuatkan saya down, lalu terbantut untuk menulis. Rasa tidak layak. Selalu sahaja kata-kata yang negatif bermain di benak saya ketika itu. Sekarang, saya akan sentiasa cuba untuk tepis segala yang negatif. Insya-Allah.

Berbulan-bulan selepas itu, Cikgu Azim menghubungi saya. Dia menyatakan bahawa dia dan krew-krewnya memohon maaf kerana tidak dapat menjadi penerbit untuk buku saya. Ada sedikit masalah yang mereka hadapi. Ketika itu, saya dapat rasa yang Allah betul-betul hendak saya sedar bahawa,

“Bukan masanya kamu terbitkan apa-apa buku hasil penulisanmu lagi saat ini.”

Saya muhasabah. Sekali-kali tidak akan menyalahkan Allah. Saya yakin, semuanya ada hikmah. Dan, saya juga yakin, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk saya. Maka, di waktu ini, saya cuba memperbaiki diri saya. Saya mahu membentuk fikrah yang matang. Perlu ada pemikiran yang baik terhadap sesuatu perkara. Perlu berfikir di luar kotak. Perlu berfikiran dengan lebih meluas. Jangan pernah bermain-main ketika di usia muda. Hadapi hidup dengan lebih matang, kerana hidup ini penuh erti. Saya juga yakin, Allah Maha Mengetahui segala niat saya. Suatu hari nanti, pasti Dia akan memudahkan segalanya. Cuma, saya perlu terus bersabar dan terus berusaha. Insya-Allah.

Seterusnya, saya teringat kata-kata Ustaz Amal beberapa tahun yang lepas. Ketika itu, saya telah menyatakan kepada ustaz bahawa saya sangat meminati bidang penulisan dan saya kongsikan link blog saya. Respon ustaz:

“Kalau Husna minat menulis, tuliskan sebuah buku motivasi, ada 40 bab. Ustaz akan terbitkan. Gunakan bahasa yang santai seperti bahasa percakapan. Dah siap, bagi ustaz.”

Allahu Allah. Sayang seribu kali sayang. Ketika itu, saya tidak memanfaatkan peluang. Habis, terbang melayang.

Dan, sekarang saya mahu memulakannya kembali. Saya mahu aktif semula menulis. Insya-Allah akan betul-betul serius untuk menulis kali ini. Jika saya sudah berjaya menghasilkan artikel yang banyak, baru saya akan cuba mencari inisiatif untuk membukukannya. Insya-Allah. Doakan saya. Semoga dapat menjadi penulis yang berjaya di dunia dan di akhirat. Doakan saya ya. Insya-Allah.


Usah Mempertuhankan Kelemahan

Setelah membaca buku “Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti” tersebut, saya semakin sedar bahawa hidup ini benar-benar penuh erti. Allah banyak membuka minda saya melalui fikrah-fikrah yang dilontarkan oleh Hilal Asyraf terutamanya. Maka, sebab itu pada hari ini, semangat saya kembali menggugah untuk membiarkan jari saya menari.

Bak kata Hilal Asyraf dalam sebuah bab yang bertajuk ‘Usah Mempertuhankan Kelemahan’:

“Manusia memang akan mempunyai kekurangan. Namun itu bukan alasan yang perlu diperbesar-besarkan. Berhenti menjadikan kelemahan sebagai alasan. Sekiranya ada kelemahan, cari jalan bagi mengatasinya. Bukan mempertuhankannya. Lihat dan ikhtiarkan bagaimana mahu mengatasi kelemahan itu. Senaraikan kekuatan yang ada, dan ketahuilah bagaimana hendak menggunakannya.”

Setelah membaca bait-bait kata tersebut, saya tersedar. Saya perlu menerima hakikat bahawa saya memang mempunyai kelemahan, namun itu bukan alasan untuk saya berhenti dalam dakwah saya melalui penulisan. Setiap kesilapan yang pernah saya buat dalam hidup ini, bukan bererti saya tidak layak menyebarkan Islam lagi. Tidak, tidak, tidak. Saya perlu kembali bersemangat untuk menghasilkan sesuatu buat umat ini. Saya perlu bersemangat untuk menyumbangkan sesuatu untuk umat ini. Kerap kali saya bertanya kepada diri saya,

“Selama berumur 21 tahun ini, apa yang telah aku sumbangkan untuk Islam?”

Allahu Akbar. Tidak tahu. Tiada jawapan. Maka, saya perlu bangkit dengan kekuatan yang ada supaya dapat memperbaiki kelemahan yang ada. Kesilapan semalam, jadikan pengajaran. Hadapi kehidupan sekarang dengan mengerahkan segala kekuatan iaitu dengan iman. Ajak orang buat baik, tetapi dalam masa yang sama, kita berusaha menjadi baik. Bukan di mata ciptaan-Nya, tetapi di mata Dia, Sang Pencipta. Bak kata Almarhum Syeikh Mustapha Masyur,

“Perbaikilah diri kamu sambil mengajak orang lain.”

Akhir kata, buat kamu yang sudi meluangkan masa untuk membaca penulisan saya ini, terima kasih saya ucapkan. Doakan saya, semoga impian saya untuk menjadi penulis, berjaya. Berjaya di dunia dan di akhirat. Doakan saya, semoga impian saya untuk menghasilkan sebuah buku pada tahun ini, terlaksana. Insya-Allah. Semoga Allah memudahkannya. Ini cuma target saya. Bukan suatu janji. Dan saya belum tandatangan apa-apa kontrak pun lagi. :)  Ia cuma target sahaja. Mohon doakan yang terbaik. Saya doakan, kamu juga berjaya di dunia dan di akhirat. Semoga kamu dirahmati Allah selalu.

Semoga dapat bertemu kamu di Syurga nanti ya. Insya-Allah. :)

“Hidup ini penuh erti. Perlu sentiasa berbakti. Kau pernah berkata yang kau cintakan Tuhan, terus mana bukti? Kalau benar cinta, ambil tindakan. Bukan terus-terusan mencari kekurangan. Sehingga perjuangan ini kau bantutkan. Sedarlah. Umat ini memerlukan fikrahmu. Sebarkan dakwahmu. Tebarkan ilmumu. Maka, akan tersebarlah bahagia kepada seluruh manusia, dengan izin-Nya....”


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...