Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Thursday, December 23, 2010

Aku sudah BERKAHWIN??



"Akak, akak tengah buat apa?", kedengaran suara seorang budak kecil menegurku. Perempuan. Putih gebu orangnya. Mungkin dalam lingkungan 8 hingga 10 tahun.

"Oh,adik. Akak tengah buat latihan. Adik tak ikut sembahyang isyak ke?", aku membalas sapaannya tadi.

Malam itu, aku menemani ibuku ke masjid untuk menunaikan solat maghrib dan isyak berjemaah. Kebetulan aku 'cuti solat' ketika itu. Aku ke masjid untuk menemani ibuku sahaja sambil membuat latihan sekilas sementara menunggu ibuku selesai solat berjemaah. Maklumlah, aku ialah anak bongsu daripada 6 adik beradik. Ke mana ada ibuku, di situ ada aku. Oleh sebab itulah, aku dan ibu sangat rapat tambahan pula aku dan ibu sahaja yang 'tinggal' setelah adik-beradikku yang lain menyambung pelajaran mereka dan ada juga yang sudah berumah tangga. Tidak dapat kubayangkan bagaimanakah aku jika ibu 'dipanggil' Ilahi lebih awal daripada aku. Dialah satu-satunya ibuku dan IBU YANG TERBAIK DI DUNIA! Dialah ibu, dialah ayah.

"Hehehe..... Tak. Akak belajar lagi ke?", balas budak perempuan tadi.

"Pergilah ikut sembahyang isyak, kalau tak tahu, cuba je ikut-ikut. Nanti lama-lama pandaila.....hehe. Em, akak masih belajar lagi. Tahun depan akak tingkatan 3, ambil PMR. Kenapa,dik?", aku menjawab pertanyaannya tadi. Hatiku berdegup kencang menunggu jawapan daripada budak perempuan tadi.

"Tak de apa-apa... Akak nampak dah besar la. Akak tinggi. Akak nampak macam dah kahwin, dah ada anak."

Masya-Allah! Sebenarnya, aku sudah dapat meneka apa yang hendak dikatakan budak perempuan tadi kepadaku. Mungkin kerana itu, hatiku berdebar-debar mendengar perkataan ini yang entah kali ke berapa aku dengar. 

'....nampak macam dah kahwin!'
'....nampak macam dah kahwin!'
'....nampak macam dah kahwin!'

Sungguh! Perkataan itulah yang acap kali aku dengar dan acap kali jugalah perkataan itu terngiang-ngiang ditelingaku.

Aku hanya mampu tersenyum apabila mendengar pengakuan adik itu tadi. Hambar. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang aku rasa dikala itu.
Selang beberapa minit kemudian, budak perempuan tadi meninggalkan aku sendirian dengan ditemani buku-buku Matematik yang aku bawa dari rumahku.

*****************************************

“Fatimah, Fatimah nampak macam dah kahwin dan nampak macam dah ada anak.”, kakakku menegurku ketika aku bersiap-siap hendak keluar rumah.
Aku terkejut mendengar kata-kata kakakku yang begitu menusuk hati. Sedih. Kecewa. Aku hanya berdiam diri dan tidak membalas sapaannya seolah-olah aku tidak mendengar apa-apa yang dikatakan olehnya sebentar tadi.
Seperti biasa, aku akan mengenakan sepasang baju kurung, scarf, tudung labuh, stoking dan arm sock. Aku tahu, pakaian sebegini memang menjadikan diriku nampak lebih ‘matang’ daripada umurku yang sebenar tambahan pula jerawat yang semakin bertambah di muka sejak aku mencecah 14 tahun, menampakkan lagi kematangan usiaku. Dahulu, jerawatku tidaklah seteruk ini. Tetapi sejak umurku hendak mencecah 14 tahun, jerawat di mukaku melonjak naik. Di muka sahaja yang bermasalah, tidak pula di tempat lain.
Aku tidak pernah menangis sebelum ini mengenangkan jerawat pada wajahku. Tetapi sejak kakak kandungku sendiri yang berkata sedemikian terhadapku membuatkan aku berasa sangat rendah diri. Tetapi aku cuba untuk berfikiran positif. Inilah ketetapan Allah, Fatimah…… Mungkin di dunia kau nampak tua, kat akhirat nanti siapa yang tahu? Hanya dengan mengingati janji-janji Allahlah aku akan kembali tenang. Memang terlalu ramai yang beranggapan sebegitu terhadapku. Mereka langsung tidak memikirkan perasaanku. Aku tidak minta untuk jadi begini, aku tak minta wajahku untuk dipenuhi jerawat. Terlalu banyak kata-kata yang mengguris hatiku tetapi tidak untuk budak kecil itu.

********************************************

Aku tersentak daripada lamunan setelah mendengar salam terakhir daripada imam sembahyang isyak.
Kututup buku latihanku. Aku tidak dapat meneruskan lagi sesi pembelajaranku. Fikiranku sudah mula menerawang ke tempat lain. Aku tunggu ibuku sehingga dia selesai menunaikan solat sunat rawatib dan seterusnya pulang ke rumah.


*********************************************

Pesanan Fatimah untukmu, hamba-hamba Allah sekalian………..

"Aku bercerita bukanlah untuk membuka pekung didada tapi untuk renungan bersama…
Jagalah kata-katamu walau dengan adik-beradikmu, sahabat-sahabatmu, rakan-rakanmu dan sesiapa sahaja walaupun orang itu tidak kamu kenali. Memang terlalu banyak yang hendak aku ceritakan tetapi cukuplah setakat ini aku berkongsi denganmu. Life like a story and this is the part of the story.
Hati mana yang tak tersentuh bila orang kata kita nampak tua? Nampak macam dah kahwin. Nampak macam dah ada anak… Hanya Allah yang tahu perasaanku. Aku cuba menjaga penampilanku supaya sentiasa kemas, bersih dan teratur. Tapi kenapa? Kenapa suka nilai orang macam tu, macam ni tanpa memikirkan perasaan ‘si mangsa’ yang sedang mendengar? Hentikanlah kata-katamu itu! Aku tak sanggup lagi hendak mendengarnya.
Setiap kali soalan-soalan terbit di ruang fikiranku, aku akan cuba tenangkan diriku dengan jawapan-jawapan yang semestinya petunjuk daripada Allah S.W.T. Alhamdulillah…. Oleh sebab itulah, aku sangat yakin pada janji-janji Allah. Aku sangat yakin pada kuasa-Nya. Mungkin inilah ujian Allah untukku kerana Dia Maha Mengetahui apa-apa yang terbaik untukku. Segalanya terjadi dengan izin Allah. Dan segalanya tak mungkin terjadi tanpa izin Allah juga…. Dulu, ujianku lain, sekarang ujianku lain. Aku tahu Allah hendak menilai sifat kehambaanku.. Tidak mengapalah. Aku akan berusaha untuk memperbaiki apa yang patut diperbaiki.
Sekarang aku redha… Biarlah aku nampak tua, nampak sudah berkahwin, nampak seperti sudah ada anak. Tidak mengapa. Aku percaya dengan kuasa Allah yang Maha Segalanya…..
Aku pasrah. Aku redha.... 
ALLAH IS ENOUGH FOR ME……..
HASBIYALLAH…….. HASBI RABBI…....."

(Sedikit perkongsian yang saya buat untuk pembaca. Luahan Fatimah (bukan nama sebenar) kepada saya. Semoga dapat dijadikan iktibar. Saya minta izin dengannya untuk bercerita dengan pembaca di blog saya. Alhamdulillah, dia benarkan.)



Wednesday, December 22, 2010

Aku Kecewa


Aku tidaklah sempurna…
Aku manusia biasa…
Terlalu banyak kelemahan…
Tetapi tidak bermakna aku tidak memerlukan teman…
Aku sangat memerlukan teman…
Untuk menemani dan membantu aku di setiap langkahku..
Untuk memberi tunjuk ajar kepadaku menuju ke jalan-Mu…
Mencari redha-Mu…
Menambah pengetahuanku tentang-Mu…

Aku kecewa…
Adakah aku mengganggu imanmu?
Aku kecewa…
Niatku disalah tafsirkan olehmu…

Ya Allah…
Aku kecewa…
Aku bukan wanita solehah…
Aku tidak sempurna…
Aku tidak sebaik temannya yang lain…
Aku tidak sehebat sahabatnya yang lain…
Sahabat yang pernah dikenalinya…
Aku tahu kami sungguh berbeza…
Ilmu agamaku tidak setinggi Gunung Everest…
Dosaku pula sebesar Bukit Uhud…

Aku terkedu…
Anehnya sikapmu terhadapku…
Aku kecewa…
Sangat kecewa…
Sungguh kecewa…

Salahkah aku?
Ah! Aku buntu!
Tidak akan kubiarkan emosi memenuhi ruang fikiranku!
Tidak akan kubiarkan nasib menentukan jalan hidupku!

Aku akan bangkit!
Untuk menggapai janji-janji-Nya…
Biarlah dosaku setinggi gunung atau pun setinggi bukit!
Aku akan berusaha memperoleh redha-Nya!

Biarlah aku jatuh tersungkur di dunia…
Asalkan aku tidak jatuh tersungkur di Pintu Syurga!
Biarkan aku rebah!
Aku tidak akan mengalah!

Hanya Allah yang mengetahui niatku…
Hanya Allah yang Maha Mengetahui segala isi hatiku…
Hanya Allah yang mampu memahamiku…
Hanya Engkau ya Allah…

Firman Allah S.W.T :

“Sesungguhnya kami akan beri percubaan kepada kamu, sehingga kami buktikan orang yang bersungguh-sungguh dari antara kamu dan orang yang sabar dan hingga kami nyatakan hal kamu.”

(Surah Muhammad,ayat 31)

Allah berfirman lagi di dalam Surah Al-Baqarah ayat 155-156:

“Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu apabila kesusahan menimpa, mereka berkata; sesungguhnya kami ini milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kami akan kembali.”

Subhanallah……


Thursday, November 18, 2010

Berwuduk Zahir dan Batin


Suatu hari, Isam bin Yusuf menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya: “ Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?” Hatim berkata, “Apabila masuk waktu solat, aku berwuduk zahir dan batin.” Isam bertanya: “Bagaimana wuduk zahir dan batin itu?” Hatim berkata: “Wuduk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air. Sementara wuduk batin ialah membasuh hati daripada tujuh perkara:

Bertaubat.
Menyesali dosa yang telah dilakukan.
Tidak tergila-gilakan dunia.
Tidak mengharapkan pujian orang.
Tinggalkan sifat riak (menunjuk-nunjuk).
Tinggalkan sifat khianat dan menipu.
Meninggalkan sifat dengki.

   “Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan seolah-olah aku sedang berhadapan dengan Allah, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat Maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula seolah-olah berdiri di atas titian siratul mustakim dan menganggap bahawa solatku ini ialah solat terakhir bagiku. Kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. ” Hatim menyambung lagi: “ Setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya. Kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawaduk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun. ”



  •  sedikit perkongsian daripada sebuah buku yang saya baca :)

Jangan Jadi Beruk

Hari tu saya ada baca satu blog ni. Nama blog tu 'kereta mayat'. Bagus blog tu, banyak ilmu yang boleh dapat walaupun bahasa dia kurang menyenangkan bagi sesetengah orang tapi sebenarnya blog yang dia buat tu untuk menasihati diri sendiri. Cara dia sampaikan ilmu memang macam tu, jadi, tak boleh la nak nilai orang dari segi luaran je. Betul tak? :)
Ada satu artikel yang dia buat tu dia sentuh pasal 'Fatwa Kaum Beruk'. Memang terkesan la kat hati saya ni. Kalau saudari/saudara ada kesenggangan waktu boleh la tengok2 blog dia tu. Boleh tambah2 ilmu dengan cara santai. Ni alamat blog dia :

http://www.keretamayat.blogspot.com/

Selamat membaca! :)

Mutiara Kata

Berjalanlah dengan penuh harapan walau hidup ini tak selalu bahagia,
Sedekahkanlah satu senyuman walau dihatimu tak lagi mampu bertahan,
Belajarlah memaafkan walau dirimu terluka,
Berhentilah memberi alasan walau ingin menyatakan kebenaran,
Hiduplah dalam Iman walau hari dipenuhi dugaan dan berpeganglah kepada Allah walau Dia tak kelihatan......
Bukti kasih-Nya, kita wujud di dunia pinjaman ini.
Ada sebab bila berlaku sesuatu perkara dan yakinlah Allah menguji setiap hamba yang mengaku keimanan kepada-Nya...
Jangan terlalu banyak berkhayal untuk jadi yang terbaik kerana hidup tak semudah itu,
Perihal kehidupan sebagai cermin dalam menilai sebuah pengabdian yang suci dan abadi......
Moga lelahmu dihargai Ilahi walau dicemuh insani......


Adab pergaulan dan berbaik sangka



Ada seorang ahli hikmat mengatakan....  “Jikalau kamu ingin bergaul secara baik dan sopan maka ikutilah petunjuk-petunjuk ini…:
                      
  1. Hadapi kawan atau musuh dengan wajah yang tenang, gembira, sopan dan rela hati. Elakkan daripada menunjukkan sikap angkuh, sombong dan tinggi diri.
  2. Jangan terlalu banyak menoleh ke mana-mana dan jangan terlampau memandang tajam memandang orang lain.
  3. Jangan biasakan diri memasukkan jari ke dalam lubang hidung, banyak berludah atau berhingus di tempat awam, banyak menguap atau mengeliatkan badan.
  4. Usahakan agar dudukmu itu nampak tenang, kata-kata selalu teratur dan menjadi pendengar yang baik. Jika ada sesuatu yang melucukan lebih baik jika kamu diam sahaja.
  5. Jangan bersikap pura-pura.
  6. Elakkan daripada memberitahu sesiapa tentang harta yang dimiliki kerana jika harta itu sedikit, orang akan memandangmudengan kehinaan.
  7. Jika berdebat, berpegang teguhlah kepada kesopanan dan jangan merendah-rendahkan kemampuan orang lain.
  8. Jangan menjadikan harta lebih mulia daripada kehormatan diri.
  9. Jika masuk ke majlis-majlis, berilah salam dan sentiasa merendah diri.
  10. Jauhi daripada duduk dan bercakap-cakap di jalanan dan jika terpaksa sentiasalah menundukkan pandanganmu. Jangan suka bergurau senda dengan cendekiawan dan orang yang kurang akalnya. Jika banyak bergurau senda dalam sesuatu majlis kerana terlupa atau lain-lain, berzikirlah sebelum meninggalkan majlis itu. 
Orang yang berbaik sangka akan mendapat pahala kerana hatinya terang dan tidak dicemari dengan sifat yang tidak baik.

  • sedikit perkongsian untuk sesiapa yang sudi baca untuk menambah ilmu pengetahuan... (diperoleh daripada sebuah buku yang saya baca) :)

Sunday, November 14, 2010

Berdosakah Aku?


Kulihat kiri,
Kulihat kanan,
Ah,tidak!
Bukan ini yang aku mahukan,
Bukan ini yang aku idamkan...

Kulihat kiri dan kanan,
Kulihat depan dan belakang,
Ada sahaja yang berpacaran...
Bagaimana aku bisa mengambil tindakan?
Sedangkan kekuatanku masih belum cukup untuk mencegahnya dengan lisan...
Apakan lagi dengan tangan?
Apa yang bisa aku perbuat Ya Muhaimin?
Hanya satu ucapan yang mampu untuk kuungkapkan,
'Segala puji bagi Engkau Ya Allah atas segala perkara'...
Agar aku berbaik sangka...
Biarpun aku melihat perkara yang aku tidak suka...

Ya Qohhar...
Berikan aku segenap kekuatan,
Untuk aku sentiasa bersabar,
Mengharungi apa-apa yang ada didepan,
belakang,kiri mahupun kanan...

Ya Ghoffur...
Berdosakah aku?
Kerana hanya membencinya di Qolbu?
Tetapi hanya itu yang aku mampu...
hanya itu...
Maafkan daku...


Thursday, November 11, 2010

Dia....

Tenangnya dia...
Tenangnya dia dalam lenanya...
Tangisnya tidak mengundang duka,
Tawanya pula mengundang gembira...

Kutatap wajahnya...
Suatu aura hadir secara tiba-tiba...
Yang menerbitkan rasa kasihku kepadanya...

Dalam lenanya, dia tersenyum,
Lagaknya seperti sudah mengerti,
Setiap kejadian di dunia ini...

Kedatangannya dinanti...
Namun, sekiranya dia pergi,
Hanya tangisan kepiluan yang bakal didengari...

Dia,
Satu anugerah yang sangat dihargai...
Dia,
Satu anugerah yang cukup diingini,
Dia,
Mengundang bahagia dalam rumah tangga...
Dialah yang bakal menyinari dunia...
syurga duniaku...
syurga dunia setiap ahli keluarga...

Siapa dia?
Dialah bakal bidadari syurga...
Dialah bakal penghibur duka...
Dialah KHAULAH NASUHA...

Dialah anugerah yang mesti dihargai...
Dengan membajai akhlaknya...
Bajai akhlaknya...
Bajai dengan sifat-sifat tawadhuk...
Sirami dirinya dengan selautan air wudhuk...
Agar dia terhindar daripada makhluk yang terkutuk...

Monday, November 8, 2010

Imtihan

Ya akhi...
Ya ukhti...
Adakah hari ini hari yang dinanti?
Jawapannya..'aku sendiri tidak pasti'...
Tetapi harus juga kita lalui...

Ya akhi...
Ya ukhti...
Bersediakah kamu?
Bersediakah kamu menguji mindamu?
Menilai setiap kefahamanmu?
Melatih kecekapan mindamu?

Bertawakallah...
Hanya kepada Allah kita berserah...
Sebanyak mana usahamu,
Begitulah juga petunjuk yang akan diberi oleh akalmu...

Usahlah kau menoleh,
Usahlah kau menagih...
Menagih jawapan yang tidak soheh...
Agar markah tinggi dapat kau peroleh?

Sedarlah wahai teman...
Jujurlah pada dirimu...
Jujurlah pada Tuhan...
Apa guna tinggi markahmu?
Tetapi kau meniru?

Sedarlah wahai teman...
Itulah maksiat kecil-kecilan...
Yang bisa mengundang mudarat...
Jika perkara ini terus kau perbuat...

Berhentilah mencari alasan,
Sedangkan akalmu ligat mencari jalan...
Mencari jalan memperoleh jawapan...
Jawapan kepada setiap soalan...
Usah mencari jalan yang mudah,
Untuk menyelesaikan setiap soalan yang susah...
Berusahalah! Berdoalah! Bertawakallah!
Ini imtihan, ada peraturan.
Patuhilah! Apa yang susah?


Saturday, November 6, 2010

Cahaya Dalam Kegelapan


Kulewati hari-hari semalam,
sungguh kelam.
sungguh suram.
hari yang dipenuhi dengan ruang kegelapan....
kegelapan yang tidak pernah aku inginkan,
kegelapan yang tidak pernah aku impikan,
Ya. Itu sudah pasti dan suatu kemestian....

Hanya kerana cinta manusia,
aku berubah serta-merta,
dek kerana cinta itulah,
aku menyibukkan diriku untuk merinduinya....
sedangkan dia,
bukanlah pasangan yng halal untukku....

Segala kemahuannya ingin aku turutkan,
segala keinginannya akan aku tunaikan,
aku menjadi BUTA,
aku menjadi TULI,
aku menjadi BISU,
segalanya kerana CINTA itu!
cinta yang telah terjerumus oleh jurang cinta nafsu!

Ya Rabbi,
apabila tertautnya hati ini,
terhadap cinta dan kasih-MU,
aku tidak akan menoleh lagi....
hanya cinta-MU yang kudambakan,
janganlah cinta manusia yang menjadi ujian....

Ya Hadi,
aku bersyukur kepada-MU,
melalui sebuah buku,
hanya sebuah buku,
aku memperoleh hidayah-MU....
ya Allah.....hanya Engkau yang tahu...
Aku sangat bahagia mendapat NUR-MU!

Sunday, August 15, 2010

Pasrah

 Aku masuk ke kelas pada pagi itu seperti biasa, setelah aku selesai melakukan tugasku sebagai seorang pengawas sekolah. Aku masuk ke kelas dengan hati yang penuh berbunga dan ceria dengan mengharapkan hari itu ialah hari yang lebih diberkati dan lebih baik daripada hari-hari yang sebelumnya. Setelah itu, aku menyapa rakan karibku seperti biasa.
"Hai, Mary", aku menyapanya. Namun, sapaanku tidak dibalas, hanya senyuman hambar yang diberikan.
'Mungkin dia dilanda masalah.', fikirku.
Tetapi tiba-tiba aku berasa tidak sedap hati kerana aku melihat dia tidak duduk disebelahku, tempat yang telah ditetapkan oleh cikgu.
Aku berbisik di dalam hati, 'Kenapa ni? Em, mungkin hendak bertukar angin, agaknya.'

Tepat pukul 7.45 minit pagi, pembelajaran dimulakan dengan mata pelajaran Matematik Moden. Aku menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pengajaran Cikgu Halimah. Aku cuba menjawab setiap soalan yang diberikan oleh cikgu tersebut dengan baik. Tiba-tiba fikiranku terganggu. Mary, rakan karibku masih langsung tidak menegurku. Seperti kebiasaannya, dia akan bertanya kepadaku setiap soalan yang dia tidak faham sebelum bertanya kepada guru berkenaan. Oh, baru aku sedari! Aku duduk sendirian rupanya di tempat dudukku tanpa ada rakan-rakan yang lain disebelahku yang biasanya memeng duduk disebelahku kerana tempat duduk mereka adalah disebelahku. Aku menoleh ke kiri dan aku dapat melihat keempat-empat rakanku berkumpul didua buah meja iaitu tempat duduk Nazia dan Aida. Hatiku semakin berprasangka. Tetapi, aku tetap cuba berfikiran positif. Aku menoleh lagi, kulihat Mary sedang duduk dihadapan Nazia dan Imah duduk dihadapan Aida.
'Sanggupnya mereka duduk bersempit-sempit daripada duduk disebelahku?' hatiku mula bernada kecewa.
Pra-sangka demi pra-sangka datang ke benakku. Aku mula berasa sesuatu yang buruk telah terjadi. Tiba-tiba aku berasa keseorangan.
'Ah, syaitan! Nyah kau dari hidupku! Pergi!', aku cuba berfikiran positif lagi. Apa yang pasti ketika itu, Allah sentiasa bersamaku. Aku redha. Mungkin aku hanya bersyak wasangka buruk terhadap mereka.

Loceng berbunyi menandakan waktu  untuk pulang ke rumah. Ketika itu jam menunjukkaan pukul 1.50 petang. Aku mengemas segala peralatan sekolah yang ada di atas mejaku. Mary, Nazia, Imah dan Aida melintas dihadapan mejaku. Ketiga-tiga rakanku menyapaku untuk mengucapkan selamat tinggal kepadaku. Tetapi hanya Mary sahaja yang tidak menyapaku.
'Oh, Mary! Apakah yang ada difikiranmu ketika ini?' hatiku meronta ingin mengetahui puncanya, mengapa dia hanya berdiam diri sahaja dan mengunci mulutnya apabila bertemu dan terserempak denganku.

Aku bermonolog sendirian apabila semua pelajar telah pun keluar daripada kelas, 'Mary oh Mary. Kenapa dengan kau hari ini? Sehari suntuk aku memikirkan apakah sebabnya kerana aku tidak tahu apakah puncanya kau bermasam muka denganku?Kau tidak pernah bersikap seperti ini. Kau juga akan datang menemaniku jika kau lihat aku keseorangan. Tetapi mengapa hari ini tidak? Malah kau membiarkan aku keseorangan tanpa teman. Tidak mengapalah, Mary. Allah akan sentiasa bersamaku. Tidakku sangka kau akan bersikap sebegini terhadapku. Apa salahku?'

Beberapa minit selepas itu, aku keluar daripada kelas dengan hati yang penuh tanda tanya. Kecewa. Itulah yang aku rasa pada ketika ini. Kusangkakan hari ini ialah hari yang lebih baik tetapi lain pula yang terjadi.
'Mungkin Allah sedang mengujiku.' fikirku.
Aku pulang ke rumah pada hari itu dengan mengharapkan hari esok akan bersinar daripada hari ini. Inilah harapanku. Lihatlah dunia! Aku tidak akan mengalah! Aku masih ada harapan jika aku masih dibangkitkan pada esok hari!
Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk menunggu hari esok dengan harapan hari esok akan lebih cerah daripada hari ini.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...