Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Wednesday, December 14, 2011

Coretan Hati : SARAWAK ??

بسم الله الرحمن الرحيم

Aku menulis di sini pada hari ini hanya untuk menyatakan 'corat-coret' hati ini.... Hati yang gelisah apabila mendapat tahu bahawa aku ditempatkan di Bau, Sarawak untuk PLKN.

Pada malam sebelum mendapat tahu...
'Assalamualaikum, Kak Ai. Nanti tolong check kan Una dapat PLKN kat mana boleh? Makasih ya buk!', begitulah bait-bait kata mesejku kepada kakakku, Aisyah. 

Pada malam berikutnya, aku mendapat tahu...
Aku yang baru sahaja solat Isyak, mendengar telefonku berbunyi menandakan ada mesej yang baru masuk.
Kucapai telefon bimbitku itu. Setelah membaca mesej tersebut, tanpa kusedari, ada titisan air jernih yang mengalir ke pipi...



'Ya Allah..... Sarawak?? Jauhnya..... Ya Allah..... Macam mana ni??', terdetik kegusaran di hatiku....

Malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata. Hatiku masih gusar. Gusar kerana memikirkan apalah agaknya nasibku di sana nanti... Dalam kesibukan akal fikiran yang menerawang jauh, dalam keadaan malam yang semakin pantas menyinsing waktunya, akhirnya aku terlena juga bersama hati yang lara......

Keesokan paginya, aku bangun untuk menunaikan solat Subuh. Usai sahaja solat Subuh, aku mula terfikir tentang takdir Allah yang menempatkan aku di Sarawak bagi PLKN. Petunjuk Allah mula datang. Aku tersedar akan kesilapan diriku sendiri.

'Ya Allah.... Aku tak sepatutnya meragui takdir-Mu.... Ampunkanlah aku ya Allah.... Aku juga tak mengucapkan syukur di saat aku menerima takdir-Mu ini... Maafkan aku ya Allah.... Aku redha demgamn ketetapan-Mu ini.... Aku tahu, Engkaulah Tuhan yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Mu...... Ya Allah..... Terimalah perkataan 'maaf' daripada hamba-Mu yang sering alpa ya Allah.....', bisikan pengaduanku kepada-Nya selepas merenung kembali kekhilafan diri ini.....

Kini aku redha kerana aku tahu, Allah beri apa yang kita perlukan, bukan apa yang kita inginkan. Begitulah cara Allah yang Maha Lembut dan yang Maha Memelihara, mendidik hamba-hamba yang sentiasa disayangi-Nya. Setelah merenung kembali ke dalam diri ini, aku teringat bahawa dulu aku sangat 'anti kepada novel-novel Islamik dan sangat membangkang saranan kakakku untuk membacanya.

"Alahhhh... Best ke cerita dia?? Novel cinta apa yang ada ayat-ayat Al-Quran macam ni?? Siap ada hadis lagi. Kelakar gila! Ishhh, tak naklah baca", ujarku dengan tidak beradab apabila disarankan oleh kakakku yang kelihatan bersungguh-sungguh itu.

"Best... Cubalah baca dulu. Cerita dia bagus untuk remaja-remaja macam Una ni. Bacalah.", pujuk kakakku.

Ya. Aku sangat membangkang untuk membaca novel-novel sebegitu pada awalnya. Namun, setelah aku membacanya, rona-rona cinta Ilahi mulai wujud di dalam hati ini. Aku memperoleh hidayah-Nya melalui novel tersebut ( Masha Allah ). Tautan hati tajuk novelnya. Indah sungguh saat-saat Allah membuka lorong-lorong keinsafan buat diriku, suatu perasaan yang tidak dapat kugambarkan melalui kata-kata sahaja.  Begitulah sifat pengasih Allah yang tidak pernah lokek untuk memberi kita hasanah demi hasanah sedangkan kita sangat lokek untuk mengingati-Nya pada setiap penjuru kehidupan kita. Astaghfirullahal azhim.....



Dahulu, aku tidak suka pergi ke majlis-majlis ilmu seperti ceramah agama. Bagiku, ceramah sangat membosankan dan mengantuk biji mata dibuatnya! Masakan tidak, pergi mendengar ceramah dengan hati yang tidak ikhlas sudah tentu mudah sahaja digoda oleh syaitan laknatullah!

'Haishhhhh.... Mengantuknya.... Apalah yang ustaz ni merepek kat depan tu... Adoooiiiii...... Malas betul aku nak dengar.... zzzzzz......zzzzzz ', aku bermonolog sendirian sementelahan keberkatan mula berlari dari mendekatiku.......

Namun, kini apa yang berlaku ialah sebaliknya. Aku akan turut serta ( Insha Allah ) sekiranya ada majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh mana-mana pihak jikalau ada kesempatan masa dan tenaga. Melalui majlis-majlis ilmu itu jugalah, aku dapat  menambah pelbagai ilmu pengetahuan yang aku kurang titikberatkan dahulu dan fikiran menjadi lebih terbuka ( Insha Allah + Alhamdulillah ).

Renunglah kembali. Boleh jadi kita benci sesuatu perkara, namun perkara itu amat baik bagi diri kita. Boleh jadi kita suka sesuatu perkara, namun perkara itu amat buruk bagi diri kita.

Firman Allah S.W.T :-
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. 
(Surah Al Baqarah : Ayat 216)


Oleh itu, dikesempatan ini, aku ingin mengingatkan diriku dan dirimu yang sedang membaca coretan ini, janganlah kita mengeluh apabila Allah memberi kita sesuatu yang tidak kita harapkan dan jangan pula kita TERLALU gembira dengan apa-apa yang telah berjaya dicapai Segalanya milik Allah, jadi kembalilah kepada-Nya.

Ada kalanya, air mata yang mengalir sangat berharga buat diri kita, dan ada kalanya, senyuman itu yang meracuni diri kita. Walau apa sekalipun, rujuklah Allah dalam menangani setiap perkara kerana Dialah yang Maha Memahami segala isi hati...

Setiap perkara yang Allah beri itu ialah ujian tetapi dengan dua keadaan. Pertama, boleh jadi ujian yang Allah berikan itu mampu membuatkan kita tersengih sampai ke telinga. Kedua, boleh jadi ujian yang Allah berikan itu mampu membuatkan kita menangis sehingga kering air mata.

Oleh sebab itu, yakinlah pada Allah atas segala macam bentuk ujian yang diberikan kerana.....

Ujian itu nikmat....
Nikmat itu ujian....

Sama-samalah kita renungkannya. Aku doakan, kita semua dapat menerima setiap takdir yang Allah telah tetapkan untuk kita dengan hati yang tenang dan terbuka.... 


Insha Allah ~
Amin ~

"Dengarlah wahai Allah...... Aku, hamba-Mu, sedia menerima takdir-Mu ini!"

~ Sekian. Wassalam ~




Friday, October 28, 2011

Untukmu Lelaki ~



Wahai lelaki....
Yang diciptakan sebagai ketua...

Ketua dan juga pemimpin bagi wanita..
Aku mahu lihat prestasi 'kepimpinanmu'..tetapi... 
Di mana kau letakkan kuasamu sebagai lelaki yang sentiasa kelihatan gagah pada dasarnya...?? Di mana?? 
Ah! Kautewas untuk mengatakan 'TIDAK'... 
TIDAK kepada wanita yang bisa meruntuhkan imanmu..


Kau biar wanita itu membelai rambutmu walau sebenarnya hatimu meronta tidak suka kerana takut pada YANG ESA.
Kau biar tangan wanita itu menjalar ke lenganmu..
Kau biar wanita itu menyentuh jejari dan tanganmu yang penuh dengan urat-urat kelelakianmu...
Kau biar wanita itu duduk rapat-rapat denganmu..
Malah, kau biar wanita itu duduk bersamamu di atas satu kerusi yang kecil itu?




Apabila ditanya mengapa kau tidak bersuara TEGAS untuk menolak, kau katakan padaku, "takut si wanita tidak dapat menerima.."
Apabila ditanya lagi, kau katakan padaku, "bukan aku yang mahu, dia yang datang beri 'rezeki'. Rezeki sudah berada di depan mata, rugi kalau tolak rezeki."... 


Kenapa? Kenapa begini? Tahukah engkau bahawa inilah BAHANA yang memakan dirimu kerana engkau seolah-olah BERSUBAHAT dengan wanita itu!
'Rezeki' yang kau katakan itulah yang akan MEMAKAN DIRIMU! Bukankah kau lelaki yang takut PADA-NYA? Tetapi mengapa kau tidak mengatak "TIDAK".....??? Mengapa ?? Mengapa tidak berusaha keras untuk MENOLAK?? 


Jika kau inginkan wanita yang terpelihara sebagai isterimu, maka kau juga sewajibnya memelihara dirimu..
Ingatlah bahawa Allah S.W.T MAHA ADIL dalam membuat segala penilaian.

Jika kau lelaki, buktikan kepadaku bahawa kaulah lelaki yang berani mengatakan "TIDAK" kepada wanita... 

Wanita yang bisa meranapkan tiang imanmu itu! 
Jika kau lelaki, bersikap TEGASLAH bukan bersikap "Ahhh, biarlah....."
Sungguh, wanita itu sememangnya fitnah bagi kaummu...

Oleh itu wahai lelaki... TEGASLAH!



Untukmu wanita ~



Wahai Wanita,
Tetapkanlah prinsipmu sebagai seorang wanita yang terpelihara. Berkawan dengan lelaki? Boleh... tetapi tetap pada batasnya... 

Jangan melebih-lebih.. 
Jangan gelak terlebih.. 
Jangan bersuara manja.. 
Jangan tersengih sampai boleh buat lelaki cair... 
Jangan bermesej dengan lelaki jika tiada kepentingan/keperluan, takut meleret-leret sampai terleka...


Berhubunglah bila ada keperluan sahaja.. Jika tiada apa-apa yang terlalu perlu untuk dibicarakan, berusahalah untuk elak daripada bermesej/ berhubung. Sebab syaitan itu sangatlah kreatif...

Ingat, melalui hati pun kita boleh buat zina kecil.. 

Hati juga boleh menjadi punca kepada dosa...


Ayuh,wanita! Aku seru dirimu dan diriku, supaya jadi wanita Islam yg sebenar! Walau kita memang tidak sehebat Saidatina Khadijah, tidak pula setabah Asiyah, tidak juga setanding dengan Rabiatul 'Adawiyah, namun kita masih ada peluang untuk jadi WANITA SOLEHAH... Yuk! Teruskan perjuangan! Yakinlah bahawa Allah akan sentiasa 'membuka jalan' bagi orang-orang yang sentiasa mencari redha-Nya...

Wahai Wanita,

Jauh di sudut hatiku, aku sedih melihat dirimu yang mudah terperdaya dengan manisnya dunia...
Terlena dalam dakapan nyata seorang lelaki ajnabi yang hanya bergelar 'kekasih hati'...
Kau lupa kepada siapa yang mencipta lelaki itu, sehingga kau mengagung-agungkannya melebihi penciptanya...
Bukankah PENCIPTANYA lebih hebat berbanding dirinya??




Aduhai wanita kusayang,
Sedarlah.... Sedarlah.... Sedarlah....
Sedarlah dari mimpi yang kau ulit bersama cinta lelaki itu...
Aku tidak mahu kau tewas dengan secebis sayang yang lelaki itu berikan padamu...
Cinta PENCIPTANYA lebih agung berbanding cintanya...
Carilah cinta yang mampu membawa dirimu hingga ke syurga...
'Bercinta sampai ke syurga'....


Buatlah pilihan yang tepat untuk mendapat hasil yang dahsyat..!


Wahai wanita dan gadis-gadis di luar sana, peliharalah dirimu hanya untuk 'suami'mu... Jika tidak di dunia, nun di syurga sana, pasti WILDAN menantimu! Yakinlah dan berpeganglah pada Allah!

Ayuh,wanita di zaman ini! Bangkitlah bersamaku!




Sunday, October 9, 2011

Surah Al-Fatihah : Jangan Pandang Sebelah Mata

Assalamu'alaikum to all my readers ^ ^

Post kali ini, saya akan kongsi dengan pembaca semua tentang kelebihan / manfaat mengamalkan Surah Al-Fatihah. Hmm... Jangan anggap surah ini hanya dibaca ketika solat sahaja, tetapi jadikanlah surah ini sebagai surah amalan kita seharian. Jangan pandang surah ini dengan SEBELAH MATA sahaja tau! ^ ^

Jom kita singkap kelebihan / manfaatnya!



Kelebihan / manfaat Surah Al-Fatihah :-

1. Untuk menjaga keselamatan diri
  • Caranya : Surah Al-Fatihah itu dibaca satu kali dengan Surah Al-Ikhlas berserta 'Surah Mua'wwidzatain' (Surah Al-Falaq dan Surah An-Nass) sewaktu hendak tidur.
  • Allah S.W.T akan menjaga kita daripada segala perkara yang kita benci kecuali MATI. Insha Allah ~
2. Supaya bahagia dan selamat
  • Caranya : Bacalah Surah Al-Fatihah sebanyak 41 kali setelah solat sunat qabliyah Subuh (solat sunat sebelum Subuh) secara terus menerus. 
  • Jika anda ingin pangkat keduniaan, Insha Allah akan berhasil. Jika fakir dapat kaya. Jika punya hutang dapat membayarnya. Jika sakit dapat sembuh. Jika lemah menjadi kuat. Jika merantau dapat kemuliaan dan ditakuti oleh musuh. Dicintai oleh semua orang sama ada lelaki ataupun perempuan. Semua ucapannya dipercayai oleh masyarakat dan diselamatkan daripada bencana. Insha Allah ~
3. Supaya banyak kebaikan dan hilang kesusahan
  • Caranya : Surah Al-Fatihah dibaca sebanyak 7 kali setiap selesai solat fardhu.
  • Allah S.W.T akan memberi banyak kebaikan dan menghilangkan segala kesusahan yang kita hadapi sama ada yang berkaitan dengan urusan dunia mahupun urusan akhirat. Insha Allah ~
4. Dimudahkan rezekinya dan berhasil apa-apa yang dihajatinya
  • Caranya : Baca Surah Al-Fatihah sebanyak 20 kali setiap selesai mengerjakan solat fardhu secara terus-menerus (tanpa berkata-kata).
  • Allah S.W.T akan memudahkan rezeki orang yang membaca itu dan Allah menjaganya dari segala yang membahayakan dirinya serta dimuliakan oleh orang lain. Malah, segala yang dihajatinya, Insha Allah, Allah akan mengabulkannya.
5. Sebagai ubat dari segala penyakit.
  • Diceritakan daripada Ibnu Abbas r.a, ketika Saidina Hassan bin Ali r.a jatuh sakit, Rasulullah S.A.W membaca Surah Al-Fatihah pada air sebanyak 40 kali, kemudian air itu disapukan ke muka Saidina Hassan bin Ali. Lalu disapukan pula ke kepalanya, tapak kaki dan tangannya. Dengan berkat pertolongan dan keizinan daripada Allah S.W.T, sakitnya segera sembuh.
Sumber ini diolah daripada : Buku Amalan Doa Menjelang Kiamat,
Terbitan Kharisma Sdn. Bhd

Saturday, September 10, 2011

JANGAN !!!

1. Jangan minta dihormati jika tidak menghormati...

2. Jangan minta disayangi jika tidak menyayangi...

3. Jangan minta difahami jika tidak cuba memahami...

4. Jangan minta dimaafkan jika tidak cuba memaafkan...

5. Jangan mencaci jika tidak mahu dicaci...

6. Jangan melukai jika tidak mahu dilukai...

7. Jangan mengata jika tidak mahu orang mengata...

8. Jangan mengejek jika tidak mahu orang mengejek...

9. Jangan membenci jika tidak mahu dibenci...

10. Jangan mendengki jika tidak mahu didengki...

~ Sekadar peringatan buat diri ini... Terlalu banyak perkataan 'JANGAN' dalam hidup manusia yang tidak dapat dirungkaikan... Oleh itu, aku berpesan kepada diriku dan dirimu, "Jangan menyalahkan jika tidak mahu disalahkan..."



Hakikatnya, kita selalu mengharapkan yang 'itu', bukan yang 'ini'. Kita mahu 'dia' jadi begini tetapi tidak mahu pula jadi begitu. Adilkah begitu??

Jadi, apa pilihan diriku dan dirimu? "Mahu DICONTOHI atau mahu MENCONTOHI...??"~

~ Renung-renungkan, insya Allah, Allah mudahkan... ~

Saturday, July 2, 2011

KISAH : 'Cukupkah?' atau 'Cukuplah...'


Pada zaman Rasulullah S.A.W dahulu, ada seorang pemuda yang pergi bertemu dengan salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W yang terkenal dengan sifat waraknya untuk bertanyakan sesuatu. Kedatangan pemuda tersebut disambut baik oleh sahabat Rasulullah S.A.W tersebut.

PEMUDA : Wahai sahabat Rasulullah S.A.W! Aku ingin bertanyakan sesuatu kepadamu. Bagaimanakah caranya untuk aku masuk syurga?

SAHABAT : Kamu mesti menjadi orang yang baik.

PEMUDA : Bagaimana hendak menjadi orang yang baik?

SAHABAT : Kamu berasa kamulah orang yang jahat di dunia ini.

PEMUDA : Maksudmu, aku mesti berasa akulah orang yang paling jahat dan masih mempunyai amal yang sedikit?

SAHABAT : Ya, kerana kamu masih berasa bahawa amalan yang kamu lakukan selama ini masih tidak cukup untuk dibawa menghadap Allah S.W.T di akhirat kelak.

PEMUDA : Bagaimana pula sekiranya aku ingin mengetahui aku ini orang yang jahat?

SAHABAT : Kamu berasa kamulah orang yang paling baik di dunia...........

Persoalannya di sini, apakah pertanyaan-pertanyaan atau pernyataan-pernyataan yang sering terlintas di benak kita?

"Cukupkah amalan yang aku lakukan selama aku hidup di dunia ini ????"

ATAU

"Cukuplah amalan yang aku lakukan selama aku hidup di dunia ini........,"

Renung-renungkanlah ~
Wallahu 'alam dan Wassalam...

Apabila 'Marah Itu Mudah, Sabar Itu Payah!'

Apabila sudah marah...
Kata-kata yang baik sudah tidak diendah...

"Pergi mampuslah dia! Ini hak aku. Aku punya barang. Yang dia nak sibuk-sibuk kenapa??"

"Woi! Kau ni memang tak bersyukurlah! Aku memang bengang gila dengan kau! Kau ni... Haishhhhhh.....!! Memang 'be' tau tak? Bengong!!"

"Aku bengang betul! Aku tanya baik-baik je kat dia. Alih-alih, dia balas macam taik kat aku. Eeeeiiiiii.....! Kalau ikutkan hati, nak je aku 'tapak' muka dia! Argghhhhhhh.....! Bengangnya......~ !"

" Apa dia ingat dia baik sangat la?? Eleh! Mulut dia tu dok sibuk 'pok-pek pak-pek' je tak tentu pasal! Yang si gendut tu pulak tau nak 'menikus' je...! Menggelabah betul!"


Dan...
Apabila mulut mengatakan,
"Aku dah cukup sabar dah. Dah lama aku pendam. Tapi kali ni aku tak tahan... Cukuplah! Kesabaran ni ada hadnya. Bila aku dah meletup, barulah dia tahu....!"

Ketika itulah prinsip dan pegangan bertukar.

Dahulu :
"Marah itu mudah TETAPI sabar itu indah"

Sekarang, apabila nafsu amarah sudah menguasai diri :
"Marah itu mudah DAN sabar itu payah!"

Dan bermula detik itu...
Badan mula menggigil,
Tangan menjadi sejuk,
Jantung semakin berdegup kencang,
kerana....
Diri masih diam membisu,
Cuba untuk tidak marah...
Tetapi...
Akal fikiran masih ligat melayan nafsu,
Mata melihat perlakuan yang tidak menyenangkan,
Telinga mendengar kata-kata yang menyakitkan...!


Dan...
Ketika itulah, SYAITAN menjadi perantara!
"Marah je budak tu! Menyakitkan hati je. Kurang ajar pulak tu. Pergi je ajar dia! Baru dia sedar! Cepat, marah lagi! Marah! Marah!"

Di saat itulah,
Muka berubah menjadi merah...
Kerana apabila sudah marah,
Sabar itu menjadi payah,
Dan keadaan menjadi parah...


Aku seru diriku dan dirimu yang saudara seagama denganku, cubalah untuk mengawal marah kerana sabar itu lebih baik.
'Sabar itu indah.'

Ustazku pernah berkata,
"Para salafus soleh dahulu, mereka mudah lupa kebaikan yang dibuat tetapi mereka susah untuk melupakan kejahatan yang dibuat,"

Dan...
Mungkin inilah cara yang terbaik untuk timbulkan sifat sabar dalam diri kita. Kadangkala kita marah kerana kita merasakan kita sudah cukup baik, walaupun kita tidak pernah mengatakan diri kita baik, tetapi tindakan dan percakapan kita sudahpun menzahirkannya.

Temanku,
Aku berharap, kita sama-sama dapat memperbaiki diri kita supaya berusaha untuk mengawal marah kerana, "orang yang kuat bukanlah orang yang dapat melawan musuh tetapi orang yang dapat mengawal diri ketika marah..." (Muttafaqun 'Alaih)

Oleh itu, beristighfarlah sekurang-kurangnya 70 kali sehari untuk kita renung kembali diri kita. Muhasabahlah diri kita selalu kerana antara adab terhadap diri sendiri ialah :-

1. Bertaubat (memohan keampunan kepada Allah setelah berasa diri melakukan dosa)
2. Muraqabah (yakin bahawa diri sentiasa dipantau oleh Allah)
3. Muhasabah (renung kembali diri dan nilailah sendiri diri kita)
4. Mujahadah atau dalam erti kata lain, 'bersungguh-sungguh' (contohnya mujahadah melawan nafsu)
5. Mu'atabah (suka menegur diri sendiri bukan menegur orang lain dan suka cari kesalahan orang lain)

"Example is better than precept, right?" ^ ^


Selalulah mengharap pergantungan kepada Allah supaya bantu kita untuk tanamkan sifat sabar dalam diri kerana Allahlah sebaik-baik penolong.

Seorang hamba Allah pernah berkata,
"Sesiapa yang menyangka bahawa dia mempunyai penolong yang lebih hebat daripada Allah, bererti baru sedikit dia mengenal Tuhannya. Dan sesiapa yang menyangka dia mempunyai musuh yang lebih hebat daripada dirinya, bererti baru sedikit dia mengenali dirinya sendiri."

Yuk! Teruskan perjuangan! Berusaha untuk menahan marah walau terkadang terasa payah tetapi sebenrnya indah! Yuk! Insha Allah BOLEH! ^ ^


Firman Allah S.W.T :-

"Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan (balasan) yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar,"
[ Surah An-Nahl : Ayat 126 ]

Allah S.W.T berfirman lagi :-
"Tetapi sesiapa yang bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia,"
[ Surah As-Syu'ara' : Ayat 43 ]

Ayat-ayat di atas menyeru kita supaya menahan marah dan bersabar kerana itu lebih baik. Bersabar itu besar pahalanya  serta ditinggikan darjatnya oleh Allah di akhirat kelak. 

Wallahu 'alam dan wassalam.... ^ ^

Tuesday, May 31, 2011

Mana Allah? Mana??

Pada suatu hari, seorang pemuda berjumpa dengan ulama' di negerinya untuk bertanyakan tentang kewujudan Allah kerana pemuda tersebut masih tidak mempercayai adanya Allah sebagai Tuhan yang Maha Esa dan pencipta sekalian makhluk. Baginya, tidak dapat diterima dek akal kerana menyembah sesuatu yang tidak kelihatan di mata kasar manusia.


Pemuda : Kenapa kita mesti sembah benda yang kita tak nampak? Kalau betul Allah memang wujud, mana Allah? Mana??

Ulama' : (bertindak menampar pemuda tersebut)

Pemuda : Kenapa tampar saya? Kalau marah pun, janganlah tampar saya!

Ulama' : Kamu rasa sakit tak?

Pemuda : Mestilah saya rasa sakit. Dah kena tampar.

Ulama' : Kalau kamu rasa sakit, tunjukkan saya, mana rupa sakit?

Pemuda : (menunjuk ke arah pipinya)

Ulama' : Itu bukan rupa sakit, itu pipi.

Pemuda : Tapi inilah kesan sakit. Merah pipi saya.

Ulama' : Itu kesan sakit, bukan rupa sakit. Yang saya tanya bukan kesan sakit tapi rupa sakit. Kamu nampak atau tak rupa sakit?

Pemuda : (menggeleng-gelengkan kepalanya)

Ulama' : Tapi kamu dapat merasainya, betul?

Pemuda : (menganggukkan kepalanya)

Ulama' : Begitulah juga dengan Allah. Kita tak nampak rupa Allah tapi kita dapat merasai kewujudan-Nya. Kita tak dapat melihat rupa Allah dan tak dapat melihat-Nya, tapi kita tahu Dia memang ada. Jadi, janganlah menafikan kewujudan-Nya.

Saturday, May 28, 2011

Hamba-Mu (Mawi dan Akhill Hayy)






Ke arah satu perjalanan,
Dalam sebuah kehidupan,
Demi untuk mengecapi,
Hasrat murni di dalam hati...

Usaha dengan doa,
Masanya akan tiba,
Dengan restu Ilahi,
Kelak pasti akan ditemui...



Suluhkan cahaya dihati terang,
Tunjukkan jalan seandainya hilang,
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh,


Tegakkan semangat bila runtuh...



Setibanya disisimu kuberserah,
Terimalah aku,
Hamba-Mu, Allah... 

Hamba-Mu Allah.....

Sekiranya takdir menguji,
Cekalkanlah hasrat dihati,
Semoga kesusahan bisa,
Mengajar erti terus azam...

Usaha dengan doa,
Masanya akan tiba,
* Dengan restu Ilahi,
Kelak pasti akan ditemui...

Suluhkan cahaya dihati terang,
Tunjukkan jalan seandainya hilang,
Tegakkan perjalanan yang bakal ditempuh,
Tegakkan semangat bila runtuh...



Setibanya disisimu kuberserah,
Terimalah aku,
Hamba-Mu, Allah...


Ulang * dan seterusnya... ^ ^




Peraturan Sekolah atau Kotoran dihati?


Kelly melangkah keluar daripada bilik disiplin. Perasaannya bercampur baur. Sedih, kecewa, marah, geram, semua ada. Dia melangkah lemah. Fikirannya menerawang. Kata-kata guru disiplin terngiang-ngiang.

"Awak tahu tak apa sebab saya panggil awak ke mari?", tanya Puan Tasnim, guru disiplin SMK Taman Seri Murni, Selangor.

Kelly membisu.

"Awak tahu tak?", tanyanya lagi seolah-olah memaksa Kelly untuk menjawab pertanyaannya.

Kelly mengangguk.

"Baguslah kalau awak tahu. Senang sikit kerja saya. Saya ingatkan awak sekali lagi. Sekolah ni ada peraturan. Peraturan mesti dipatuhi,betul? Awakkan orang yang kuat agama? Takkan tak tahu kot?", kasar sungguh bunyinya.

Kelly tetap membisu dan merenung ke arah lantai.

"Dah banyak kali saya ingatkan awak, jangan langgar peraturan. Nak buat apa pakai tudung labuh macam ni di sekolah? Dah macam ustazah dah saya tengok?"

Kelly mengangkat mukanya lalu memandang tepat ke arah Puan Tasnim dan berkata dengan nada perlahan,
"Salah ke cikgu saya pakai macam ni?"


"Saya kata, sekolah ni ada peraturan. Awak masih tak faham-faham ke? PERATURAN. Saya bagi amaran sekali lagi pada awak, JANGAN PAKAI MACAM NI DI SEKOLAH. Saya rimas ! "

Dalam keadaan yang tegang seperti itu, rasa marah dalam diri Kelly mula timbul. Namun, ditahannya juga di dalam hati. Kelly tahu, dia hanya seorang murid dan sebagai seorang murid, dia mesti menghormati gurunya.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w. “Berwasiatlah kepadaku, “Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”
[ Riwayat al-Bukhari ]
Walaubagaimanapun, jauh di sudut hatinya, ingin sahaja dia membalas dan membidas kata-kata pincang guru tersebut! Ingin sahaja dia menyatakan,
'Tudung labuh bukan peraturan saya cikgu. Bukan peraturan manusia. PERATURAN ALLAH. Mana yang lebih penting? Peraturan Allah atau peraturan sekolah?'
Namun, Kelly simpan sahaja kata-kata itu di kotak fikirannya. Bukan tidak berani tetapi takut terlebih emosi. Ekoran daripada rasa marah yang dipendam, air mata Kelly mula mengalir dek kerana tidak mampu meluahkan.
"Tak perlu menangis. Lepas ni, saya nak awak pakai tudung biasa-biasa je. Saya tak halang awak nak pakai tudung tapi saya tak nak awak pakai tudung labuh. Faham?? Baiklah, awak boleh keluar sekarang. Ingat! Ini amaran terakhir saya. Saya akan ambil tindakan kalau awak tak mematuhi arahan saya!"



********************************************
"Khadijah?? Ooo, Khadijah. Fikir apa sambil berjalan tu?" Syuhada menyapa Kelly.
Kelly masih mengelamun. Fikirannya masih di bilik disiplin walaupun jasadnya sedang berjalan menuju ke kelas.


"Khadijah.......", Syuhada menyentuh lembut bahu Kelly.
Kelly tersentak.
"Eh, errrr... Syuhada... Sorry, saya tak perasan Syuhada ada kat sebelah. Dari mana ni?"
"Dari bilik guru, jumpa Cikgu Aizam tadi. Waktu nak balik kelas, ternampak Khadijah baru keluar daripada bilik disiplin. Emm, boleh saya tanya sesuatu?"
"Err... Tanyalah."
"Kenapa Puan Tasnim nak jumpa Khadijah? Syuhada rasa, Khadijah tak pernah buat hal kat sekolah ni. Langgar peraturan tu, setahu saya, tak pernah. Confuse saya dibuatnya.", tanya Syuhada.
Langkah Kelly terhenti dan diikuti pula dengan Syuhada. Air mata Kelly berlinang.
"Err...Syuhada. Jom kita duduk kat Taman Rimup tu kejap.", Kelly bersuara perlahan.
Syuhada mengangguk tanda setuju.
"Syuhada, salah ke saya nak pakai tudung labuh??", Kelly mula bersuara.
Syuhada memandang tepat ke arahnya.


"Tak salah Khadijah... Awak nak tahu tak? Saya kagum sangat dengan awak sebab dalam sekolah ni awak seorang je yang pakai tudung labuh. Walaupun saya tahu, dulu awak tak macam tu tapi saya betul-betul gembira dengan perubahan yang awak buat sekarang. Sedangkan saya, tak kuat nak buat macam awak. Ada terniat, tapi tak pernah laksanakan sebab terlalu memikirkan 'apa kata orang nanti'. Tapi sejak awak buat perkara ni, awak betul-betul bagi inspirasi pada saya.", Syuhada berkata sambil mengusap-usap tangan Kelly.
Kelly sebak dan terus memeluk Syuhada.


"Terima kasih Syuhada. Awak bagi semangat pada saya.", bisik Kelly ketika memeluk Syuhada.
"Err.. Syuhada. Jomlah balik kelas. Takut cikgu ingat kita ponteng pula nanti."
"Ok. Jom.", balas Syuhada sambil tersenyum manis.
*****************************************



Setibanya di kelas, Syuhada dan Kelly mengambil tempat duduk masing-masing.

"Faizah, cikgu tak masuk ke?", tanya Kelly kepada ketua kelas 5 Kenanga.

"Cikgu tak datang tapi cikgu ganti tak muncul-muncul lagi dari tadi.", jawab Faizah.

"Tak sangka dah hampir 45 minit saya pergi bilik disiplin.", Kelly berkata.

"Khadijah, awak tak payah layan sangat Puan Tasnim tu. Tapi kalau dia cakap benda baik layan la. Hehe. Yang tak payah layannya bila dia cakap benda-benda yang macam ni la. Tak patut betul. Tapi nak buat macam mana kalau memang sikap dia macam tu. Pilihan dia. ", Faizah berkata seolah-olah mengetahui perkara yang sedang berlaku.

"Terima kasih, Faizah. awak baik sangat dengan saya.", Kelly tersenyum.



"Hehe. Sama-sama aja kok.," balas Faizah sambil meniru gaya bahasa orang Indonesia. Ceria sungguh orangnya.

Sedang Kelly dan Faizah berbual-bual, terdengar beberapa suara yang mengganggu perbualan mereka.

"Khadijah konon. Dah nama Kelly tu, Kelly je la! Nak guna nama Khadijah pula. Kau tu jangan nak perasan seolah-olah kau tu semulia Khadijah, isteri Nabi Muhammad tu!", Saerah bersuara lantang.

"Hahaha! Aku sokong! Aku sokong!" sampuk konco-konconya yang lain.

Kelly memekakkan telinga. Saerah mendekatinya sambil berkata,

"Kau ni, aku tengok takdelah cantik mana. Dahlah tak cantik. Berjerawat pula tu. Tapi aku tak tahu macam mana orang lain boleh suka kat kau, senang je nak berkawan dengan kau. Kau ni nampak je macam baik, tapi tak baik pun. Aku kenal la kau macam mana dulu. Tak payah la nak pura-pura baik. Kau ni dulu lagi dahsyat daripada aku. Perghhh, seksi gila! Yalah... Nama pun 'Kelly' kan. Lupa pula aku, nama ala-ala orang Barat!"


Kelly tidak menghiraukan kata-kata Saerah. Dia meneruskan tugas yang ingin dilakukannya sambil berdoa di dalam hati,

'Ya Allah, kuatkanlah iman aku kerana aku tahu, orang yang kuat bukanlah orang yang dapat melawan musuhnya tetapi orang yang dapat mengawal marahnya. Laa Haula Wala Quwwata Illa Billah....'


Kelly menahan rasa marahnya. Seperti biasa, bukan kerana tidak berani tetapi takut terlebih emosi.



Satu kelas memandang ke arah Saerah dan Kelly. Perempuan-perempuan di dalam kelas 5 Kenanga tidak berani bersuara kerana tahu kekuatan kumpulan Saerah.

Tiba-tiba, salah seorang daripada kalangan lelaki bangun dan menuju ke arah mereka. Aswad namanya.

"Dahlah Saerah. Malulah. Kalau kau tak malu pada diri kau sendiri, malulah pada orang sekeliling yang tengah tengok ni. Tak payah nak malukan orang lain pula. Tolonglah balik tempat duduk kau balik. Dia tak kacau kau, kau tak payahlah nak kacau dia. Dahlah tu...", Aswad berkata dengan tenang kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Aswad tidak mahu Kelly dimalukan lagi. Entah bagaimana hari ini, cukup kekuatannya untuk menegur sikap Saerah terhadap Kelly.

Saerah terkejut. Inilah kali pertama lelaki menegurnya. Rasa malu mula timbul di dalam diri Saerah. Saerah akur sambil mulutnya berceloteh sendirian.



Kelly memandang Aswad. Dia tersenyum lega sebagai tanda terima kasihnya kepada Aswad. Aswad mengangguk dan berlalu menuju ke tempat duduknya semula. Puas rasa hatinya dapat membantu orang yang teraniaya seperti Kelly.

Saerah dan konco-konconya yang lain tidak berpuas hati namun Kelly tetap teguh berdiri, menghadapi kenyataan yang memeritkan setiap hari.

'Syukur, Alhamdulillah. Thank you Allah for helping me. Thank you Aswad. Alhamdulillah, masih ada yang memberi bantuan tanpa dipinta. Aku sangat bersyukur pada-Mu.", hati Kelly tidak henti-henti bersyukur.

Itulah sifat Kelly. Sejak menerima petunjuk daripada Allah, dia menjadi seorang yang lebih tenang dan tidak mudah menggelabah. Namun ada kalanya, kelemahannya sebagai manusia biasa akan kelihatan juga. Maklumlah, tiada manusia yang sempurna. Para nabi dan para rasul juga manusia biasa tetapi kerana mereka ialah manusia yang dipilih oleh Allah, maka mereka dipelihara yang disebut juga sebagai 'maksum'.

Kelly redha dengan takdir-Nya. Nama sebenarnya ialah Kelly Anne binti Jason Abdullah. Anak kelahiran yang berdarah campuran Amerika dengan Melayu itu lahir dalam keluarga yang berada. Kelly pula  kurang dididik dengan ilmu agama. Namanya diberi oleh ayahnya, Jason Abdullah. Walaubagaimanapun, sejak Allah memberi hidayah kepadanya, dia tidak mahu dipanggil dengan nama itu lagi. Biarlah nama 'Khadijah' meniti di bibir teman-temannya. Baginya, nama itu seolah-olah doa. Jika seseorang memanggilnya dengan nama yang baik-baik, nama itu seolah-olah doa untuknya, doa supaya dia dapat berubah ke arah yang lebih baik lagi selepas ini walaupun dia tahu, dia tidak mampu menjadi semulia Khadijah, isteri Nabi Muhammad S.A.W.



**********************************************


Hidup di dunia ini memang banyak dugaan dan ujian yang Allah S.W.T akan bagi. Dan setiap dugaan yang diberikan oleh Allah semuanya bergantung kepada kekuatan diri kita. Seperti yang pernah saya katakan, 


"Semakin kuat diri kita, semakin kuat ujian yang akan Allah beri."


Dan...
Kita menjadi bertambah kuat untuk mengharungi kehidupan yang akan datang. Insya Allah. Percayalah pada Allah, maka segalanya akan menjadi mudah. Insya Allah.


Setiap ujian dan dugaan yang diterima oleh setiap orang, semuanya berbeza-beza mengikut kemampuan hamba-hamba-Nya. Dan perbezaan inilah yang membuatkan kita berfikir sesama sendiri. Kamu setuju tak kalau saya kata, kalau kita diuji, kita menjadi lebih beringat. Kalau kita berada dalam keadaan yang susah atau memeritkan, kita jadi lebih 'sedar' siapa diri kita, asal kejadian kita, proses kejadian kita. Tetapi, kalau kita tak diuji, kita mudah leka, kita mudah alpa. Silap-silap haribulan, kita jadi LUPA DIRI. Banyakkan kes yang sudah berlaku?


Walauapa keadaan sekalipun, berpegang teguhlah pada Allah. Pedulikan kata manusia andai kata manusia itu hanya menghalang kita untuk terus mendekatkan diri kepada Allah. Perkataan 'pedulikan' di situ tak bermakna apa-apa yang dicakap olehnya, kita 'buat dek' sahaja. Tetapi jika seseorang menyentuh atau menghalang perkara-perkara baik yang kita buat, biarkan dia. Doakanlah si dia supaya diberi hidayah oleh Allah. Tidak mustahil, suatu hari nanti, individu tersebut jadi lebih baik daripada diri kita. Jadi, doakanlah. Insya Allah.


Tiada manusia yang sempurna. Setiap manusia mempunyai kelemahan dan kelebihan. Pakar motivasi, pendakwah, cikgu, doktor, penulis, ibu bapa, adik-adik dan setiap insan mempunyai kelemahan dan kelebihan diri masing-masing. Pernah suatu ketika, teman saya berkata kepada saya,


"Kau nak tahu tak, anak ustazah tu seksi. Keluar rumah pakai ketat-ketat. Gambar dia pernah keluar kat internet. Emak je ustazah tapi anak?????"


Astaghfirullahalazhim.
Ingat! Iman tak dapai diwarisi. Andai kata ibu bapa soleh, anak turut jadi soleh, andai kata ibu bapa jahil, anak turut jadi jahil. Tidak! Tidak semestinya. Semuanya bergantung pada usaha kita dalam mencari redha dan hidayah Allah. Kalau ibu bapa tak ajar, kita ajarlah diri kita sendiri. Bermacam-macam cara boleh guna untuk cari informasi atau maklumat. Contohnya, internet, baca buku, majalah dan lain-lain lagi. Jangan salahkan ibubapa semata-mata dengan mengatakan,


"Alah... Mak bapak aku tak pernah ajar pun??"


Kalau kata kita betul-betul nak tahu sesuatu perkara, tentu kita beusaha mencarinya. Insya Allah.


Jadi, walauapapun ujian dan halangan, kita pasti akan tempuhinya! Yang penting, percaya pada Allah, bahawa Dia sentiasa akan membantu hamba-hamba yang mencari redha-Nya...! Insya Allah ~



Wassalam. ^ ^



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...