Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Saturday, May 28, 2011

Peraturan Sekolah atau Kotoran dihati?


Kelly melangkah keluar daripada bilik disiplin. Perasaannya bercampur baur. Sedih, kecewa, marah, geram, semua ada. Dia melangkah lemah. Fikirannya menerawang. Kata-kata guru disiplin terngiang-ngiang.

"Awak tahu tak apa sebab saya panggil awak ke mari?", tanya Puan Tasnim, guru disiplin SMK Taman Seri Murni, Selangor.

Kelly membisu.

"Awak tahu tak?", tanyanya lagi seolah-olah memaksa Kelly untuk menjawab pertanyaannya.

Kelly mengangguk.

"Baguslah kalau awak tahu. Senang sikit kerja saya. Saya ingatkan awak sekali lagi. Sekolah ni ada peraturan. Peraturan mesti dipatuhi,betul? Awakkan orang yang kuat agama? Takkan tak tahu kot?", kasar sungguh bunyinya.

Kelly tetap membisu dan merenung ke arah lantai.

"Dah banyak kali saya ingatkan awak, jangan langgar peraturan. Nak buat apa pakai tudung labuh macam ni di sekolah? Dah macam ustazah dah saya tengok?"

Kelly mengangkat mukanya lalu memandang tepat ke arah Puan Tasnim dan berkata dengan nada perlahan,
"Salah ke cikgu saya pakai macam ni?"


"Saya kata, sekolah ni ada peraturan. Awak masih tak faham-faham ke? PERATURAN. Saya bagi amaran sekali lagi pada awak, JANGAN PAKAI MACAM NI DI SEKOLAH. Saya rimas ! "

Dalam keadaan yang tegang seperti itu, rasa marah dalam diri Kelly mula timbul. Namun, ditahannya juga di dalam hati. Kelly tahu, dia hanya seorang murid dan sebagai seorang murid, dia mesti menghormati gurunya.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w. “Berwasiatlah kepadaku, “Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”
[ Riwayat al-Bukhari ]
Walaubagaimanapun, jauh di sudut hatinya, ingin sahaja dia membalas dan membidas kata-kata pincang guru tersebut! Ingin sahaja dia menyatakan,
'Tudung labuh bukan peraturan saya cikgu. Bukan peraturan manusia. PERATURAN ALLAH. Mana yang lebih penting? Peraturan Allah atau peraturan sekolah?'
Namun, Kelly simpan sahaja kata-kata itu di kotak fikirannya. Bukan tidak berani tetapi takut terlebih emosi. Ekoran daripada rasa marah yang dipendam, air mata Kelly mula mengalir dek kerana tidak mampu meluahkan.
"Tak perlu menangis. Lepas ni, saya nak awak pakai tudung biasa-biasa je. Saya tak halang awak nak pakai tudung tapi saya tak nak awak pakai tudung labuh. Faham?? Baiklah, awak boleh keluar sekarang. Ingat! Ini amaran terakhir saya. Saya akan ambil tindakan kalau awak tak mematuhi arahan saya!"



********************************************
"Khadijah?? Ooo, Khadijah. Fikir apa sambil berjalan tu?" Syuhada menyapa Kelly.
Kelly masih mengelamun. Fikirannya masih di bilik disiplin walaupun jasadnya sedang berjalan menuju ke kelas.


"Khadijah.......", Syuhada menyentuh lembut bahu Kelly.
Kelly tersentak.
"Eh, errrr... Syuhada... Sorry, saya tak perasan Syuhada ada kat sebelah. Dari mana ni?"
"Dari bilik guru, jumpa Cikgu Aizam tadi. Waktu nak balik kelas, ternampak Khadijah baru keluar daripada bilik disiplin. Emm, boleh saya tanya sesuatu?"
"Err... Tanyalah."
"Kenapa Puan Tasnim nak jumpa Khadijah? Syuhada rasa, Khadijah tak pernah buat hal kat sekolah ni. Langgar peraturan tu, setahu saya, tak pernah. Confuse saya dibuatnya.", tanya Syuhada.
Langkah Kelly terhenti dan diikuti pula dengan Syuhada. Air mata Kelly berlinang.
"Err...Syuhada. Jom kita duduk kat Taman Rimup tu kejap.", Kelly bersuara perlahan.
Syuhada mengangguk tanda setuju.
"Syuhada, salah ke saya nak pakai tudung labuh??", Kelly mula bersuara.
Syuhada memandang tepat ke arahnya.


"Tak salah Khadijah... Awak nak tahu tak? Saya kagum sangat dengan awak sebab dalam sekolah ni awak seorang je yang pakai tudung labuh. Walaupun saya tahu, dulu awak tak macam tu tapi saya betul-betul gembira dengan perubahan yang awak buat sekarang. Sedangkan saya, tak kuat nak buat macam awak. Ada terniat, tapi tak pernah laksanakan sebab terlalu memikirkan 'apa kata orang nanti'. Tapi sejak awak buat perkara ni, awak betul-betul bagi inspirasi pada saya.", Syuhada berkata sambil mengusap-usap tangan Kelly.
Kelly sebak dan terus memeluk Syuhada.


"Terima kasih Syuhada. Awak bagi semangat pada saya.", bisik Kelly ketika memeluk Syuhada.
"Err.. Syuhada. Jomlah balik kelas. Takut cikgu ingat kita ponteng pula nanti."
"Ok. Jom.", balas Syuhada sambil tersenyum manis.
*****************************************



Setibanya di kelas, Syuhada dan Kelly mengambil tempat duduk masing-masing.

"Faizah, cikgu tak masuk ke?", tanya Kelly kepada ketua kelas 5 Kenanga.

"Cikgu tak datang tapi cikgu ganti tak muncul-muncul lagi dari tadi.", jawab Faizah.

"Tak sangka dah hampir 45 minit saya pergi bilik disiplin.", Kelly berkata.

"Khadijah, awak tak payah layan sangat Puan Tasnim tu. Tapi kalau dia cakap benda baik layan la. Hehe. Yang tak payah layannya bila dia cakap benda-benda yang macam ni la. Tak patut betul. Tapi nak buat macam mana kalau memang sikap dia macam tu. Pilihan dia. ", Faizah berkata seolah-olah mengetahui perkara yang sedang berlaku.

"Terima kasih, Faizah. awak baik sangat dengan saya.", Kelly tersenyum.



"Hehe. Sama-sama aja kok.," balas Faizah sambil meniru gaya bahasa orang Indonesia. Ceria sungguh orangnya.

Sedang Kelly dan Faizah berbual-bual, terdengar beberapa suara yang mengganggu perbualan mereka.

"Khadijah konon. Dah nama Kelly tu, Kelly je la! Nak guna nama Khadijah pula. Kau tu jangan nak perasan seolah-olah kau tu semulia Khadijah, isteri Nabi Muhammad tu!", Saerah bersuara lantang.

"Hahaha! Aku sokong! Aku sokong!" sampuk konco-konconya yang lain.

Kelly memekakkan telinga. Saerah mendekatinya sambil berkata,

"Kau ni, aku tengok takdelah cantik mana. Dahlah tak cantik. Berjerawat pula tu. Tapi aku tak tahu macam mana orang lain boleh suka kat kau, senang je nak berkawan dengan kau. Kau ni nampak je macam baik, tapi tak baik pun. Aku kenal la kau macam mana dulu. Tak payah la nak pura-pura baik. Kau ni dulu lagi dahsyat daripada aku. Perghhh, seksi gila! Yalah... Nama pun 'Kelly' kan. Lupa pula aku, nama ala-ala orang Barat!"


Kelly tidak menghiraukan kata-kata Saerah. Dia meneruskan tugas yang ingin dilakukannya sambil berdoa di dalam hati,

'Ya Allah, kuatkanlah iman aku kerana aku tahu, orang yang kuat bukanlah orang yang dapat melawan musuhnya tetapi orang yang dapat mengawal marahnya. Laa Haula Wala Quwwata Illa Billah....'


Kelly menahan rasa marahnya. Seperti biasa, bukan kerana tidak berani tetapi takut terlebih emosi.



Satu kelas memandang ke arah Saerah dan Kelly. Perempuan-perempuan di dalam kelas 5 Kenanga tidak berani bersuara kerana tahu kekuatan kumpulan Saerah.

Tiba-tiba, salah seorang daripada kalangan lelaki bangun dan menuju ke arah mereka. Aswad namanya.

"Dahlah Saerah. Malulah. Kalau kau tak malu pada diri kau sendiri, malulah pada orang sekeliling yang tengah tengok ni. Tak payah nak malukan orang lain pula. Tolonglah balik tempat duduk kau balik. Dia tak kacau kau, kau tak payahlah nak kacau dia. Dahlah tu...", Aswad berkata dengan tenang kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Aswad tidak mahu Kelly dimalukan lagi. Entah bagaimana hari ini, cukup kekuatannya untuk menegur sikap Saerah terhadap Kelly.

Saerah terkejut. Inilah kali pertama lelaki menegurnya. Rasa malu mula timbul di dalam diri Saerah. Saerah akur sambil mulutnya berceloteh sendirian.



Kelly memandang Aswad. Dia tersenyum lega sebagai tanda terima kasihnya kepada Aswad. Aswad mengangguk dan berlalu menuju ke tempat duduknya semula. Puas rasa hatinya dapat membantu orang yang teraniaya seperti Kelly.

Saerah dan konco-konconya yang lain tidak berpuas hati namun Kelly tetap teguh berdiri, menghadapi kenyataan yang memeritkan setiap hari.

'Syukur, Alhamdulillah. Thank you Allah for helping me. Thank you Aswad. Alhamdulillah, masih ada yang memberi bantuan tanpa dipinta. Aku sangat bersyukur pada-Mu.", hati Kelly tidak henti-henti bersyukur.

Itulah sifat Kelly. Sejak menerima petunjuk daripada Allah, dia menjadi seorang yang lebih tenang dan tidak mudah menggelabah. Namun ada kalanya, kelemahannya sebagai manusia biasa akan kelihatan juga. Maklumlah, tiada manusia yang sempurna. Para nabi dan para rasul juga manusia biasa tetapi kerana mereka ialah manusia yang dipilih oleh Allah, maka mereka dipelihara yang disebut juga sebagai 'maksum'.

Kelly redha dengan takdir-Nya. Nama sebenarnya ialah Kelly Anne binti Jason Abdullah. Anak kelahiran yang berdarah campuran Amerika dengan Melayu itu lahir dalam keluarga yang berada. Kelly pula  kurang dididik dengan ilmu agama. Namanya diberi oleh ayahnya, Jason Abdullah. Walaubagaimanapun, sejak Allah memberi hidayah kepadanya, dia tidak mahu dipanggil dengan nama itu lagi. Biarlah nama 'Khadijah' meniti di bibir teman-temannya. Baginya, nama itu seolah-olah doa. Jika seseorang memanggilnya dengan nama yang baik-baik, nama itu seolah-olah doa untuknya, doa supaya dia dapat berubah ke arah yang lebih baik lagi selepas ini walaupun dia tahu, dia tidak mampu menjadi semulia Khadijah, isteri Nabi Muhammad S.A.W.



**********************************************


Hidup di dunia ini memang banyak dugaan dan ujian yang Allah S.W.T akan bagi. Dan setiap dugaan yang diberikan oleh Allah semuanya bergantung kepada kekuatan diri kita. Seperti yang pernah saya katakan, 


"Semakin kuat diri kita, semakin kuat ujian yang akan Allah beri."


Dan...
Kita menjadi bertambah kuat untuk mengharungi kehidupan yang akan datang. Insya Allah. Percayalah pada Allah, maka segalanya akan menjadi mudah. Insya Allah.


Setiap ujian dan dugaan yang diterima oleh setiap orang, semuanya berbeza-beza mengikut kemampuan hamba-hamba-Nya. Dan perbezaan inilah yang membuatkan kita berfikir sesama sendiri. Kamu setuju tak kalau saya kata, kalau kita diuji, kita menjadi lebih beringat. Kalau kita berada dalam keadaan yang susah atau memeritkan, kita jadi lebih 'sedar' siapa diri kita, asal kejadian kita, proses kejadian kita. Tetapi, kalau kita tak diuji, kita mudah leka, kita mudah alpa. Silap-silap haribulan, kita jadi LUPA DIRI. Banyakkan kes yang sudah berlaku?


Walauapa keadaan sekalipun, berpegang teguhlah pada Allah. Pedulikan kata manusia andai kata manusia itu hanya menghalang kita untuk terus mendekatkan diri kepada Allah. Perkataan 'pedulikan' di situ tak bermakna apa-apa yang dicakap olehnya, kita 'buat dek' sahaja. Tetapi jika seseorang menyentuh atau menghalang perkara-perkara baik yang kita buat, biarkan dia. Doakanlah si dia supaya diberi hidayah oleh Allah. Tidak mustahil, suatu hari nanti, individu tersebut jadi lebih baik daripada diri kita. Jadi, doakanlah. Insya Allah.


Tiada manusia yang sempurna. Setiap manusia mempunyai kelemahan dan kelebihan. Pakar motivasi, pendakwah, cikgu, doktor, penulis, ibu bapa, adik-adik dan setiap insan mempunyai kelemahan dan kelebihan diri masing-masing. Pernah suatu ketika, teman saya berkata kepada saya,


"Kau nak tahu tak, anak ustazah tu seksi. Keluar rumah pakai ketat-ketat. Gambar dia pernah keluar kat internet. Emak je ustazah tapi anak?????"


Astaghfirullahalazhim.
Ingat! Iman tak dapai diwarisi. Andai kata ibu bapa soleh, anak turut jadi soleh, andai kata ibu bapa jahil, anak turut jadi jahil. Tidak! Tidak semestinya. Semuanya bergantung pada usaha kita dalam mencari redha dan hidayah Allah. Kalau ibu bapa tak ajar, kita ajarlah diri kita sendiri. Bermacam-macam cara boleh guna untuk cari informasi atau maklumat. Contohnya, internet, baca buku, majalah dan lain-lain lagi. Jangan salahkan ibubapa semata-mata dengan mengatakan,


"Alah... Mak bapak aku tak pernah ajar pun??"


Kalau kata kita betul-betul nak tahu sesuatu perkara, tentu kita beusaha mencarinya. Insya Allah.


Jadi, walauapapun ujian dan halangan, kita pasti akan tempuhinya! Yang penting, percaya pada Allah, bahawa Dia sentiasa akan membantu hamba-hamba yang mencari redha-Nya...! Insya Allah ~



Wassalam. ^ ^



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...