Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Sunday, September 21, 2014

Berikan Aku Ikhlas ...



‘Along. Cepatlah check result.’ , mesej daripada sahabat sekelas saya, Ain, menghiasi ruang inbox telefon bimbit saya. Saya yang sedang leka membuat kerja cepat-cepat membuka komputer. Ada debaran terasa.

21 November 2013. Tarikh keramat bagi para pelajar politeknik mengetahui keputusan peperiksaan masing-masing. Saya yang baru sahaja tamat semester dua pada ketika itu tidak terkecuali.

‘Klik!’ , punat “Keputusan Peperiksaan” ditekan di laman sesawang “iPUO”. Kemudian... Alangkah terkejutnya saya melihat keputusan peperiksaan saya yang naik mendadak berbanding semester lepas.

“Eh? Ini result aku ke? Alhamdulillah....!”, terpacul kata-kata itu dari mulut saya secara spontan. Terasa ingin menangis. Bukan tangisan kerana kesedihan, tetapi tangisan kegembiraan dan keterharuan. Terharu dengan Allah yang bersifat Ar-Rahman. Hati tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran.



Bi iznillah

Setiap perkara yang berlaku adalah kerana adanya izin daripada ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala. Tanpa ada izin daripada-Nya, sesuatu perkara tidak mungkin berlaku. Mengapa begitu? Kerana ALLAH ialah Tuhan yang Maha Esa. ALLAH yang Maha Berkuasa ke atas segala-galanya. DIA yang mentadbir dan mengurus alam ini sesuai dengan kehendak-Nya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala :-

“Sesungguhnya, urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah!”. Maka jadilah sesuatu itu.”
(Surah Yaasiin : Ayat 82)

Jadi, usahlah kita berbangga diri dan sombong tatkala mendapat keputusan yang cemerlang. Kita seharusnya sedar bahawa kita ini zero. Kosong. Ya, kosong. Tidak punya apa-apa melainkan jika adanya izin daripada Allah. Kelebihan, kepandaian dan kebijakan yang kita miliki adalah atas kehendak-Nya. Adanya izin daripada-Nya. Mana mungkin sesuatu perkara berlaku tanpa adanya izin daripada Allah? Mustahil sekali! Setiap perkara hatta perkara yang negatif seperti musibah, turut berlaku kerana adanya izin daripada Allah. Bi iznillah!

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala :-

“Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput daripada kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri.”
(Surah Al-Hadid : Ayat 22-23)

Sewaktu mengetahui keputusan peperiksaan saya yang naik begitu mendadak, hati saya berbisik sesuatu.
‘Semoga Allah memberkati result exam aku ini... Amin....’

Saat itu, saya juga terfikir tentang sesuatu. Bagi saya, pelajar yang BENAR-BENAR cemerlang di dunia dan di akhirat ialah pelajar yang belajar kerana mahukan keredhaan dan keberkatan daripada Allah. Bukan belajar kerana mahukan keputusan peperiksaan yang gempak semata-mata dek kerana terpaksa menduduki peperiksaan pada akhir semester atau seumpamanya.

Saat ini juga, hati saya mula berbisik, ‘Benar-benar cemerlangkah aku?’

Buat sahabat-sahabat yang membaca coretan saya ini, muhasabahlah semula tentang diri kita. Adakah segala perkara yang kita dapat atau buat mendapat barakah? Adakah diberkati Allah? Apakah Allah redha?

Bagaimana mahu menilai tentang perkara ‘sekecil’ ini? Tidak. Ia mungkin nampak kecil. Tetapi memainkan peranan yang sangat besar dalam kehidupan kita. Keberkatan itu sangat penting, sahabat. Apalah guna keputusan yang cemerlang tetapi keberkatan terbang melayang? Nilailah semua segala usaha yang kita lakukan sebelum mendapat keputusan cemerlang, apakah ianya BENAR-BENAR diberkati oleh Allah ataupun tidak? 

Ayuhlah kita memuhasabah kembali.
  1. Adakah kita benar-benar ikhlas belajar kerana Allah atau kerana mahukan keputusan yang cemerlang semata-mata?
  2. Adakah kita benar-benar jujur dalam quiz ataupun test tempoh hari? Meniru ataupun tidak?
  3. Adakah segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah disiapkan dengan penuh rasa tanggungjawab dan ikhlas atau sekadar terpaksa?
Sahabat... Jika benar kita lakukan sesuatu kerana Allah, diri kita pasti sentiasa bersemangat dan tidak akan pernah jemu dalam menuntut ilmu. Jika kita benar-benar ikhlas dalam menuntut ilmu, sudah tentu kita tidak akan meniru. Andai ada antara sahabat saya yang pernah melakukan hal itu, ingatlah bahawa Allah itu Maha Melihat. Tiada suatupun yang terhalang daripada pandangan dan penglihatan Allah. Andai ketika kamu meniru, pensyarah tidak nampak akan hal itu, ingatlah bahawa, ‘Allah is watching you!’. Jika kamu meniru kerana mahu tinggikan markah, muhasabahlah bahawa, apalah guna tinggi markah tetapi hilang barakah?



Ilmu Itu Mulia

Untuk mendapatkan sesuatu yang mulia, tentulah dengan cara yang mulia juga, bukan? Ilmu itu mulia. Maka, dapatkanlah ia dengan cara yang mulia dan terhormat. Bagaimana ilmu boleh dikategorikan sebagai mulia? Masakan tidak? Ilmu merupakan jalan menuju ke Syurga-Nya yang abadi. Oleh sebab itu, ilmu mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam.

Sabda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam :-

“Barangsiapa yang meniti suatu jalan untuk memperoleh ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan baginya menuju ke Syurga.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam kitab ‘Hadis 40 oleh Imam Al-Nawawi’, Imam Al-Nawawi ada menyatakan, untuk menguatkan bahawa ilmu ialah jalan paling pendek yang dapat membawa seseorang kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, kita boleh melihat kepada wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam, iaitu dengan menitikberatkan masalah ilmu dan cara untuk mendapatkannya, juga mengingatkan betapa penting dan mulianya kedudukan ilmu. Wahyu tersebut ialah :

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Surah Al-‘Alaq : Ayat 1-5)

Oleh itu, dapatkanlah sesuatu ilmu itu dengan cara yang mulia kerana ilmu itu mulia! Mana mungkin sesuatu perkara yang keji dapat menginap di Syurga yang abadi?



‘Berikan’ Aku Ikhlas

Orang yang menuntut ilmu bukan kerana Ilahi tetapi kerana kepentingan duniawi, sebenarnya hanya mensia-siakan dirinya sendiri. Jika seseorang menuntut ilmu kerana kedudukan atau populariti misalnya, kerana mahu dikenali oleh setiap orang bahawa dirinya insan yang hebat dan bijak, ilmu itu akan menjadi sia-sia belaka. Tiada nilainya di sisi Allah. Bahkan, mendapat kemurkaan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Nau’zubillahi min zalik.

Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda :

“Barangsiapa yang mempelajari ilmu yang harus dituntutnya kerana Allah, namun dia mencarinya hanya kerana menginginkan kepentingan duniawi, maka dia tidak akan mendapatkan bau syurga pada hari kiamat.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Sedangkan bau Syurga tidak dapat dihidu, apatah lagi masuk ke dalamnya? Masya-Allah... Hadis ini benar-benar memberikan kesedaran kepada kita agar benar-benar ikhlas dalam menuntut ilmu. Jadi, ayuhlah betulkan niat kita sebelum belajar atau mengulangkaji pelajaran bahawa,

"Sahaja aku belajar kerana Allah Ta’ala."

Insya-Allah, ikhlas itu akan dapat dipupuk dan terus dipupuk. Jangan biarkan syaitan merasuk ikhlas yang sedang dipupuk. Jangan pernah sekali-kali mengaku diri kita ikhlas kerana tahap keikhlasan seseorang manusia hanya dapat dinilai oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala semata-mata. Bahkan, malaikat turut tidak dapat mengetahui sama ada seseorang itu ikhlas ataupun tidak. Hanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala sahaja yang Maha Mengetahui. Ya, hanya Allah.

Bukan itu sahaja, titipkanlah juga doa buat dirimu, wahai sahabat. Misalnya, berdoalah seperti di bawah ini :-

‘Ya Allah... Berikanlah aku ikhlas dalam setiap perkara yang aku lakukan. Semoga benar-benar kerana-Mu. Lantas dapatlah aku meraih keredhaan dan keberkatan daripada-Mu. Amin...’


~ Coretan The Servant of Allah
~ 29.11.2013
~ KAMSIS, PUO

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...