Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Friday, July 18, 2014

Cerpen : Boyak !

B
asikal buruknya ditongkatkan. Dia masuk ke dalam rumah lalu dihenyakkan punggung di atas kerusi.Terdengar helaan nafas yang panjang. Kepalanya dipicit-picit walaupun tidak sakit. Dadanya diurut-urut. Perasaannya kalut. Fikirannya serabut. Terasa ingin mempersoalkan takdir. Namun, dilawannya dengan alunan zikir. Terasa ingin menjerit bagi mengubat sakit. Namun, ternyata hanya menambah perit.

“Emak, abah tidak pulang ke rumah lagi ya semalam?”, Layyinah memecah kebuntuan fikirannya.

Pertanyaan anak sulungnya dibalas dengan anggukan cuma.

“Sudahlah emak.Along risau tengok emak berkeadaan begini. Insya-Allah, Along akan bantu emak apa yang Along mampu untuk sara hidup kita sekeluarga.”, pujuk Layyinah.

“Bukan itu masalahnya, Along. Emak difitnah lagi..... Orang kata emak tidak reti jaga suami. Sebab itu suami tidak balik-balik. Abah kamu cerita yang bukan-bukan tentang emak. Emak malu, Along.... Emak berpenat lelah mencari rezeki yang halal, orang pula mengata yang bukan-bukan. Emak tidak tahu nak mengadu pada siapa. Emak tidak punya keluarga di sini, Along....... Hiba hati emak. Hiba sangat.”, air matanya bercucuran. Keperitan hati tidak dapat ditahan. Dirinya menghadapi berbagai-bagai cercaan.

Layyinah mengusap-usap belakang ibunya. Kebenciannya terhadap ayah sendiri semakin memuncak. Seolah-olah menunggu masa untuk meledak. Geram melihat ibunya diperlakukan seperti kuli batak! Sekiranya memerlukan ibu, ayah pasti pulang menabur janji asalkan kemahuannya ditepati. Setelah kemahuan ayah tercapai, ibu dibiarkan terkapai-kapai. Lesapnya ayah, lesaplah janji-janjinya. Ah...! Aku benci abah!



BOYAK !

“Merajuk, merajuk, merajuk! Itu sahajalah yang dia tahu. Perasaan aku ini langsung tidak diambil peduli!”, dia bermonolog sendiri.

Kelmarin, suaminya pulang setelah beberapa bulan tidak menjejakkan kaki ke rumah. Keperluan anak-anak dan dirinya tidak diendah. Lepas tangan dengan mudah. Itulah sifat suaminya yang tidak berubah-ubah! Nafkah tidak diberi. Rasa tanggungjawab sebagai ayah dan suami, entah ke mana melayang pergi!

Suaminya mengemas beg pakaian lalu melangkah pergi tanpa sebarang bunyi. Sepatah kata pun tidak diucapkan. Membuatkan dirinya bertambah tidak keruan. Sembilan anak mereka yang perlu diberi makan. Gajinya pula, masih tidak cukup untuk memenuhi keperluan mereka anak-beranak. Dia yang hanya bekerja sebagai pencuci pejabat cuma berpendapatan RM800 sebulan. Kini, dia kehilangan pekerjaan ekoran difitnah oleh rakannya sendiri. Rakannya bercerita yang bukan-bukan tentang dirinya kepada majikan. Sungguh tidak berperikemanusiaan. Kawan makan kawan! Kehilangan kerja, membuatkan dia kehilangan sumber pendapatan. Mujur, masih ada simpanan untuk memulakan perniagaan. Biarpun, cuma kecil-kecilan. Suaminya pula, buat tidak kisah. Seolah-olah, anak-anak itu lahir sendiri tanpa seorang ayah. Sadis!

“Emak, abah mana? Tadi adik nampak abah tapi sekarang sudah tidak ada. Adik sedih. Semua orang bermanja-manja dengan abah mereka. Tapi, adik tidak pun.”, anaknya yang paling bongsu menghampirinya yang sedang mengemas pinggan mangkuk. Mencebik.

“Fasehah, sayang... Janganlah sedih... Emakkan ada? Emak tidak akan tinggalkan semua anak emak, ya? Fasehah belajar pandai-pandai di tadika, lepas itu jadi orang yang berjaya.Boleh ubah nasib kita sekeluarga. Boleh?”, balasnya. Hatinya sedikit tersentuh dengan kata-kata anak bongsunya. Namun, disimpannya jauh ke dalam lubuk hati. Biarlah Allah sahaja yang mengetahui. Tiada guna diluahkan, jika semakin menambah calar dihati, fikirnya.

Fasehah akhirnya tersenyum. Satu ciuman singgah di pipi ibunya. Anak kecil itu kemudiannya berlari-lari anak ke ruang tamu untuk menyambung permainannya yang ‘tergendala’ sebentar tadi.

Dia semakin hiba. Tidak pernah terjangka olehnya bahawa rumahtangga ‘binaan’nya hanya dipenuhi sengsara. Derita. Perit dan sakit tidak terkata. Kebahagiaan yang diimpikannya selama ini hanya tinggal ilusi. Kesengsaraan yang selama ini hanya ilusi dalam drama televisyen, ternyata telah menimpa diri.

Kata orang, calon pilihan ibu bapa ialah calon yang terbaik.Tanpa membantah, dia menurut sahaja kemahuan orang tuanya yang ingin melihat dia bernikah. Dalam keadaan terpaksa rela, dia akhirnya melangsungkan pernikahan dengan lelaki yang dia tidak sukai. Namun, dipaksa juga diri untuk cuba mencintai. Ketaatan sebagai isteri sering ditumpahkan buat sang suami. Di awal pernikahan lagi, sang suami sudahpun menunjukkan belang. Barannya tidak dapat dihalang. Hampir setiap hari, dia dilempang bagai tiada perasaan sayang dalam diri suami buat dirinya. Sedikit sahaja perkara yang suaminya tidak senang, habislah dirinya diterajang!

Kini, dia sudah boyak! Bosan! Sudah 20 tahun dia bertahan, suaminya tetap langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan. Panas baran suaminya masih sama. Sifat kuat merajuk masih serupa.Asal sahaja dia tidak menuruti kemahuan suaminya, suaminya pasti membawa diri.Merajuk?Ingin aku pujuk? Ah....! Aku boyak!



RUNSING .

“Assalamualaikum.....”, sapaan salam di muka pintu rumah membuatkan dirinya kembali ke alam nyata.

“Wa’alaikumussalam. Encik cari siapa?”, jawabnya.

“Puan Khadijah ada di rumah?”, soal lelaki itu.

“Ya, saya Puan Khadijah. Ada apa ya encik ke mari?”, dia menyoal kembali.

“Maaf, puan.Saya pekerja Tuan Hamzah. Sudah dua bulan puan tak bayar duit sewa rumah. Tuan ada pesan, jangan sampai berlambakan sangat, puan. Takut beban sangat pada puan nanti. Katanya, ansur-ansur dulu pun boleh.RM600 tunggakan sewa puan untuk dua bulan ini. Tuan sudah kurangkan jadi RM500.” , jawab lelaki itu. Sopan.

“Maaf, encik. Duit gaji saya yang bulan lepas masih belum dapat lagi. Duit simpanan saya juga sudah habis. Saya baru kehilangan kerja. Beritahu kepada Tuan Hamzah, Insya-Allah saya akan cuba bayar secepat mungkin.”, dia berkata.

“Baiklah. Akan saya sampaikan kepada tuan. Semoga puan dirahmati Allah selalu.” , balas lelaki itu sambil menyedekahkan satu senyuman buatnya.

“Terima kasih ya. Insya-Allah.”, balasnya pula. Lelaki itu sekadar mengangguk dan berlalu pergi.

Ya Allah.... Yuran anak-anak masih tidak terbayar. Hutang di kedai runcit juga sudah semakin bertambah. Duit sewa rumah pula, sudah tertangguh. Pekerjaan pula, sudah tiada. Bagaimana nasibku ini...... Hanya kepada-Mu tempat aku mengadu.... Ya Allah.... Tunjukkanlah jalan keluar bagi semua ini. Aku benar-benar buntu. Hanya Engkaulah yang dapat membantu. Bantulah aku, ya Allah.......’ , hatinya merintih pedih.

Ujian hidup menimpa dirinya secara bertubi-tubi. Kehilangan kerja beberapa hari lepas membuatkan fikirannya bertambah runsing. Disebabkan dengki, dia difitnah oleh rakannya di tempat kerja. Rakannya mereka-reka cerita tentang dirinya. Majikannya pula menerima bulat-bulat tanpa usul periksa. Dia cuba bersabar walaupun terasa sukar. Biarpun dia telah menafikan tuduhan yang dilemparkan, semuanya masih tidak makan saman.

Walaupun telah kehilangan sumber pendapatan, dia tetap tidak mengalah. Simpanan wang yang masih bersisa, dimanfaatkannya untuk dibuat modal berniaga secara kecil-kecilan. Namun, untung berniaga yang diperoleh, hanya cukup-cukup untuk makan pakai anak-anaknya. Lebih daripada itu, dia terpaksa berhutang daripada mereka yang berkemampuan.

Empat minggu sudah berlalu.Kiranya, sudah masuk bulan ketiga sewa rumahnya tertangguh. Dia benar-benar buntu. Imannya pula menggerutu. Terkadang mengeluh dan seolah-olah menyoalkan takdir. Gajinya daripada majikan terdahulu, masih tidak dapat-dapat. Dia sudah mula membuat tebakan. Pasti majikannya tidak mahu membayar gajinya untuk bulan terakhir dia bekerja. Geram sungguh rasanya.

“Tok! Tok! Tok!”, ketukan pintu rumahnya membuat dia panik.

‘Aduh!Bagaimana ini? Aku masih tidak punya wang! Ya Allah.... Janganlah aku dihalau. Ya Allah... Tolonglah aku.... Tolonglah aku, ya Allah......”, keringat paniknya mencurah-curah.

“Tok! Tok! Tok!” , ketukan itu kedengaran lagi. Dia memberanikan diri untuk membuka pintu. Terkejut. Bagaimana lelaki ini boleh berada di hadapan pintu rumahnya? Hatinya tiba-tiba penuh tanda tanya. Seribu soalan yang terungkai perlu dileraikan.



LELAKI ITU ...

“Maaf, kak.Penat saya cari rumah Kak Ijah tadi. Mujur, jumpa juga akhirnya. Alhamdulillah.”, Sulaiman berkata.

“Terkejut Kak Ijah. Ada apa kamu ke mari? Kamu masih bekerja melukis batikkah? Kawan-kawan di sana apa khabar?”, dia menyoal. Dirinya dirundung pelbagai persoalan. Sudah dua tahun dia  tidak ketemu dengan Sulaiman. Kedatangan Sulaiman pada hari itu membuatkan dia kebingungan.

“Alhamdulillah, masih bekerja melukis batik, kak. Kawan-kawan pun, sihat-sihat semuanya. Saya ke mari ingin menyampaikan bungkusan ini. Amanah daripada Encik Hisyam.”

“Bungkusan apa ini?”

“Kak Ijah masih ingat? Dulu sewaktu Kak Ijah masih bekerja melukis batik, Kak Ijah masih belum terima gaji untuk bulan terakhir sebelum Kak Ijah berhenti secara tiba-tiba. Kebetulan, Kak Ijah tiba-tiba pindah rumah. Saya kehilangan alamat tempat tinggal Kak Ijah. Jadi, saya tidak dapat memberikan bungkusan ini ke tangan Kak Ijah serta merta. Saya kemudiannya menyimpan wang ini ke dalam bank saya untuk sementara waktu. Maafkan saya ya. Setiap hari, saya berdoa supaya dipertemukan dengan Kak Ijah. Rasa berat sangat sebab amanah masih tidak tertunai. Alhamdulillah, hari ini sudah rasa ‘ringan’ sikit.”, Sulaiman menerangkan dengan panjang lebar. Senyumannya juga turut melebar. Benar-benar lega!

“Alhamdulillah, ya Allah......... Alhamdulillah....................”, air mata keterharuan bercucuran. Allah itu benar-benar Maha Menunjukkan jalan.

Sulaiman tersenyum. Terkadang, terasa hendak menitiskan air mata tatkala melihat air mata Kak Ijah berguguran. Tersentuh hati kudus Sulaiman.

“Dalam bungkusan ini, ada RM1800. Saya yakin, Kak Ijah sangat membutuhkannya.”, Sulaiman memberitahu.

“Gaji Kak Ijah yang saya simpan, RM1500.Lagi RM300 itu, memang saya sudah berniat hendak berikan kepada Kak Ijah apabila saya dapat bonus sewaktu kita bekerja sama-sama dulu.Semoga Kak Ijah sudi menerimanya.” , Sulaiman menyambung bicaranya.

“Tapi Sulaiman, bukankah gaji Kak Ijah dulu cuma RM900 saja? Bagaimana boleh menjadi RM1500?”

“Waktu itu, perniagaan batik Encik Hisyam naik mendadak. Jadi, setiap orang dapat bahagian bonusnya masing-masing, kak.”

Dia mengangguk-angguk tanda mengerti. Setelah semuanya jelas, Sulaiman meminta izin untuk pulang. Dia mengiringi Sulaiman ke muka pintu sambil mengucap syukur serta ucapan penghargaan buat Sulaiman yang benar-benar bersifat amanah. Dia takjub melihat Sulaiman yang benar-benar bertanggungjawab dan jujur.



ADA JALANNYA ...

Dia tidak henti-henti bersyukur. Sungguh, Allah benar-benar Maha Pemurah. Di setiap kesulitan yang dialami, pasti ada kemudahan yang akan menyusuli. Benarlah firman Allah dalam surah Al-Insyirah ayat 4 dan ayat 5. Sungguh, Allah benar-benar tidak memungkiri janji! Dalam surah Al-Ankabut, ayat 63, Allah telah berfirman bahawa Allah berkuasa untuk melapangkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya dan Allah juga berkuasa untuk membatasinya kerana Allah itu Maha Mengetahui segala sesuatu. Sebagai hamba yang mengaku taat kepada-Nya, dia hanya perlu pasakkan keyakinan terhadap kekuasaan Allah s.w.t.!

“Manusia ini, pelik.Kadangkala, sering merisaukan sesuatu yang Allah sudah jamin. Contohnya, Allah sudah jamin bahawa Dialah yang akan beri rezeki kepada kita. Tapi apa yang perlu kita buat? Kata Allah, ‘sembahlah aku’. Maksudnya di sini, kita cuma perlu taat kepada Allah. Solat jangan tinggal! Pasti rezeki akan Allah beri. Yang penting, taat dan solatlah! Ini tidak, sibuk kejar harta, solat entah ke mana! Kalau beginilah sikap kita, keberkatan pasti akan ditarik oleh-Nya. Nau’zubillah..! Ianya mesti seiring. Usaha perlu ada. Solat perlu dijaga. Tuan-tuan dan puan-puan, ingatlah bahawa Allah telah berfirman dalam Surah Hud, ayat 6 yang bermaksud, ‘Dan tiada satu pun makhluk bergerak (bernyawa) di muka bumi melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya. Dia Mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semua telah tertulis dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuz).’ Ingat ya tuan-tuan dan puan-puan, jika dunia yang kita risaukan, akhirat diabaikan, dunia akan ‘lari’. Namun, jika akhirat yang kita risaukan, dunia pasti akan ‘ikut’ sekali.”, ceramah Ustaz Kariman tempoh hari tiba-tiba terngiang-ngiang di telinganya.



‘Benarlah kata ustaz. Rezeki kita telahpun dijamin oleh Allah. Yang penting, sembahlah Allah. Jangan sekali-kali mengabaikan segala perkara yang telah diperintahkan oleh Allah. Setiap beban yang Allah pikulkan, pasti akan diringankan jika keyakinan kepada-Nya dipasakkan. Pasti ada ‘jalan’ bagi setiap kesusahan. Pasti!’, fikirnya. Akalnya semakin hari, semakin membentuk fikrah yang baik. Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...