Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Tuesday, April 22, 2014

Mujahadah Cinta Buat Sang Pencipta (Nukilan 1)

Azan Asar akan berkumandang beberapa minit sahaja lagi. Aku cuma harap, semoga aku dapat hayati betapa nikmatnya 'bertemu' dengan Allah. Betapa romantiknya dapat membisikkan kata-kata cinta terhadap Dia. Ya Allah... Aku mahu merasai semua itu. Namun, perkara yang sering aku alami ialah...

Mengantuk. Mengantuk. Mengantuk.

Ya Allah... Bila mahu benar-benar khusyuk?

Beberapa jam yang lepas, azan Zuhur telah berkumandang. Ketika itu, aku masih berada di kelas. Tiba sahaja di bilik, aku dan dua orang lagi sahabatku menunaikan solat Zuhur secara berjemaah.

'Alhamdulillah, dapat solat berjemaah.', bisik hati kecilku.

Tiba-tiba, mataku diserang 'penyakit' mengantuk. Puas aku lawan. Sekejap khusyuk, sekejap mengantuk. Allahu rabbi... Tolonglah hamba-Mu ini... Usai solat, aku melihat ke kiri. Ternyata, perkara yang sama turut berlaku pada sahabatku.

Ya Allah... Betapa liciknya syaitan membisikkan kelalaian. Sehinggakan, segala ibadah dirasakan begitu membebankan. Sedangkan, ia tersangatlah ringan. 5 hingga 10 minit sahaja masa yang diluangkan untuk solat menghadap Tuhan. Namun, mengapa tidak bisa aku lakukan dengan penuh kekhusyukan...?

Ya Allah ya Rahman...

Dunia ini sungguh menyesakkan, tatkala nafsu diturutkan dan apabila godaan syaitan dibiarkan merasuk iman. Ya Allah, jangan Kau biarkan aku rebah. Bantulah aku untuk menjadi Muslimah yang gagah. Agar aku berjaya dalam bermujahadah. Ya Allah, bantulah. Tolonglah. Aku lemah tanpa-Mu duhai Allah...


Pernah suatu masa, aku terbaca tentang kata-kata Imam Al-Ghazali tentang khusyuk solat.

"Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk sembahyangnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar.

Solat yang khusyuk ialah mereka yang sentiasa sedar dan mengikuti segala pengertian dari setiap kalimah yang di ucapkan di dalam solatnya. Justeru itu apabila ia membaca Al-Fatihah, hatinya akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang terucap."

Allahu rabbi...

Kemudian, aku terbaca lagi tentang sabda Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam,
"Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanyalah penat dan letih, (kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya)."

Seterusnya, aku terbaca lagi tentang firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam Surah Al-Mau'n, ayat 4 hingga 5,
"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya."

Allahu Rabbi... Segala kata, sabda, dan firman-Nya membuatkan aku tersedar daripada kelalaian yang panjang. Aku tidak mahu terus-terusan menjadi orang yang memandang ringan tentang soal ibadah. Aku takut... Takut azab Allah. Aku sangat takut. Waktuku makin hampir. Namun, aku masih berada di takuk lama. Aku mahu merasai lagi kekhusyukan yang pernah aku rasai ketika aku mula-mula berhijrah dahulu. Mengapa kekhusyukan itu semakin pergi dari sisiku, ya Rabbi...?

Ya Allah. Maafkan hamba kerana aku membiarkan diriku ini alpa dengan dunia. Sungguh ya Rabb, aku tidak mahu ada rasa 'hubbud dun-ya' walau sekelumit cuma. Aku tidak mahu ya Allah. Jangan biarkan aku ada rasa cintakan dunia. Bantu aku ya Rabb. Bantulah hamba-Mu ini, agar tidak termakan dengan pujuk rayu syaitan. Semoga aku dapat menguatkan iman agar tidak mudah dirasuk oleh syaitan.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...