Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Saturday, January 15, 2011

CERPEN : Aku Bukan Malaikat



Aku keluar daripada kelas. Waktu untuk pelajar-pelajar tingkatan 5 rehat. Seperti hari-hari biasa yang aku lalui, aku tetap keseorangan. Semakin keseorangan. Aku berjalan seperti biasa sambil mencuba untuk menjaga pandangan. Maklumlah, aku pelajar sekolah menengah harian, pelajar lelaki dan pelajar perempuan dicampur di dalam satu kelas yang sama. Kurang terjaga.

Tiba-tiba seorang rakan sekelasku menyapaku. Lelaki. Aku tersentak.
"Hai, Taqiyya," Hairi menyapaku sambil tersenyum manis. Aku kebingungan. 'Perlukah aku membalas sapannya?', suara hatiku berbisik. Kugagahkan diriku untuk tersenyum sebagai tanda membalas sapaannya. Senyuman yang ikhlas tetapi ala kadar. Kuharap dia mengerti. 

Setibanya di kantin, aku duduk untuk menjamah bekalan makanan yang aku bawa daripada rumah. Roti sardin. Sedang aku menikmatinya, Naimah mendekatiku.
"Taqiyya, awak nak tahu tak? Hairi tu selalu puji sangat puji awak. Dia selalu kata awak ni lemah-lembut. Setiap kali saya duduk berborak-borak dengan dia, dia selalu cerita pasal awak." Naimah tiba-tiba bersuara.

Aku terkejut mendengarnya. Nafasku seakan-akan  sesak. Entah kali ke berapa Naimah menceritakan hal yang sama. Aku membisu sambil memandang tepat ke arahnya.
"Betul, Taqiyya. Saya tak tipu awak. Saya pun pelik juga dengan Si Hairi tu. Dia suka awak agaknya," Naimah berkata sambil tertawa kecil.

Aku hanya mampu tersenyum hambar.

************************************************************

Setelah selesai menunaikan solat Isyak, aku mengemas telekung dan sejadahku dan bersiap-siap untuk tidur. Anehnya, malam itu aku tidak dapat melelapkan mata . Mungkin aku teringat akan kejadian sewaktu rehat di sekolah pagi tasi.

Aku bingkas bangun dan menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Aku memakai telekung dan menghampar sejadah. Aku bermunajat kepada-Nya.

Pada malam itu, aku mengadu dan meluahkan segala isi hatiku kepada-Nya.
"Ya Allah, kuatkanlah hamba-Mu yang sungguh lemah ini. Kuatkanlah diriku, imanku, jasadku, rohaniku dan emosiku untuk menghadapi segala ujian yang telah kau tetapkan untukku, ya Allah...... Kuatkanlah imanku. Ampunkanlah aku kerana membuat Hairi lagho keranaku..... Pujiannya terhadapku mengingatkan aku mengenai kebesaran-Mu. Aku hanya manusia biasa yang tidak akan sempurna. Aku mencinta-Mu, ya Allah..... Hanya Engkau, ya Allah................," aku menangis dengan penuh kesyahduan di atas sejadahku pda malam itu.


************************************************************

Jam tanganku menunjukkan pukul 7.20 minit pagi. Loceng pun berbunyi menandakan waktu untuk memulakan sesi pembelajaran.
"Hmmmmm.....hari ni hari Jumaat ya Humayrah? Waktu English la sekarang. Rasanya cikgu tak datang sebab tak nampak pun dia tadi." aku memulakan perbicaraanku dengan rakan yang duduk di sebelahku.
"Maybe la. I don't know but I think so." Humayrah memjawab pertanyaanku.

Ya. Memang benar jangkaanku. Cikgu Bahasa Inggeris tiada. Selesai sahaja Humayrah menjawab pertanyaanku, Cikgu Huda masuk ke dalam kelas 5 Usaha. Tahulah aku bahawa Cikgu Huda yang menggantikannya pada hari itu. Selesai memberi salam, aku pun mengeluarkan sebuah buku daripada begku yang bertajuk, 'Nasihat Sepanjang Hayat'. Buku tersebut aku pinjam semalam di perpustakaan sebelum pulang daripada sekolah.

Sebelum aku memulakan sesi pembacaanku, Cikgu Huda mendekatiku. Dia memandang tag namaku.
"Errrrr, Taqiyya. Awak ada pen merah tak? Saya nak pinjam kejap."
"Ada, cikgu. Jap ye." aku bergegas mengeluarkan pen merah daripada kotak pensilku.
"Ini, cikgu."
"Oh, terima kasih." berkata Cikgu Huda sambil tersenyum.
"Sama-sama;" aku membalas senyuman Cikgu Huda.

Baru sahaja aku memulakan sesi pembacaanku semula, seseorang mendekatiku. Aku menjadi tidak keruan. 'Ya Allah, bukan ini yang aku inginkan,' getus hatiku.

"Hai, Taqiyya. Awak tengah buat apa tu?" Hairi bertanya. Berderau terus darahku. 'Ya Allah, kuatkan imanku,' aku berdoa di dalam hati.
"Saya nak baca buku. Bagus buku ni," aku menjawab pertanyaan seolah-olah tenang tetapi sebenarnya hanya Allah sahaja yang tahu hatiku sedang menjerit kerisauan!

Hairi mula mengambil kerusi dan duduk di hadapan mejaku. Tindakannya yang drastik itu membuatkan jantungku berdegup laju. 'Ya Allah.... Apa pula kali ini? Tolonglah ya Allah......' hatiku meronta-ronta. 

Humayrah yang duduk di sebelahku tersenyum-senyum dan bertindak hendak meninggalkan aku bersendirian bersama Hairi. Kutarik tangannya menandakan aku tidak mahu ditinggalkan bersendirian dengan Hairi. Humayrah mengerti. Dia duduk semula di tempatnya sambil mencebik.
"Tu, Naimah panggil," Humayrah berkata kepadaku.

Kutoleh ke belakang, ke arah Naimah duduk. Naimah mengenyitkan matanya kepadaku. Aku terkejut. Perasaanku bercampur baur ketika itu.
'Ya Allah. Aku tak gembira dengan semua ini. Bukan ini yang kuharapkan,' hatiku menangis minta difahami.

Hairi memulakan perbualannya denganku. Sepatah yang dia tanya, sepatah pula yang aku jawab. Tanda hatiku tidak rela untuk diajak berbual. Maafkan aku Hairi. Ini caraku. Ini pendirianku. Aku bukanlah perempuan yang perasan cantik, perasan baik atau apa-apa sahaja yang kau fikir tentang diriku tetapi sejak kejadian hari Selasa lepas, aku malu. Malu untuk berhadapan dengan rakan-rakan sekelasku termasuk dirimu, Hairi! Malu dengan Allah!

************************************************************

"Hairi, sekarang giliran awak menceritakan pengalaman yang paling paling paliiiiiiiiiiinnnngggggggg bermakna selama awak hidup ni." Cikgu Badrul bersuara. Guru yang terkenal dengan sifat kelakarnya itu merupakan guru Bahasa Malaysia kelas 5 Usaha.

Hairi pun tampil ke hadapan menceritakan tentang pengalaman hidupnya. Selang beberapa minit dia bercerita, aku terdengar namaku disebut olehnya. Aku tersentak.
"..........Taqiyyalah yang menyinari hidup saya sekarang. Saya tak sangka saya akan jatuh cinta dengan budak baik macam dia. Memang dia sangat kontra dengan saya tapi saya akan tetap menyukainya. Sekian, terima kasih." Hairi menghabiskan ayat terakhir ucapannya.

Mukaku merah padam. Kutahan air mataku. 'Jatuh cinta? Apa yang kau maksudkan Hairi? Astaghfirullahalazhim........' hatiku bermonolog sendirian.

Dalam masa yang sama, rakan-rakan sekelasku bertepuk tangan. Suasana menjadi hingar-bingar. Cikgu Badrul turut serta mengambil bahagian dalam 'pusat sarkas' yang dibina oleh rakan-rakan sekelasku.

Air mataku tidak dapat kutahan lagi. Mengalir dengan deras. Aku keluar daripada kelas tetapi sempat juga aku meminta izin.
"Cikgu, saya ke tandas sebentar," aku berkata dengan nada perlahan. Melihat keadaanku seperti itu, suasana menjadi hening seketika. Aku terus berjalan laju menuju ke tandas. Aku menangis sepuas-puasnya.

************************************************************

"Taqiyya? Awak dengar tak ni? Saya sedang tanya awak. Awak okay tak?" pertanyaan Hairi membuatkan aku kembali ke alam nyata.
"Awak sedang fikir pasal kejadian hari tu lagi? Maafkan saya. Saya tak bermaksud apa-apa. Cuma..... saya memang suka tengok awak. Awak ni macam malaikat. Lemah-lembut, baik, sopan-santun, pandai dan ........."
"Sudahlah, Hairi. Saya tak sempurna. Saya hormati awak sebagai kawan saya. Saya cuba jaga hubungan baik dengan kawan-kawan saya termasuk kawan lelaki tetapi tak bermakna awak boleh bertindak macam ni terhadap saya. Saya manusia, Hairi. Manusia....... BUKAN MALAIKAT. Tolonglah, Hairi. Jauhkan diri awak daripada saya. Dah banyak sangat fitnah yang saya dengar tentang awak dan saya. Kita dah nak SPM. Kalau awak kagum dengan insan kerdil macam saya ni, janganlah mengatasi kagumnya awak terhadap kebesaran Allah....." aku memotong percakapan Hairi.

Kali ini, Hairi pula yang tersentak. Tetapi percakapan aku dengan Hairi tadi, hanya aku, Hairi dan Humayrah sahaja yang mendengarnya. Aku cuba untuk tidak menjatuhkan air mukanya di hadapan rakan-rakan yang lain.

Humayrah juga tersentak. Aku segera bangkit daripada tempat dudukku dan meminta izin daripada Cikgu Huda untuk ke perpustakaan. Cikgu Huda mengiyakan.
"Errr, Taqiyya. Nanti saya pulangkan pen awak ye." Cikgu Huda berkata sambil tersenyum. Aku mengangguk dan berlalu.

"Humayrah, Hairi. Saya nak ke perpustakaan dulu. Maafkan saya." aku bersuara dan mereka berdua tetap membisu. Aku berjalan tenang menuju ke perpustakaan. Lega rasanya, Alhamdulillah. Setelah dua tahun lebih aku mendiamkan diri, akhirnya aku bersuara juga. Aku tersenyum puas. Tiba-tiba aku terdengar seseorang memanggilku dari jarak yang jauh. Aku menoleh. 
'Hairi !' hatiku bersuara dengan nada terkejut.
Dia sedang berlari menuju ke arahku. Ah! Beraninya dia!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...