Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Monday, March 17, 2014

Taubat Si Pendosa


“Tut tut! Tut tut!”, telefon bimbit saya berbunyi menandakan mesej baru masuk.

Tertera nama seseorang. Sahabat yang saya kenali sewaktu kami sama-sama mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Sarawak dahulu.

Mesej tersebut berbentuk luahan tentang dirinya yang ingin berubah, namun bimbang taubatnya tidak diterima oleh Allah.

Duhai teman, Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Mana mungkin Allah sanggup membiarkan hamba-Nya yang sedang merintih dengan penuh pengharapan di hadapan-Nya? Tidak mungkin! Bukankah Allah telah berfirman di dalam Surah An-Nisa’ ayat 106,
“Dan mohonkanlah keampunan kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”

Benar, saya akui, kadangkala kita berasa taubat kita tidak diterima oleh Allah bukan kerana kita ragu-ragu dengan sifat Ar-Rahman dan Al-Ghafur-Nya. Tetapi kerana memikirkan dosa-dosa yang telah kita lakukan yang tidak terkira banyaknya. Terlalu banyak. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui dosa-dosa yang dilakukan sudah berada di ‘tahap’ mana. Oleh sebab itu, perasaan bimbang, risau, dan takut mulai timbul dalam diri namun bukan kerana sangsi terhadap sifat Ilahi tetapi kerana dosa-dosa yang membelenggu diri.

Biarpun begitu, yakinlah duhai sahabat. Andai kita benar-benar ikhlas mengharap keampunan daripada Allah, pasti Allah tidak akan mensia-siakan pengharapan kita. Allah itu Maha segala-galanya. Maha Lembut, Maha Penerima Taubat, Maha Pengampun, Maha Penyanyang dan banyak lagi sifat-sifat Allah, Tuhan yang Maha Esa, Maha Sempurna.

Setiap manusia tidak akan terlepas daripada melakukan dosa kerana kita memang dilahirkan dengan bermacam-macam kekurangan dan bermacam-macam kelebihan. Kekurangan boleh diperbaiki dengan kelebihan yang dimiliki. Bukan terus-terusan membiarkan kekurangan bersarang dalam diri. Walaupun kita memang tidak mampu untuk menjadi manusia yang benar-benar sempurna, namun segala usaha untuk memperbaiki kekurangan pasti akan dinilai oleh-Nya. Tiada satu pun yang terlepas daripada nilaian Allah. Indah bukan ciptaan dan aturan Allah ini? Subhanallah.

Manusia memang tidak sempurna. Kita bukanlah rasul dan nabi yang maksum abadi. Kita cuma manusia biasa yang pasti ada silapnya. Kita juga bukanlah malaikat, cuma mampu sentiasa beringat. Semua insan pernah melakukan dosa termasuk saya. Saya juga pernah lalai. Saya juga pernah berada di zaman kegelapan yang mustahil sungguh bagi saya untuk kembali pada ‘Zaman Gelap’ itu. Mustahil sekali. Nau’zubillah.

Zaman remaja benar-benar mencabar. Hakikatnya, setiap zaman yang kita telah, sedang, dan akan lalui memang akan ada cabaran-cabarannya yang tersendiri. Zaman kanak-kanak ada cabarannya. Namun, apabila sudah meningkat usia, kita pula yang tersenyum atau mungkin juga kesal mengenangkan tingkah laku dan kenakalan kita sewaktu kecil-kecil dulu. Begitu juga dengan zaman remaja. Pasti akan ada cabarannya. Pelbagai perkara ingin kita cuba. Ditambah-tambah pula dengan dunia sekarang yang terdedah kepada bermacam-macam pengaruh yang tidak baik, adakalanya, perkara yang Allah murka pun mahu kita cuba! Nastaghfirullah.

Duhai teman,
Saya juga remaja, dan masih lagi berada di alam remaja. Walaupun kita masih muda, tidak semestinya kematian itu tidak ‘mengejar’ kita. Adakah mana-mana dalil yang mengatakan sebegini,

“Yang tua mati dulu, yang muda tunggu dulu...!”

Tidak, tidak, tidak. Yang namanya ‘kematian’ itu, tidak akan pernah mengenal usia. Sesiapa sahaja pasti akan menemui ajal walau berapapun usianya pada ketika itu sesuai dengan kehendak-Nya.

Allah Subhanahu wa ta’ala telah berfirman dalam Surah Al-Munafiqun ayat 11,
“Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang apabila tiba waktu kematiannya telah datang. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”

Oleh sebab itu, saya memilih untuk berubah. Dan cuba untuk istiqamah agar terus berada di jalan-Nya. Saya memilih untuk bertaubat meskipun sangat kesal memikirkan dosa-dosa yang telah dilakukan yang tidak terkira banyaknya, kerana saya yakin, Allah pasti tidak akan mensiakan-siakan taubat yang kita lakukan jika taubat yang dilakukan benar-benar hanya kerana-Nya. Niat yang benar-benar lurus; hanya KERANA ALLAH.

Pada suatu masa, saat saya sedang diburu rasa gelisah dan resah kerana keterlanjuran perbuatan dan percakapan yang boleh mendatangkan dosa, saya membuka Al-Quran lantas membaca bait-bait cinta-Nya yang luar biasa. Mengharap kata-kata cinta-Nya dapat mengubati keresahan di jiwa. Ternyata Allah benar-benar ‘mengirimkan’ ayat-ayat cinta-Nya yang sungguh menenangkan jiwa saya saat itu.

“Dan barangsiapa berbuat kejahatan dan menganiaya dirinya sendiri, kemudian dia memohon ampunan kepada Allah, nescaya dia akan mendapatkan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
(Surah An-Nisa’, ayat 110)

Tidak semena-mena, suatu titisan air mengalir di pipi. Rasa terharu menyelubungi diri. Terharu dengan Allah. Benar-benar terharu. Bagaikan terasa seperti Allah benar-benar berada dekat dengan saya di saat itu. Subhanallah. Suatu perasaan yang sungguh sukar untuk diungkapkan melalui lisan mahupun penulisan. Subhanallah ya Rahman.


Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman lagi dalam surah Ali-‘Imran, ayat 135 dan ayat 136,
“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.”


 Dalam Surah Al-Furqan, ayat 70, Allah juga ada berfirman,
"Orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan kebajikan, maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Subhanallah, subhanallah, subhanallah. Maha Pengampun sungguh Tuhan kita. Jadi, usahlah ragu. Insya-Allah, Dia tidak akan sekali-kali mensia-siakan taubatmu jua taubatku. Jangan biarkan syaitan menghasut kita dengan rasa ragu-ragu seperti itu. Yakinlah dengan janji Allah. Sesungguhnya, Allah tidak memungkiri janji.

Sahabat, hayatilah kata-kata ini,
"Don't let shaytan beat you twice. First, by making you sin. Then, by stealing hope on Allah's forgiveness."



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...