Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Saturday, March 15, 2014

Rinduku Palsu


Kamar asrama yang sungguh redup membuatkan mata seakan-akan ‘memanggil’ minta ditutup. Saya mengerling ke arah jam. Pukul 2.15 petang. Kelas Bahasa Arab akan bermula pada pukul 4.00 petang. Saya berkira-kira, masih bersisa kurang dari dua jam.

‘Jangan tidur. Buat perkara lain yang lebih berfaedah.’, iman bersuara. Membisikkan peringatan buat diri.

Sedang saya sibuk menelaah ayat-ayat cinta-Nya, sahabat saya, Hidayah Hanisah tiba-tiba berkata yang memecah kesunyian kantung jiwa yang sedang diisi, “Along, bacalah kuat sikit. Nak dengar...”

Saya tersenyum melihat keletahnya. Saya lantas membacakan ayat 129 daripada Surah An-Nisa’.

“Uda, cuba dengar ayat ini ya – ‘Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil  antara isteri-isterimu walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai) sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (daripada kecurangan), maka sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.’ ”

“Apa maksudnya, Along?”, tanya Hidayah Hanisah yang digelar sebagai Uda dalam kalangan ahli usrah yang kami sertai.

“Maksudnya, memang sangat susah nak betul-betul adil dalam poligami. Yalah, manusiakan. Pasti akan cenderung kepada salah seorang antara semua isteri yang ada.”

Saya lantas menceritakan mengenai asbabun nuzul (sebab-sebab ayat tersebut diturunkan) kepadanya. Menceritakan mengenai Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang sangat mencintai ‘Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq melebihi kecintaan baginda terhadap para isteri yang lain. Sehinggalah sampai suatu masa, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berasa tidak dapat berlaku adil sebagaimana perintah Allah Subhanahu wa ta’ala. Rasullullah lantas merintih dalam doa baginda, “Ya Allah, inilah giliranku sesuai dengan kemampuan yang ada pada diriku. Janganlah Kau memaksakan sesuatu yang menjadi perintah-Mu di atas kemampuan yang ada pada diriku.” (HR. Ibnu Abi Hatim)

Hidayah Hanisah mendengar dengan khusyuk setiap bait kata yang saya tuturkan. Ekspresinya menggambarkan bahawa dia sedang memproses sesuatu dalam mindanya.

“Seronoknya kalau dapat mimpi Nabi....”, Hidayah Hanisah tiba-tiba bersuara perlahan.

Saya jadi kelu. Akal sedang giat memikirkan sesuatu setelah mendengar pernyataannya yang sebegitu. Ya Rasulullah, kami merindui dirimu!



Benarkah Rindu?

“Kalau kita nak mimpi Nabi, akhlak kita kena perbaiki dulu. Kalau dengan diri yang masih sebegini, macam mana nak mimpi Nabi...”, saya bersuara perlahan. Menzahirkan rasa terkilan terhadap diri sendiri. Mengenangkan dosa-dosa dan maksiat-maksiat yang pernah atau masih dilakukan. Allahu Rabbi...
Hidayah Hanisah mengangguk. Dia masih giat memikirkan tentang sesuatu. Memuhasabah dirinya juga, mungkin.

“Cuba kamu fikir. Kalau kita rindukan seseorang manusia, dia mesti ‘masuk’ dalam mimpi kita, kan? Mudah saja kita nak mimpi tentang dia. Sebab apa? Sebab perasaan rindu kita terhadapnya sangat tinggi. Sampailah termimpi-mimpi.”, saya melontarkan buah fikiran saya.

“Tapi kenapa kalau Nabi, kita susah nak mimpi sedangkan kita selalu cakap yang kita rindu Nabi?”, saya menyambung.

Hidayah Hanisah terdiam. Sedang merenung kata-kata yang saya lontarkan.

“Itu tandanya, rindu kita kepada Nabi masih belum sepenuhnya lagi. Sekadar meluah kata ‘rindu’, tapi hakikatnya, masih belum sampai tahap rindu yang sedalam-dalam kalbu. Kalau benar rindu, kenapa kita masih tak dapat nak mimpi bertemu dengan Nabi? Tapi, lebih banyak mimpi tentang orang lain. Itu tandanya, kita merindui orang lain lebih daripada Nabi. Sebab itulah, asyik mimpi orang lain, bukan mimpi Nabi. Tahap rindu kita terhadap Nabi masih belum di tahap yang tertinggi...”, saya menyambung lagi. Rasa kesal menyelubungi diri. Kecewa dengan diri sendiri kerana rindu yang dituturkan masih ‘palsu’!
Hidayah Hanisah terangguk-angguk.

“Betullah... Betul sangat apa yang Along cakap. Tak terfikir pula.”, katanya sambil merenung ke arah dinding. Kami sama-sama berfikir dan merenung. Memuhasabah diri di petang hari. Kisah Ustaz Harun Din yang pernah mimpi bertemu dengan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam tiba-tiba menjengah di fikiran. Begitu juga mengenai kisah pelajar UIA (perempuan), yang juga pernah bermimpi bertemu dengan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Subhanallah, beruntungnya mereka! Tentu sangat bahagia tatkala dipilih oleh Allah untuk bertemu dengan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam.


‘Indahnya andai Rasulullah tahu namaku dan menyebut namaku walaupun cuma dalam mimpi... Tentu hari-hari yang aku lalui menjadi semakin ceria, kerana hati bahagia bertemu dengan Baginda!’, hati berbisik sendirian. Berangan-angan. Namun, sedang berusaha menjadikan ia kenyataan! Insya-Allah, Amin!




Kalamullah di atas adalah Firman Allah yang menenangkan Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam yang menangis teresak-esak dek kerana begitu risaukan umat-umat Baginda. Baginda sangat risau akan nasib umat-umatnya setelah membaca keluhan demi keluhan daripada para Nabi terdahulu mengenai kaum mereka yang ingkar dan enggan menyembah Allah. Subhanallah... Dalamnya cinta Baginda buat kita. Bagaimana pula dengan kita...? 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...