Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Tuesday, June 5, 2012

Puisi Teman buat Teman




Fikiran menjadi buntu,
Di saat ujian datang menyerbu.
Aduh! Mengapa begitu?
Kerana iman mula menggerutu,
Ketika diri semakin bercelaru.

Bercelaru mencari kebenaran hakiki,
Demi pengabdian abadi kepada Ilahi,
Terus mencari dan mencari,
Namun masih tak dapat ditemui...

Diluahkannya kepada yang Esa,
Sungguh tenang tak terkira.
Diluahkannya pula kepada manusia,
Namun mengapa manusia seolah-olah memaksa?

Memaksanya untuk melakukan ini dan itu,
Mahukannya bertindak begini dan begitu,
Namun dia masih buntu yang mana satu kebenaran yang dicari,
Yang mana satu tindakan yang tidak memakan diri...

Aduhai teman yang dicintai,
Aku tahu kau benar-benar memahami...
Namun kau memahami hanya ke tahap dasar hatiku,
Kau tidak mengerti pada tahap sedalam-dalamnya kalbu...

Kini kau menjauh dariku,
Aku semakin dingin terhadapmu...
Ketahuilah bahawa aku bukanlah sebahagian dari masa silammu,
Aku ialah aku,
Tiada kaitan dengan sahabatmu yang dulu.

Wahai temanku,
Aku sedang bermujahadah,
Kau sendiri tahu itu bukanlah sesuatu yang mudah.
Iman perlu benar-benar gagah,
Gagah untuk menepis goyah.



Kau tak pernah alami apa yang aku alami,
Aku tak pernah alami apa yang kau alami.
Masing-masing saling membutuhkan,
Agar bisa menguatkan.

Berikan aku sedikit ruang,
Ruang untuk memilih jalan yang terang,
Agar dunia terasa lapang,
Akhirat pula terasa senang.

Duhai temanku,
Usahlah kau menghukumku,
Janganlah kau memaksaku,
Aku tahu kau menyayangiku,
Oleh itu,
Berikanku sedikit waktu,
Agar tak kutemui jalan buntu.

Aku sedang bermujahadah,
Itu bukanlah sesuatu yang mudah,
Maka, kau doakanlah,
Agar aku tidak kalah mahupun lelah.

"Sesungguhnya, aku tahu bahawa mujahadah itu pahit namun syurga itu manis. Maka dengan itu wahai Allah, bantulah aku untuk menguatkan diriku. Dalam bermujahadah melawan nafsu. Wahai teman, bantulah aku dalam memberi sokongan padu. Usah mendesakku, berilah aku waktu. Waktu untuk menstabilkan emosiku."

~Luahan hati seseorang yang sangat aku cintai~

****************************************************


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...