Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Tuesday, May 8, 2012

CERPEN : Di Saat Aku.......


Qistina merenung ke arah siling. Fikirannya menerawang jauh. Badan yang sudah lama terbaring kaku mula bergolek ke kiri dan ke kanan.

"Arghhh...! Kenapa tak boleh tidur ni...? Ya Allah, dah pukul 1 pagi dah ni. Kenapa mata ni degil sangat...? Ya Allah.....", dirinya mengomel sendirian.

Pertembungan antara Qistina dan si 'jejaka soleh' di kafeteria petang tadi menjengah di fikirannya. Pandangan mata mereka bertentangan secara tidak disengajakan menggamit perasaan Qistina lantas cepat-cepat dialihkan ke tempat lain. Qistina beristighfar beberapa kali di dalam hati.

'Ya Allah... Kenapa aku rasa menggeletar semacam je ni...? Ya Allah... Astaghfirullahalazhim...', gerutu hati Qistina. Setelah itu, Qistina cepat-cepat melangkah ke bilik penginapannya. Setibanya dia di bilik, azan Asar pun berkumandang. Qistina mengambil wudhuk dan menunaikan solat Asar. Usai sahaja solat, Qistina meluahkan perasaannya terhadap sang pencipta. Dia menzahirkan segala yang dirasainya ketika itu melalui doa. 

Qistina bingkas bangun lantas menyibukkan dirinya dengan menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah tiga hari lepas. Kelapangan waktu pada hujung minggu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Qistina.

Tiba sahaja waktu Maghrib, Qistina berhenti berehat dan bercadang mahu menyambungnya semula pada keesokan hari. Fikirannya pula sudah mula terganggu ketika itu. Nama si 'jejaka soleh' bermain-main di benak fikirannya.

'Ya Allah.. Astaghfirullahalazhim..', bisik hatinya.

Malam itu, selesai sahaja solat sunat selepas Maghrib, Qistina melakukan solat sunat hajat bagi memohon petunjuk Allah S.W.T. Resah sungguh hatinya ketika itu. Qistina banyak menghabiskan masa di atas sejadahnya sehinggalah tiba waktu solat fardu Isyak.

Setelah itu, Qistina merehatkan badannya di atas katil dengan harapan dia boleh tidur secepat yang mungkin namun tenyata sangkaannya meleset. Malam itu, dia benar-benar tidak dapat melelapkan mata. Fikirannya sangat terganggu.

"Eh..? Cik Qistina. Nampak pucat je? Demam ke?", rakan sebiliknya, Suzana, bertanya.

"Errrrr.... Tak adalah. Cuma penat je.", jawab Qistina ingin berselindung.

"Banyak-banyakkan rehat ya.. Oklah. Su tidur dulu. Dah lewat dah ni. Selamat malam. Assalamua'laikum", balas Suzana.

"Ok, Su. Selamat malam. Wa'alaikumussalam", Qistina membalas.

********************************************
"Qistina., kenapa tak tidur lagi ni?", Suzana mencuit bahu Qistina yang sedang duduk mendagu di meja belajarnya sambil mengerling ke arah jam yang sudah menunjukkan pukul 2.10 pagi.

"Errrrr... Errrr... Emmmm.... Tengah siapkan assignment." jawab Qistina tersekat-sekat kerana terkejut namun tetap ingin berselindung.

"Assignment? Su tengok, meja ni kemas je, tak ada sebarang jejak dan bukti yang menunjukkan Cik Qistina ni tengah buat assignment?", kata Suzana dengan nada bergurau.

Qistina membisu.

"Qistina ada masalah ke? Su sudi dengar kalau Qistina nak luahkan."

"Maafkan Qistina, Su. Fikiran saya memang terganggu sejak akhir-akhir ni. Tak apalah, awak tidur ya. Nanti bila saya rasa nak luahkan, baru saya luahkan. Terima kasih Suzana. Awak memang baik. Awak tidurlah dulu ya? Maaf kalau saya buat awak tak senang tidur."

"Tak adalah. Saya memang terjaga tadi sebab nak minum air. Haus pula tekak ni. Lepas tu nampak awak tak tidur lagi, tu yang tegur tu. Oklah kalau macam tu. Jangan banyak fikir sangat ya? Jangan ikut sangat emosi tu, nanti sakit kan susah. Ok?" , pesan Suzana lalu menyambung tidurnya semula.

Qistina mengangguk dan tersenyum hambar.

Sejak kebelakangan ini, Qistina kerap terbayang-bayang kejadian yang menimpa dirinya beberapa bulan yang lalu. Dia menerima mesej yang tidak disangka-sangka olehnya. Mesej daripada seorang lelaki yang soleh di mata setiap orang yang mengenalinya. Lelaki tersebut meluahkan segala isi hatinya terhadap Qistina melalui mesej tersebut. Mengalir air mata Qistina kerana terharu namun tanpa Qistina dan si 'jejaka soleh' sedari, syaitan sedang mempermainkan mereka supaya jatuh ke dalam jurang cinta nafsu iaitu cinta sebelum nikah. Segala-galanya berlaku secara tiba-tiba. Mereka berdua kerap digandingkan bersama dalam menguruskan sesebuah organisasi. Atas urusan tersebut, mereka akan berhubung melalui telefon bimbit. Namun, lain pula yang terjadi. Kadangkala, mereka berhubung bukan kerana adanya urusan yang benar-benar penting, tetapi hanya ingin bertukar-tukar kata-kata nasihat, info-info Islamik dan sebagainya yang mereka sangkakan tidak melanggar syariat. Lama-kelamaan, terbit suatu perasaan antara mereka berdua. Setelah si lelaki meluahkan, barulah si gadis berani untuk meluahkan. Namun, terbit suatu sesalan dalam diri si gadis kerana sedikit terbuai dengan perasaan seperti itu.


Si gadis yang diberi nama 'Qistina' itu seringkali meluahkan rasa sesalnya terhadap dirinya sendiri,
'Kalaulah sebelum ini, aku bertindak lebih tegas, pasti kejadian sebegini tidak akan sekali-kali menimpa diriku.
Kalaulah aku tidak meluahkan hal yang sama dan perasaan yang sama terhadap lelaki itu pada hari tersebut, pasti aku tidak akan diburu rasa bersalah, berdosa dan alpa.
Kalaulah waktu ini dapat diputar kembali, akan aku perbetulkan semula segala-galanya dari mula.
Tetapi... 
Itu semua hanyalah 'kalau'. Aku kena hadapi kenyataan sekarang. Apa yang telah terjadi ialah takdir Allah S.W.T. DIA sedang menguji tahap keimanan aku dan si 'jejaka soleh'. Wahai Qistina, andai rebah, usahlah kau biarkan dirimu lemah kerana rebah. Bangkitlah semula dengan gagah!'

Begitulah sifat Qistina, sama seperti manusia-manusia lain. Kadangkala, dirinya lemah selemah-lemahnya dan kadangkala dirinya 'gagah' se'gagah-gagah'nya. Bukankah iman itu bertambah dan berkurang menurut pendapat aqidah Ahli Sunnah Waljama'ah? Itulah hakikat yang terdapat pada setiap manusia biasa sepertinya.

Kini, Qistina sedar bahawa dia telah tersilap langkah. Begitu juga dengan si 'jejaka soleh'. Mereka tersalah cara 'mengurus' perasaan mereka berdua. Walau mereka tidak memilih untuk berpacaran, namun mereka kerap juga berhubung melalui SMS. Walau cuma SMS, tetapi kadangkala tetap melekakan. Walau hanya memberi kata-kata nasihat, maklumat dan info-info Islamik, namun syaitan tetap ada pelbagai cara untuk buat umat Nabi Muhammad S.A.W sesat!

Qistina sangat beruntung kerana Allah S.W.T telah mengurniakan kepadanya sahabat yang menyedarkan dirinya bahawa tindakan yang diambil oleh Qistina selama ini ternyata salah. Mujurlah sahabatnya dapat menegurnya dengan ikhlas dan jujur. Mujur juga Qistina dapat menerima teguran lantas tersedar akan kesilapan dirinya. Saat yang benar-benar menguji perasaan Qistina adalah apabila dia mesti berterus-terang dan jujur kepada si 'jejaka soleh'. Alhamdulillah, Allah S.W.T memudahkan urusannya. Si dia dapat menerima walaupun pada permulaannya, si dia agak sukar menerima apa yang diperkatakan oleh Qistina dan hampir sahaja ingin menolak kenyataan bahawa 'mereka tidak boleh berhubung tanpa urusan yang benar-benar penting menurut syariat'. Lama-kelamaan, si dia dapat menerima dengan hati terbuka. Lembut sungguh hatinya. Wanita mana yang tidak tertawan?


********************************************
Jam menunjukkan pukul 2.35 pagi. 

"Dah nak pukul 3? Ish, tak boleh jadi ni. Nanti susah pula nak bangun Subuh.", Qistina bingkas bangun dari tempat duduknya lantas mengambil wudhuk dan mencapai senaskhah Al-Quran untuk dibaca bagi menenangkan fikiran yang agak kusut sedari tadi.

"Alhamdulillah, tenang rasanya lepas dah baca Al-Quran." , bicara Qistina sambil meletakkan semula Al-Qurannya. Qistina lalu mengambil diari kepunyaannya dan menulis sesuatu. Menulis tentang sesuatu yang berkaitan dirinya dan memberi impak yang sangat besar dalam hidupnya.

'Ya Allah... Di saat ini, aku benar-benar teruji. Semakin aku mengejar cinta-Mu, Kau datangkan pula cinta makhluk-Mu. Kau menguji aku kerana Kau mahu tahu sedalam mana cinta aku kepada-Mu. Tolonglah kuatkan diri ini untuk menghadapi dugaan yang Kau berikan ini. Sungguh, ujian perasaan yang Kau datangkan kepadaku sangat berat untuk dipikul. Jadi, bantulah aku Ya Rabb.

Ya Allah... Aku hampir tenggelam mujurlah tidak karam. Aku bersyukur kepada-Mu kerana telah menyedarkan aku.

Ya Allah... Aku tidak mahu merindui seorang insan yang masih tidak pasti sama ada dia jodohku ataupun tidak. Aku khilaf ya Allah. Maafkan aku. Ampunkan segala keterlanjuranku dalam ketidaksedaranku.

Ya Allah... Kubiarkan perasaan ini hanyut bersama angan-angan ciptaanku sendiri. Andai perasaan ini tersadai di tempat yang sama 'ia' hanyut, aku redha.

Ya Allah... Kurniakanlah kepadaku petunjuk-Mu. Kadangkala aku buntu mujurlah Kau 'datang' membantu. Ya Rabbi, ketahuilah, aku hanya ingin cinta-Mu dahulu yang bertakhta di hatiku. Hanya cinta-Mu. Namun, tak dapat kunafikan bahawa aku telah mencintai dia. Ya Allaaaahhhhh! Ujian perasaan yang Kau timpakan kepadaku amatlah berat untuk dipikul olehku.

Ya Allah... Kuatkanlah diri ini. Aku lemah di saat ini. Tak dapat kubayangkan kenyataan-kenyataan yang bakal menyusul dalam hidupku 'sebentar' lagi. Benarkah dia yang kucari? Adakah dia yang aku impi? Apakah dia jodoh buat diriku? Ahhhh...... Semuanya masih tidak pasti! Aku ingin mengejar cita-cita sebelum mengejar cinta!

Ya Allah... Andai perasaan ini hanyut, tenggelam dan terus karam, aku pasrah andai itulah yang terbaik buat diriku...

Ya Allah... Andai perasaan ini hanyut lalu tersadai dan dapat diselamatkan, aku juga pasrah andai itulah ketetapan buat diriku...

Tuntunilah setiap langkahku ya Allah... Janganlah Kau biarkan aku terkapai-kapai di dalam lautan dunia yang penuh dengan penipuan. Janganlah Kau biarkan aku lemas dalam pelukan duniawi...
I really need You for every step I take. Please don't leave me, oh Allah... Please guide me.. I am nothing without You.'



Qistina menarik nafas sedalam-dalamnya. Rasa lega menyelubungi diri. Qistina mengemas semula diarinya kemudian menghenyakkan semula badannya ke atas katil.

'Alhamdulillah, terima kasih Ya Rabb kerana menguji aku dengan sesuatu seperti ini. Terima kasih kerana memberi pengajaran kepadaku. Terima kasih kerana mempertemukan aku dengan Muhammad, si 'jejaka soleh'  yang sangat memberi pengajaran kepadaku supaya bersikap lebih tegas dan peka terhdap sesuatu perkara. Terima kasih juga kerana mengurniakan aku seorang sahabat yang bersifat tegas dan berpendirian teguh. Syukur, Alhamdulillah ya Allah... Terima kasih atas semua ini. Kau benar-benar mendidikku supaya belajar menjadi muslimah yang KUAT. Alhamdulillah, syukur ya Allah....' , Qistina bermonolog. Setelah itu, matanya dipejam sambil mulutnya terkumat-kamit membaca doa dan surah isti'azah sebelum tidur.

********************************************


Firman Allah S.W.T :-

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau membalas kami jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau membebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu dari kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunlah kesalahan kami, dan berilah rahmat kepada kami......." 
(Surah al-Baqarah, ayat 286)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...