Aku masuk ke kelas pada pagi itu seperti biasa, setelah aku selesai melakukan tugasku sebagai seorang pengawas sekolah. Aku masuk ke kelas dengan hati yang penuh berbunga dan ceria dengan mengharapkan hari itu ialah hari yang lebih diberkati dan lebih baik daripada hari-hari yang sebelumnya. Setelah itu, aku menyapa rakan karibku seperti biasa.
"Hai, Mary", aku menyapanya. Namun, sapaanku tidak dibalas, hanya senyuman hambar yang diberikan.
'Mungkin dia dilanda masalah.', fikirku.
Tetapi tiba-tiba aku berasa tidak sedap hati kerana aku melihat dia tidak duduk disebelahku, tempat yang telah ditetapkan oleh cikgu.
Aku berbisik di dalam hati, 'Kenapa ni? Em, mungkin hendak bertukar angin, agaknya.'
Tepat pukul 7.45 minit pagi, pembelajaran dimulakan dengan mata pelajaran Matematik Moden. Aku menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pengajaran Cikgu Halimah. Aku cuba menjawab setiap soalan yang diberikan oleh cikgu tersebut dengan baik. Tiba-tiba fikiranku terganggu. Mary, rakan karibku masih langsung tidak menegurku. Seperti kebiasaannya, dia akan bertanya kepadaku setiap soalan yang dia tidak faham sebelum bertanya kepada guru berkenaan. Oh, baru aku sedari! Aku duduk sendirian rupanya di tempat dudukku tanpa ada rakan-rakan yang lain disebelahku yang biasanya memeng duduk disebelahku kerana tempat duduk mereka adalah disebelahku. Aku menoleh ke kiri dan aku dapat melihat keempat-empat rakanku berkumpul didua buah meja iaitu tempat duduk Nazia dan Aida. Hatiku semakin berprasangka. Tetapi, aku tetap cuba berfikiran positif. Aku menoleh lagi, kulihat Mary sedang duduk dihadapan Nazia dan Imah duduk dihadapan Aida.
'Sanggupnya mereka duduk bersempit-sempit daripada duduk disebelahku?' hatiku mula bernada kecewa.
Pra-sangka demi pra-sangka datang ke benakku. Aku mula berasa sesuatu yang buruk telah terjadi. Tiba-tiba aku berasa keseorangan.
'Ah, syaitan! Nyah kau dari hidupku! Pergi!', aku cuba berfikiran positif lagi. Apa yang pasti ketika itu, Allah sentiasa bersamaku. Aku redha. Mungkin aku hanya bersyak wasangka buruk terhadap mereka.
Loceng berbunyi menandakan waktu untuk pulang ke rumah. Ketika itu jam menunjukkaan pukul 1.50 petang. Aku mengemas segala peralatan sekolah yang ada di atas mejaku. Mary, Nazia, Imah dan Aida melintas dihadapan mejaku. Ketiga-tiga rakanku menyapaku untuk mengucapkan selamat tinggal kepadaku. Tetapi hanya Mary sahaja yang tidak menyapaku.
'Oh, Mary! Apakah yang ada difikiranmu ketika ini?' hatiku meronta ingin mengetahui puncanya, mengapa dia hanya berdiam diri sahaja dan mengunci mulutnya apabila bertemu dan terserempak denganku.
Aku bermonolog sendirian apabila semua pelajar telah pun keluar daripada kelas, 'Mary oh Mary. Kenapa dengan kau hari ini? Sehari suntuk aku memikirkan apakah sebabnya kerana aku tidak tahu apakah puncanya kau bermasam muka denganku?Kau tidak pernah bersikap seperti ini. Kau juga akan datang menemaniku jika kau lihat aku keseorangan. Tetapi mengapa hari ini tidak? Malah kau membiarkan aku keseorangan tanpa teman. Tidak mengapalah, Mary. Allah akan sentiasa bersamaku. Tidakku sangka kau akan bersikap sebegini terhadapku. Apa salahku?'
Beberapa minit selepas itu, aku keluar daripada kelas dengan hati yang penuh tanda tanya. Kecewa. Itulah yang aku rasa pada ketika ini. Kusangkakan hari ini ialah hari yang lebih baik tetapi lain pula yang terjadi.
'Mungkin Allah sedang mengujiku.' fikirku.
Aku pulang ke rumah pada hari itu dengan mengharapkan hari esok akan bersinar daripada hari ini. Inilah harapanku. Lihatlah dunia! Aku tidak akan mengalah! Aku masih ada harapan jika aku masih dibangkitkan pada esok hari!
Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk menunggu hari esok dengan harapan hari esok akan lebih cerah daripada hari ini.
No comments:
Post a Comment