Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Tuesday, December 30, 2014

Coretan : Aku .

Lirik Lagu An-Nuraa (Mawi + Hazama + Filsu) :-


Dari Dia kita datang. Dari Dia kita pergi.
Ada bulan, ada bintang. Dan juga matahari.
Ada malam, ada siang. Ada gelap, ada terang.
Ada kasih, ada sayang. Sampai masa kita pulang..

Yang lima, yang enam. Yang di luar dan yang di dalam.
Yang memberi salam. Dan yang menghulur tangan.
Yang menyambut salam dengan penuh senyuman
Yang di dalam hati tersirat seribu jawapan.
Seluas-luas lautan, setitik pun belum tentu lagi.
Dunia luas terbentang, kita masih lagi mencari.
Yang kita ingat jauh, sudah semakin dekat.
Yang kita ingat tinggi, sudah semakin rendah.
Awal dan akhir yang selama ini kita menunggu.
Sekarang masanya sudah semakin hampir...

Ku imbas kembali sepanjang perjalanan.
Ku cuba renungi setiap perbuatan.
Ku tunduk malu, malu aku memikirkan.
Pahala dan dosa yang tak dapat aku bezakan.
Ku cuba berlari, lari dari realiti.
Seperti ada tali yang menarik ku kembali.
Aku masih tak faham masih jugak tak mengerti.
Masih mencari-cari, siapakah diriku ini....?



Ku tanya pada hati, moga diberi jawapan.
Tapi ada dua suara yang sering kedengaran.
Yang satu kata iya, yang satu kata bukan.
Kadangkala akal dan hati pun tak sehaluan.
Namun ku tetap mencari dan juga terus berjalan.
Selagi ada matahari dan selagi ada bulan.
Selagi aku belum mengenal diri ini yang sebenar.
Mana mungkin aku dapat mengenal Tuhan....

Allahummaj'al fi qolbi nuuraa
Wa fi asobi nuuraa
Wa fi lisani nuuraa
Waj'al fi nafsi nuuraa
Waj'al lii yau maliqo ika nuuraa

Tunjukkanlah jalan terang.


Tunjukkanlah jalan pulang.
Agar tidak kesesatan, dalam titian dan harapan.
Tujuh puluh tiga pintu, tujuh puluh tiga jalan.
72 kesesatan. Hanya SATU kebenaran...


*************************************

Lagu ni... aku suka sangat dengar. Bait-bait kata dalam lagu ni, banyak yang ‘kena’ dengan diri aku. Kadang-kadang aku kerap tanya kat diri aku,

‘Aku ni siapa sebenarnya?’
‘Apa sebenarnya yang aku nak dalam hidup ni?’
‘Apa sebenarnya yang aku kejar?’

Kadang-kadang aku nangis. Entah. Aku kesal dengan diri aku. Semua persoalan yang aku timbulkan, sebenarnya semua tu dah ada jawapannya. Cuma, aku je yang lalai. Aku nangis sebab aku tak faham dengan diri aku ni. Kalau betul aku ni cintakan Allah, kenapa aku tak betul-betul buktikan yang aku ni cintakan Dia?

Aku renung setiap perbuatan dan amalan aku sehari-hari. Kesal. Memang kesal. Aku tak tahu apa yang bakal aku bawa menghadap Allah nanti. Memang aku sangat rindu dan sangat ingin bertemu dengan Dia. Sangat ingin menatap wajah-Nya yang Maha Indah itu. Sangat mahu meluahkan kepada-Nya,

“Wahai Allah! Aku cinta pada-Mu!”

Tapi... bila aku renung balik diri aku ni.... banyak sangat masa luang yang terbuang. Banyak sangat kelalaian yang aku buat. Sampai aku tak tahu, apakah taubat yang aku buat tu sebenar-benar taubat? Sebab aku tetap buat silap yang sama.... Masih buat kelalaian yang sama....

Entah. Aku tak faham dengan diri aku ni. Aku pun tak tahu apakah aku betul-betul kenal dengan diri aku ni atau tak.

One part of this lyrics, bunyinya macam ni ;
“Selagi aku belum mengenal diri aku yang sebenar, mana mungkin aku dapat mengenal Tuhan.”

Betul. Macam mana aku nak kenal Allah kalau aku masih tak kenal  siapa aku sebenarnya.
Time lunch tadi, aku try tanya kawan aku,

“Pernah tak kamu macam tercari-cari apa identity diri kamu?”, aku saje  je tanya. Aku cuma nak dengar something daripada dia.

Dia macam tak tahu nak jawab apa. Tapi lepas tu, dia jawab jugak,

“Emm. Tak pulak. Cuma kadang-kadang tu, kite ada lah rasa macam tak kenal dengan diri sendiri.”

Yep. Aku setuju dengan kawan aku tu. Aku cuma harap, suatu hari nanti aku benar-benar dapat menjadi sosok yang dicintai Allah dan diredhai oleh-Nya. Inilah identity diri yang aku cari selama ni sebenarnya.

Kadang-kadang, aku spend masa aku untuk ‘berborak-borak’ dengan Dia time aku duduk sorang-sorang menghadap Dia. Memang conversation tu seolah-olah tak berbalas. Tapi, aku sangat yakin bahawa Dia sedang mendengar kerana Dia bersifat Maha Mendengar. Aku luahkan macam-macam dan segala apa yang tersirat dalam hati aku. Walaupun aku tahu Dia Maha Mengetahui segala isi hati, aku tetap nak luah jugak. Aku bagitau jugak segala kelalaian yang aku buat. Aku sebut satu persatu walaupun aku tahu yang Dia sudahpun tahu. Dalam hati, aku sangat berharap, Dia ampunkan dosa-dosa aku. Dan bantu aku untuk menjadi sosok yang hebat di mata Dia.

Aku dapat rasa... waktu aku dah semakin hampir. Tanda-tanda kiamat kecik pun dah banyak yang terjadi. Bumi ni dah makin hampir waktunya untuk hancur. Masya-Allah... Aku takut. Sangat takut. Semoga aku dapat tergolong dalam golongan yang benar dan diredhai-Nya.

“73 pintu, 73 jalan. 72 kesesatan, hanya 1 kebenaran...”

Bait lirik kat atas ni sebenarnya daripada sebuah hadis Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi 
Wasallam. Boleh rujuk kitab-kitab mengenai hadis kalau nak tahu lebih mendalam pasal tu.

Semoga kita semua diberi petunjuk menuju jalan yang lurus iaitu jalan yang benar. Semoga Allah sentiasa sudi bantu kita mengharungi dunia yang penuh dengan dugaan dan cabaran ni. Aamiin. T_T



Friday, December 26, 2014

Tudung Labuh... Betul ke der?

Ramai orang yang nak bertudung labuh. Tapi, tak ramai yang betul-betul labuhkan hatinya buat Sang Pencipta.
Solat Subuh lagi 15 minit nak pukul 7 (secara sengaja) pun, buat rilex je?
Solat Zohor pukul 3 pun, still rasa okay der?
Solat Asar pukul 6.30 pun still rasa biase?
Bagaimana pulak dengan solat Maghrib dan Isyak? Pada 'tahap' yang ok atau tak?
Kalau begini keadaannya, tanya balik pada diri kita, and re-check semula,
"Aku pakai tudung labuh ni kerana apa?"
Jika benar kerana DIA, maka prinsipmu juga akan TEGUH sebagai seorang MUSLIM hanya kerana DIA. Allah yang Maha Esa.
*Peringatan ni untuk saya jugak. Sebab, saya pun manusia macam kome.*
Dan ramai jugak yang nak berpurdah/berniqab, tapi benar-benar luruskah niatmu hanya kerana-Nya...?
Saya bukan nak jadi 'penilai' buat diri kamu kerana hanya Allah yang Maha Menilai, tapi saya hanya beri PERINGATAN supaya kita semua dapat nilai semula niat dan amalan yang kita buat.
Tanya, tanya, dan tanya pada diri kita.
''Adakah niatku ini benar-benar kerana Allah?"
"Apakah Allah redha kalau aku buat begini atau begitu?"
"Adakah hatiku sedang berada dalam kondisi yang baik untuk tatapan-Nya?"
Muhasabah, muhasabah, muhasabah. Ia sangat perlu untuk 'mengenyangkan' rohani. Ia sangat perlu untuk beri 'tenaga' kepada mujahadah kita.
Mujahadah demi Mardhatillah.
Jual jiwa raga. Allah nak bayar dengan SYURGA!
** Nota jari : Post ni, ialah post saya tahun lepas, kembali mengingatkan diri sendiri. Bukan untuk orang lain je. Tapi untuk diri saya sendiri yang terutama. That's why I  writing. Setiap apa yang saya tulis adalah berdasarkan tahap pemikiran saya pada suatu-suatu masa. Time iman bertambah, fikrah saya akan menjadi agak matang. Agaklah. Tapi, time iman lemah, semua terasa goyah. Gundah.
Doakan saya. Moga dapat sentiasa hadirkan hati ketika menulis. Insya-Allah. Aamiin.

Friday, December 19, 2014

Cerpen : Calitan Pengharapan

S
eminggu sahaja lagi peperiksaan akhir bagi semester enam akan berakhir. Sayyidah membaca semula nota-nota yang telah ditulisnya sebelum-sebelum ini. Bibirnya terkumat-kamit membaca isi-isi nota yang telah lali meniti dibibirnya yang mungil. Dia harus gigih dalam perjuangan ini. Tinggal dua sahaja lagi subjek yang bakal menguji minda dan kefahamannya selama dia menjadi pelajar di universiti itu ketika di medan peperiksaan nanti. Bagi Sayyidah, segulung ijazah itu tidak bermakna sekiranya tidak menuntut ilmu kerana Allah. Niat wajib diperbetulkan ketika hendak melanjutkan pelajaran. Ilmu dituntut bukan kerana peperiksaan. Bukan jua kerana pujian insan tetapi kerana hati yang mendambakan keberkatan daripada Tuhan. Segala-galanya perlu dilakukan atas dasar ‘kerana Allah’ semata-mata.

“Tut tut! Tut tut!”

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi menandakan sebuah mesej telah diterimanya. Tiada nama. Hanya nombor sahaja yang tertera di skrin telefon bimbitnya. Nombor dari luar negara. Fikirannya menebak. Jantungnya pula bagaikan dipalu namun tiada irama dan lagu. Berdegup laju. Sayyidah lantas menekan punat view.

Assalamualaikum ukhtie. Kaifa haluki al-aan? Insya-Allah, saya akan pulang ke Malaysia minggu depan. Semoga kamu dan keluarga sihat-sihat sahaja hendaknya. - Fahmi -

Sayyidah terpana. Sudah tiga tahun khabar lelaki itu tidak diketahuinya melalui kiriman khabar daripada lelaki itu sendiri semenjak lelaki itu menjejakkan kaki ke negara orang. Namun, Sayyidah sedikitpun tidak berkecil hati kerana Sayyidah sangat mengerti bahawa dirinya dan Fahmi masih tiada apa-apa ikatan yang sah meskipun mereka telah bertunang. Mereka hanya ‘merisik khabar’ melalui orang tua mereka sahaja. Bagi mereka, pertunangan bukanlah tiket bagi mereka untuk berlebih-lebihan bagaikan pasangan yang telah diijabkabulkan. Sesekali, rindu bertamu. Namun, ditepisnya dengan alunan zikir nan syahdu. Sayyidah mahu berpegang pada prinsipnya bahawa cinta dan rindu hanya buat suami bukan lelaki ajnabi yang masih belum pasti menjadi suami!

Kadangkala, kerisauan menjengah di kala imannya goyah. Adakah Fahmi akan berpegang dengan kata-katanya? Adakah Fahmi masih mengingati dirinya saat dia nun jauh di sana? Bagaimana jika Fahmi berpaling dan meninggalkan dirinya yang masih tertunggu-tunggu kepulangannya? Segala tanda tanya yang dicipta oleh mindanya segera ditepis. Segala-galanya milik Allah. Jadi, letakkan segala pengharapan kepada pencipta manusia bukan kepada manusia yang dicipta. Pasakkan keyakinan kepada Allah. Sabar, redha, yakin, tawakal dan pasrah.

Sayyidah lantas membalas mesej tersebut. Ringkas.

Waalaikumussalam. Alhamdulillah ana wa usrati bikhoir fi rahmatillah, Insya-Allah. Selamat pulang ke kampung halaman.

Sayyidah cepat-cepat mengembalikan fokusnya terhadap pelajaran. Dia tidak ingin lena dalam pelukan kealpaan. Dia tidak ingin terbuai dek perasaan yang kadangkala sukar untuk ditafsirkan dengan lisan.

‘Fokus! Fokus! First thing first !’, bisiknya di dalam hati.


Kepulangan

“Sayyidah. Fahmi sudah pulang. Pagi tadi Fahmi telefon ibu. Katanya, dia sudah tamat belajar di Jordan. Ada dia telefon Sayyidah? ” , tanya ibunya, Puan Dalila.

Sayyidah tersentak lalu menggeleng.

“Ibu... Ibukan tahu yang Sayyidah tidak suka bercakap dengan lelaki dalam telefon. Lainlah kalau ada urusan yang betul-betul penting.”, Sayyidah berkata sambil menuangkan air teh panas ke dalam cawan ibunya bagi menikmati juadah petang bersama-sama.

“Fahmi itu tunang kamu, Sayyidah... Masakan tidak penting pula.... Ada ibu Fahmi telefon kamu dan bertanya khabar kamu?”, soalan yang terpacul dari mulut Puan Dalila membuatkan Sayyidah jadi kelu. Kaku.

“Emm.. Tentang itu. Biasanya, Sayyidah yang selalu tanya khabar Mak Cik Midah. Tapi, kadang-kadang mak cik itu, macam tidak mahu bercakap dengan Sayyidah saja. Satu ditanya, satu dijawab. Seolah-olah tidak sudi.”, ada nada kecewa yang lahir di bibir.

“Perasaan kamu saja agaknya. Tidak baik buruk sangka dengan bakal mak mentua.”, Puan Dalila memberi nasihat.

Angguk. Senyuman yang hambar lalu terukir. Perbualan itu terhenti seketika. Kakak Sayyidah tiba-tiba muncul di dapur.

“Fahmi datang.”, Kak Syahirah berkata sambil jarinya menunjuk ke arah pintu rumah mereka.
Puan Dalila dan Sayyidah saling berpandangan.

‘Fahmi datang? Kenapa tiba-tiba? Tidak beritahu aku pun?’ , gumam hati kecilnya. Terkejut tidak terkata. Hanya Allah yang tahu.


Akhirnya...

“Lama sungguh tidak bersua muka dengan kamu semua. Mak cik apa khabar? Mana pak cik?”, Fahmi memulakan bicara.

“Alhamdulillah, sihat. Maaflah, suami mak cik keluar. Ada urusan dengan rakan sekerjanya. Kalau Fahmi beritahu yang Fahmi hendak datang ke sini hari ini, mesti suami mak cik tidak jadi keluar. Kak Syahirah ada di belakang nun. Kemas pinggan mangkuk. Bagaimana kehidupan Fahmi di Jordan?”, kata Puan Dalila dengan ramah.

“Alhamdulillah. Segala-galanya baik dengan izin Allah. Urusan saya sentiasa dipermudahkan-Nya sepanjang saya di sana, Alhamdulillah. Emm, mak cik.... Saya minta maaf sangat sebab datang secara tiba-tiba. Maafkan saya ya, Sayyidah. Beradanya saya di sini adalah kerana permintaan ibu saya. Ibu saya tidak dapat turut serta dalam perbincangan pada hari ini. Sebenarnya, ada perkara yang sangat penting yang perlu saya bicarakan pada hari ini.” , Fahmi menyambung bicaranya. Jantungnya berdegup kencang.

Puan Dalila memberikan perhatian terhadap apa yang ingin dikatakan oleh Fahmi. Sayyidah hanya tertunduk memandang ke arah lantai. Jantungnya berdegup-degup. Gugup.

“Mak cik dan Sayyidah... Pertama sekali, saya sangat bersyukur kepada Allah kerana memberi kesempatan kepada saya untuk mengenali keluarga yang sungguh baik hati ini. Ayah Sayyidah yang selalu mengambil berat tentang keadaan diri saya. Ibu Sayyidah yang sangat menghargai saya sebagai bakal menantunya. Kakak Sayyidah yang selalu memberi nasihat dan dorongan kepada saya dalam menjaga ikatan pertunangan. Dan... Sayyidah yang setia sebagai tunang saya selama 3 tahun lamanya. Pada hari ini, saya... Saya... Err... Saya...”, Fahmi sukar untuk mengucapkan kata-kata yang seterusnya. Tangannya terketar. Jantungnya berdebar.

“Kenapa dengan kamu, Fahmi...? Kamu kurang sihat ya? ”, tanya Puan Dalila. Cemas dengan perubahan ekspresi yang ditunjukkan oleh Fahmi. Sayyidah masih tertunduk. Syahirah pula sedang mengopeng dari dapur. ‘Semangat’ inkuiri semakin membuak-buak dalam diri mereka. Kedatangan Fahmi yang sangat mengejutkan itu membuat mereka diburu pelbagai tanda tanya.Ibu Fahmi pula tidak ikut serta. Aduh! Mengapa ini? Apa yang sedang terjadi?

“Mak cik... Maafkan saya. Sayyidah, maafkan saya. Tujuan saya datang ke mari pada hari ini adalah untuk ‘memenuhi’ desakan ibu saya. Ibu saya mahu kita putuskan tali pertunangan ini, Sayyidah... Saya tidak sanggup! Sungguh! Saya benar-benar tidak sanggup. Saya tersepit, Sayyidah.”, air jernih mengalir di pipi Fahmi.

Sayyidah terkedu lalu mengangkat mukanya memandang ke arah Fahmi. Pipinya dibasahi air mata. Puan Dalila pula diam membisu. Putus? Ingin sahaja dia menjerit dan marah-marah tatkala mendengar perkataan ‘ibu mahu putuskan tali pertunangan’. Perasaan anak gadisnya telah dimainkan dan maruah anaknya telah dirobek oleh seseorang yang turut bergelar wanita. Sungguh tidak berperikemanusiaan! Puan Dalila bingkas bangun menuju ke dapur dan menyuruh Syahirah menemani adiknya di ruang tamu bersama Fahmi. Puan Dalila benar-benar tidak mampu menahan amarahnya. Fahmi pula diselubungi perasaan serba salah. Fahmi jadi bingung. Kehilangan ibu sendiri atau Sayyidah? Kedua-dunya sangat bermakna dalam hidupnya. Ah! Buntu! Keliru!

“Betulkah apa yang kamu katakan ini, Fahmi?”, bola mata Sayyidah dipenuhi air mata. Air mata yang dicampur dengan kesedihan, kekecewaan dan keterlukaan itu masih dicalit rasa pengharapan.
“Maafkan saya, Sayyidah. Saya benar-benar tersepit. Saya tidak mahu melukai hati ibu saya. Saya juga tidak mahu melukai hatimu. Saya tidak pernah sama sekali menyangka ibu saya hanya berpura-pura menyetujui pertunangan ini. Maafkan saya....” , Fahmi sudah tidak lagi malu membiarkan pipinya dibasahi air mata.

“Tapi, mengapa selepas tiga tahun? Mengapa selepas kamu pulang baru ibumu mahu memutuskan pertunangan ini? Mengapa? Kesilapan apa yang telah saya lakukan?”, Sayyidah bertubi-tubi mengajukan persoalan demi persoalan. Sendu tangis kedengaran.

“Saya juga tidak tahu, Sayyidah.... Ibu saya yang memaksa saya untuk memutuskan pertunangan ini tanpa sebab dan musabab yang berasas. Saya tidak mahu hubungan yang tidak direstui. Saya tidak mahu kamu terseksa sepanjang kamu menjadi isteri saya nanti. Terseksa menghadap ibu saya yang membencimu tanpa sebab. Maafkan saya.... Tolonglah hentikan tangisanmu itu... Tolonglah... Saya terpaksa memilih keputusan yang sungguh menyakitkan ini. Benar-benar terpaksa tanpa rela. Tolonglah berhenti menangis...”, rayuan Fahmi tidak diendahkan oleh Sayyidah. Sendu tangis semakin lama semakin kuat kedengaran.

‘Ya Allah... Kasihan sungguh adikku...’, getus hati Syahirah. Syahirah bertindak mengusap-usap belakang Sayyidah bagi menenangkan diri Sayyidah yang merupakan satu-satunya adik yang dia ada.
“Eloklah kamu pulang dulu. Berikan sedikit masa buat kami sekeluarga terutama Sayyidah.”, Syahirah bersuara.

Fahmi beredar dan mengucapkan salam dengan membawa hati yang penuh rasa bersalah dan bingung.

“Maafkan saya...” bisik Fahmi. Perlahan. Sementelahan, Sayyidah pula ditenangkan oleh Syahirah.

‘Aduhai... Petang yang sungguh memilukan. Kasihan adikku.’, bisik hati Syahirah lagi.


Gusar

Puan Dalila berwara-wiri di hadapan bilik Sayyidah. Gusar sungguh hatinya jika anaknya itu berubah serta merta setelah apa yang terjadi tempoh hari. Dua hari Sayyidah tidak banyak bercakap dan kelihatan murung. Sedikit sekali makanan yang dijamah oleh Sayyidah. Namun, mujurlah Sayyidah mahu juga menjamah makanan walaupun sedikit. Tetapi pada hari ini, Sayyidah tidak pula keluar dari biliknya untuk mengambil sarapan pagi bersama-sama ahli keluarganya yang lain.

Krek!

Pintu bilik Sayyidah terkuak. Senyuman terukir di bibirnya yang mungil itu tatkala dirinya terpacul di hadapan pintu biliknya. Puan Dalila terkesima. Encik Hisham yang sedang sibuk membaca surat khabar menghentikan bacaannya. Keserian terserlah di wajah anak mereka. Sangat mengejutkan.

“Sayyidah... Mari sarapan. Tentu Sayyidah lapar.”, bicara ibu. Lembut.

“Sayyidah puasalah, ibu...”, jawab Sayyidah sambil tersenyum.

“Hari Ahad pun puasa?”, tanya Encik Hisham kehairanan.

“Yalah, ayah. Puasa ganti.” jawab Sayyidah. Sayyidah lantas duduk berlutut di hadapan ayahnya dan meminta ibunya duduk bersebelahan dengan ayahnya. Sayyidah memanggil kakaknya untuk turut serta dalam ‘adegan’ itu.

“Ibu... Ayah... Dan kakak. Maafkan Sayyidah ya sebab agak murung beberapa hari ini. Sayyidah cuma perlukan masa untuk tenangkan diri. Apa yang berlaku pada Sayyidah, tidak pernah Sayyidah sangkakan. Begitu juga dengan ibu, ayah dan kakak, bukan? Sayyidah tidak mahu terus menerus melayan perasaan. Sayyidah tidak mahu membuka ruang bagi syaitan menyesatkan Sayyidah. Sejujurnya, memang Sayyidah patah hati dengan semua ini. Kecewa tidak terkata. Namun, semua ini pasti ada hikmahnya. Ayah jangan marah pada Fahmi ya?” , Sayyidah berkata-kata dengan tenang.

“Ayah tidak marah, anakku sayang... Cuma, ayah agak terkilan dengan semua ini. Ayah amat mengerti perasaan Fahmi. Niatnya baik. Dia tidak mahu kamu terseksa menghadapi kenyataan-kenyataan akan datang. Dia tidak mahu kamu dibenci oleh ibunya sendiri. Dan dalam masa yang sama, dia tidak mahu kehilangan ibunya kerana dirinya yang yatim itu. Ibunya pula, ibu tunggal. Tentulah dia tersepit, Sayyidah. Kasihan sungguh Fahmi. ”, kata Encik Hisham.

“Adik... Mungkin terasa perit semua ini. Tapi, yakinlah bahawa Allah sedang merancang sesuatu yang lebih baik buat adik. Kakak sangat yakin yang adik kuat untuk menghadapi ujian ini. Belajarlah daripada kesilapan. Usah letakkan pengharapan yang tinggi kepada insan. Bersyukurlah kerana sikap sebenar ibu Fahmi sudah kelihatan sebelum kamu bergelar menantunya. Kakak takut kalau apa-apa yang buruk berlaku jika pertunangan ini tetap diteruskan sehingga ke alam perkahwinan.”, Syahirah memberi pendapatnya kepada Sayyidah.

Sayyidah diam dan memandang ke arah lantai dengan mata yang berkaca. Tertunduk. Dirinya cuba untuk sabar walaupun kadangkala sukar. Dirinya benar-benar kecewa kerana hatinya telah dirobek tanpa belas ihsan dan kasihan. Tegarnya manusia melihat orang lain derita. Sungguh tidak pernah disangka olehnya bahawa ibu Fahmi selama ini hanya berpura-pura dan talam dua muka. Tidak hairanlah jika ibunya hanya memberi respon yang ala kadar setiap kali Sayyidah menelefonnya atau menjenguknya di rumah.

‘Hasbiyallah...’ gumam hati Sayyidah.


Khatimah cinta

Sayyidah membelek-belek cincin di jarinya. Hari ini, dia tekad untuk memulangkan semula cincin pertunangan itu kepada Fahmi. Dia perlu ‘memadam’ semua memori ini dengan cepat. Dirinya harus kuat.

“Sayyidah sudah siapkah?”, Syahirah bertanya kepada adiknya.

“Err.. Sudah, kak.”, jawab Sayyidah sambil menanggalkan cincin itu dijarinya lalu memasukkan semula ke dalam kotak cincin yang berbentuk love.

“Mari. Fahmi sudah tunggu di Restoran Al-Haj. Semoga pertemuan terakhir ini membuahkan ketenangan buat kalian. Pasrah dan serahkan segala-galanya kepada Tuhan. Takdir Allah itu masih berjalan. Tidak pernah sekali-kali tersekat di pertengahan jalan. Hakikatnya, pertemuan terakhir ini bukanlah pengakhiran yang abadi. Masih tercalit sebuah pengharapan buat dua hati ini...”, Syahirah berkata-kata sambil menguntumkan sebuah senyuman.

Sayyidah juga tersenyum. Tidak mengiyakan dan tidak pula menyangkal kata-kata kakaknya.

Sebuah bungkusan beserta kad love hasil kreativitinya dibawa bersama. Sayyidah mahu menghadiahkan bungkusan itu buat ibu Fahmi. Semoga usahanya yang kecil itu membuahkan hasil. Hati manusia milik Allah. Begitu juga hati ibu Fahmi. Semoga suatu hari nanti, ibu Fahmi dapat menerima diri Sayyidah dalam hidupnya. Benarlah kata-kata Syahirah bahawa harapan itu masih ada.Baik lambat mahupun cepat, pasti akan ada hikmah yang bakal menyusul di kemudian hari.


Sebentar lagi, khatimah cinta akan terjadi antara dua hati. Namun, Syahirah sangat yakin bahawa itu bukanlah khatimah cinta yang abadi. Itu bukanlah pengakhiran yang abadi. Masih ada peluang buat adiknya dan Fahmi. Jika tidak di dunia, di akhirat masih ada!


Sunday, November 23, 2014

Kisah Aku, Lesen & Motosikal :)


Assalamua'laikum. Rasa macam nak share something secara informal hari ni. :)

Mungkin sebab excited kot. Masih tak hilang lagi. Hihi.


Alhamdulillah... Jumaat hari tu, aku berjaya pergi ke Putrajaya naik motor ! Alhamdulillah... Yeayy ! Haha. Pergi pun bukannya sebab suka-suka. Just nak tolong kakak aku hantar Borang BMD (Borang Pegawai Perubatan Tetap) kat Kompleks Kerajaan, Putrajaya. 

Rasa.... tak sangka boleh pergi sejauh tu naik motor. Err. Aku tahu, mesti ada orang yang akan kata,

"Ek eleh. Pergi Putrajaya je pun. Bukannya jauh sangattt. Kalau kau pergi Sarawak naik motor tu, aku kagumlah jugak sebab tak pernah orang buat."

Ahh. Ada aku kisah? Hihi. Yang penting, aku memang rasa happy sebab aku berjaya improve something dalam diri aku. Yep, keberanian. Alhamdulillah, aku dapat tingkatkan rasa berani dalam diri aku. 

Aku ingat lagi. Dulu, abang aku yang ajar aku naik motor. Dua kali je dia ajar. Lepas tu, aku dah boleh bawak, Alhamdulillah. Bi iznillah. Time tu darjah 5. Lepas dah pandai tu, siap boleh buat wili lagi. Haha. Nakal sikit dulu. Tapi, banyak kali jugaklah aku merosakkan motor Honda Ex-5 tu. Huhu. Banyak kali accident sebab suka berangan atas motor. Kihkihkih.

Then, lepas dari tu, lama jugak aku tak bawak motor. Tak ingatlah berapa lama. Tapi, time aku Form 5, aku start bawak motor ke sekolah walaupun tak ada lesen. Hihi. Nasib baik tak pernah kena tahan. Alhamdulillah.... Berkat doa mak agaknya. Aku minta izin mak dulu untuk bawak motor ke sekolah. Puas jugalah nak yakinkan mak yang aku boleh bawak motor sampai ke TTDI sana tu. Kalau tak, selama ni aku bawak motor kat area Sungai Penchala ni je. Huhu. Selama aku bawak motor ke kawasan TTDI tu sebenarnya, aku cuba latih keyakinan aku kat atas jalan raya. Bila dah lama-lama tu, aku rasa keyakinan aku bertambah. Alhamdulillah. Kalau mula-mula tu, aku bawak diri aku sendiri je, tapi lepas tu, dah boleh ada pembonceng kat belakang. ;)


Pada penghujung umur 18 tahun tu, aku baru start ambik lesen L untuk motor je. Yelah, tu je yang mampu time tu. Nak ambik terus sekali dengan lesen kereta, aku tak cukup bajet. Huhu. Aku tahu time tu, ramai dah kawan-kawan aku yang tengah ambik lesen kereta. Lesen motor pun dah ramai yang lepas. Walaupun aku macam agak ketinggalan, aku tetap takkan luputkan keberanian yang aku cuba tanamkan dalam diri aku. Rezeki orang kan lain-lain. Dah rezeki aku dapat lesen L motor time umur 18 tahun. Bersyukurlah, kan.... :)

Disebabkan aku agak busy dan tak ada masa nak ambik lesen P motor untuk masa terdekat tu, aku baru settlekan lesen P time bulan August 2014 hari tu. Lesen L kan bertahan sampai 2 tahun. So, sempatlah. Walaupun macam nyawa-nyawa ikan je aku punya masa untuk settlekan lesen P tu. Haha. Mana taknya, tarikh luput lesen L bulan September. Memang kelam kelibut jugaklah nak settlekan. Takdelah kelam kelibut sangat.... Sempat jer untuk last minute punya orang macam aku ni. Kihkihkih. Disebabkan pak cik si ejen lesen tu agak susah nak ulang alik ambik aku, aku pun hafal jalan nak ke litar tu. Esoknya nak pergi sendiri tu, malam tu aku pergi rumah pak cik tu dulu untuk ulangkaji jalan yang aku dah hafal time aku pernah pergi dengan pak cik tu. Alhamdulillah, semakin bertambah 'List Jalan Raya' yang aku pernah lalu. Hihi.


So, sekarang ni, 'List Jalan Raya' yang aku pernah lalu :-
1. Sg. Penchala. Of course lah. Ni tempat aku tinggal. Hehe.
2. TTDI.
3. Stesen LRT Kelana Jaya. 
4. TESCO & kawasan sekitarnya kat Mutiara Damansara. Ni tempat favourite mak aku. So kenalah hafal. Senang nak bawak mak nanti. :D
5. Masjid Jamek. Time ni, aku pernah kerja sebulan kat OCBC Al-Amin, aku hafal jalan nak ke sini. :)
6. Jalan Tunku Abdul Rahman a.k.a Jalan TAR. Ni tempat shopping terbaik. Kenalah hafal. Haha.
7. KL Sentral. Ni tempat nak pick up orang yg baru balik dari mana-mana. Dan tempat aku nak beli tiket ETS. Maksud aku, tiket KTM Intercity. :)
8. Safety Driving Centre yang dekat dengan Hospital Mata Tun Hussien Onn tu. :D
9. Kebanyakan Jalan raya kat KL. Sebabnya, aku dah banyak kali pusing-pusing kat KL. Bukan sebab sengaja nak pusing-pusing, tapi sebab aku sesat! Tak tahu jalan nak balik ke TTDI. Kahkahkah. :D
10. Plaza Kelana Jaya & kawasan sekitarnya. Aku praktikal kat tempat ni. So, kenalah tahu kan.

and....

11. PUTRAJAYA ! Inilah yang paling jauh yang pernah aku pergi (dengan menaiki motor). Tu yang macam terover excited. Hahaha.  



Ni gambar aku & Kak Ya kat Kenny Rogers, Alamanda Putrajaya. Jalan-jalanlah kejap before meneruskan perjalanan yang panjang. Bukannya selalu pergi pun kan. Hikhikhik. :D


Okay. List kat atas ni saje je aku buat. Untuk tatapan aku nanti. Korang kalau tak nak baca pun takde masalah. Sebab aku tahu, pencapaian aku takdelah bagus mana pun kalau nak dibandingkan dengan kawan-kawan aku yang lain yang dah pandai bawak kereta tu. Tapi takpe.... Ni bukan masanya untuk aku bandingkan diri aku dengan diorang. Ini aku. Dan ini pencapaian aku. Kalau kita asyik bandingkan diri kita dengan orang lain sampai rasa down, kita takkan maju sampai bila-bila. Kan? :)

Time aku praktikal dulu, ada staff tu kata kat aku,
"Beraninya Husna bawak motor. Jauh jugak Plaza Kelana Jaya ni dari rumah Husna. Jammed pulak tu setiap hari."

Sebenarnya, bagi aku, keberanian ni perlu dipupuk. Kita kena sentiasa cuba dan berusaha untuk hilangkan rasa takut dalam diri. Takut accident? Sampai bila? Aku pun pernah accident. Time mula-mula nak latih diri bawak motor ke Pusat Bandaraya KL tu, aku jatuh motor sebab nak elak daripada melanggar kereta yang tiba-tiba tukar lane. Nasib baik luka tak berapa teruk. Dan nasib baik uncle tu bertanggungjawab. Dan nasib baik ada sorang laki ni, dengan baik hatinya tolong aku. Gentleman gitu. Nasib baik jugak aku tak buat muka touching depan mamat tu. Haha. Lain pulak jadinya nanti. Kihkihkih, gurau je. Tapi, Alhamdulillah la, Allah kuatkan semangat aku. Lepas dari accident, ada la truma sikit. Tapi, jangan layan sangat. Kalau teringat-ingat, cepat-cepat istighfar dan selawat. Insya-Allah nanti hilanglah perasaan trauma tu.

Pernah suatu masa, time aku nak balik dari Plaza Kelana Jaya, minyak motor boleh pulak kering di tengah-tengah lebuh raya LDP tu. Dengan banyak keretanya.... Masya-Allah. Serem jugaklah aku dibuatnya. Aku tolak motor ke sisi kiri jalan raya. Motor tu, bapak aku punya. Meter minyaknya dah rosak. Aku ada check tangki minyak tu sebelum naik. Aku ingatkan cukup. Ghupenyer, idak. Huhu. Nasib badannnn. Aku call ayah aku untuk datang kat tempat kejadian untu 'selamatkan' aku. Lama jugaklah aku tunggu. Huhu. Yelah, jammed. Ayah aku naik kereta pulak tu. Dah motornya aku cilok. Mana ada motor lagi dah untuk bapak aku bawak. Hehe. Dipendekkan cerita, ada pulak dua orang jejaka yang stop untuk 'selamatkan' aku. Alhamdulillah, nampak okay. Tak ada yang mencurigakan. Yang paling gentleman nya, sorang temankan aku kat tempat kejadian. Sorang lagi pergi cari stesen minyak. Dahlah dah tolong aku, minyak tu pun diorang sedekahkan aje kat aku. Baik sungguh la. Semoga Allah merahmati kalian dan beri balasan setimpal yaaa. Insya-Allah. Aamiin. :) 

Itulah dua kejadian yang agak cemas bagi aku setakat ni. Taklah cemas mana pun, tapi cemas la jugak. Haha. Sekarang ni kan macam-macam benda boleh berlaku. Nasib baiklah tak ada yang ambik kesempatan time aku dalam kesusahan tu. Alhamdulillah, berkat tawakal kepada Allah, mungkin. :)

Ni kisah aku. Aku cuma nak pesan, untuk orang yang masih rasa tak yakin dan masih takut-takut tu, berusahalah untuk pupuk keberanian. Jangan takut untuk mencuba. Setkan minda yang positif. Barulah kita boleh maju. Kalau berterus-terusan dengan negative thinking, memang selamanya kita akan berada di takuk yang lama. Bangkit dan majulah! Kembangkan potensi yang kita ada. Bak kata kakak saya, "perlahan-perlahan kayuh..."
Maksudnya, berusaha untuk ubah sedikit demi sedikit. Kalau kurang berani, cuba sikit-sikit untuk jadi lebih berani. Dan jangan fikirkan dengan mendalam apa yang orang cakap pada kita.

"Kau ni apa pun tak boleh buat! Dahlah tak reti bawak kereta. Bawak motor pun tak pandai. Asyik nak harapkan aku hantar kau je!"

Mungkin, ada orang yang menghadapi keadaan sebegini. Jangan putus asa. Jadikan tohmahan tu sebagai 'alat' untuk terus maju dan bangkit. Setiap manusia tu, punyai potensi masing-masing. Cuma, bergantung pada kita nak kembangkan macam mana. Dalam hidup ni, kita punyai kuasa untuk memilih. Segala pilihan adalah di tangan kita. Pilihan yang baik, pasti akan membawa kebaikan. Pilihan yang buruk, akan membawa keburukan. Jadi, pilihlah nak yang mana. Baik atau buruk? Tepuk dada, tanya iman. :)

Ingat. Jangan putus asa, Setiap kali dah cuba dan berusaha untuk perbaiki diri tu, banyakkan doa kepada Allah. Minta Allah bantu kita dalam setiap perkara yang kita lakukan hatta perkara kecil sekalipun. Minta Allah permudahkan segala niat kita yang baik. Banyakkan pergantungan pada Allah, bukan pada manusia. Manusia takkan dapat beri kita apa-apa kebaikan atau keburukan, melainkan dengan izin Allah. Segala-galanya daripada Allah. Jadi, segala pergantungan dan pengharapan selayaknya perlu diberi kepada Allah. Okay? :)


Akhir kalam, doakan saya berjaya habiskan lesen kereta pulak, okay. Saya memang tak pernah dan tak reti bawak kereta buat masa ni. Takpe, benda boleh settle. Kalau tak reti, belajar sungguh-sungguh. Insya-Allah pandailah nanti tu. Ye tak? Hehe. Ingat DUIT. Doa, Usaha, Istiqamah, Tawakal. :)


Okay... All the best untuk semua. Ingat. JANGAN PUTUS ASA! Cayok cayok! :)







Wednesday, November 5, 2014

Sudah Berpunya ...


Mungkin, ada orang rasa, apabila dia sudah 'berpunya', hidupnya sudah lengkap walaupun belum akad. Tangkap gambar dekat-dekat. Jika ditegur katanya,
"Ehh. Apa salahnya? Janji sehidup semati dah kami ikat."
Mungkin, ada orang rasa, apabila dia sudah 'berpunya', dijadikannya dunia ini dia yang punya. Dia jadi lupa tentang dosa dan pahala. Keluar berdating katanya, "Ehhh. Tak apa. Kami bukannya buat apa-apa. Cuma bertentang mata saja."
Mungkin, ada orang rasa, apabila dia sudah 'berpunya', dia sudah boleh buat apa saja. Upload gambar mesra mereka di Facebook untuk menunjuk-nunjuk, dia 'kepunyaan' siapa & seolah-olah nak kata,
"Ehh. Aku ni dah dicop oleh si dia. Jangan cuba-cuba nak kacau kami ya!"
Aduh... Mungkin kau lupa yang sememangnya kau memang berpunya!
Kau, aku, dia, dan semua manusia ialah ALLAH yang punya!
Bila-bila masa Allah nak 'ambik' balik kepunyaan Dia ni, Dia akan 'ambik'.
Time tu, kita semua dah tak boleh nak berdolak-dalik.
Kalau betul-betul dah serius dalam perhubungan tu, teruslah akad. Kalau belum sedia, kenapa nak pandai dekat-dekat?
Ingatlah... Kiamat sudah makin dekat. Takut nanti tak sempat taubat. Sebab terlalu lalai dengan nikmat....
Nau'zubillahi min zalik.
** Nota jari **
I'd make this promise to myself ; "I won't accept any love again before akad."

Credit pic: Aifa :)

Tuesday, November 4, 2014

Aurat Dijaga, Allah Pelihara

Credit pic : Aimi :)


Cuti semester sudahpun bermula. Azam saya, saya ingin memanfaatkan cuti ini dengan sesuatu yang lebih bermanfaat berbanding cuti semester yang lepas. Alhamdulillah, Allah memudahkan niat saya. Sepanjang cuti selama sebulan, saya berpeluang menjadi salah seorang pekerja sementara di OCBC Al-Amin Bank Berhad. Dapatlah saya menimba pengalaman dan menambah pengetahuan tentang dunia perbankan Islam yang secara kebetulan, saya memang mengambil bidang Perbankan Islam di Politeknik Ungku Omar saat itu. Insya-Allah.

Seperti biasa, saya akan mengenakan tudung labuh, jubah atau baju kurung, stoking dan armsock untuk ke tempat kerja. Walaupun saya menaiki motosikal ke tempat kerja, bagi saya pakaian sebegitu tidaklah menyukarkan saya untuk bergerak. Tetapi sebenarnya, lebih menjamin keselamatan saya sebagai seorang wanita yang beragama Islam. Saya lebih selesa berpakaian sebegitu. Biarpun kadangkala kelihatan asing di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, namun ianya tidaklah mematahkan prinsip saya untuk terus menutup aurat dengan sempurna. Jika aurat dijaga, pasti Allah pelihara!

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda :
“Jagalah Allah, Dia pasti menjagamu. Jagalah Allah, Dia sentiasa bersamamu.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Seperti biasa juga, tamat sahaja waktu bekerja, saya akan singgah sebentar di sebuah gerai yang terletak di tepi jalan untuk membeli keropok lekor. Sekadar ingin mengalas perut sebelum ‘merempit’ untuk pulang ke rumah. Setelah membelinya, saya duduk sebentar di tempat duduk menunggu bas untuk menjamahnya. Sedang saya leka menikmati keenakan keropok lekor yang baru dibeli sebentar tadi, tiba-tiba ada seorang lelaki yang turut berada di perhentian bas tersebut yang mungkin berumur dalam lingkungan 40-an, menegur saya.

“Adik nak balik ke mana?”, tanya lelaki tadi.

“TTDI.”, balas saya pendek, sekadar menepati ‘syarat-syarat’ small talk. Mungkin dia kira, saya sedang menunggu ketibaan bas. Sedangkan, saya hanya ingin menumpang tempat duduk di situ.

“Oh. TTDI tu kat mana? Abang mana tahu tempat-tempat kat sini.”, balasnya sambil tersengih-sengih, membuatkan saya berasa kurang selesa.

‘Erk! Abang??’, bisik hati saya sambil terselit rasa meluat dengan gelaran yang digelarnya sebentar tadi.

Melihat respon saya yang hambar, lelaki itu kembali ke tempat duduknya sambil berkata dengan suara yang seakan-akan control macho, “Maaflah mengganggu adik. Maaf ya.... Maaf...”

Saya sekadar membalasnya dengan pandangan tanpa berkata apa-apa. Rasa meluat semakin menular ke dalam diri. Firasat hati membujuk saya untuk pergi dari situ demi keselamatan diri, tetapi perut pula minta diisi! Itulah tempat makan yang paling ‘strategik’ bagi diri saya saat itu. Aduhai....

Selang beberapa saat kemudian, lelaki itu mula mendekati tempat yang saya duduk.

Boleh abang duduk sini?”, tanyanya sambil menunjuk tempat duduk yang mungkin memiliki jarak sedepa dari tempat duduk saya.

“Duduklah.”, balas saya dengan muka yang serius. Senyuman langsung tidak terukir di bibir.

‘Ya Allah. Kenapalah aku bagi green light.’, gerutu hati saya. Sedikit sesal.

Lelaki itu mula mengajukan soalan demi soalan kepada saya. Umur berapa.. Adik-beradik berapa.. Sekolah di mana.. Universiti di mana.. Anak ke berapa.. Huh, naik rimaslah jawabnya! Jantung saya tiba-tiba berdebar-debar. Perasaan risau bercampur marah dan menyampah semakin bertambah.

“Kenapa pak cik nak tahu?”, tanya saya dengan nada yang sungguh serius.

“Tak apalah kalau tak boleh. Abang merajuk ni...”, jawabnya.

Saya diam membatu. Buat tidak tahu dengan si lelaki miang itu.

“Adik... Abang merajuk ni...”, pancingnya lagi.

Saat itu, rasa menyampah semakin membuak-buak dalam diri. Saya lantas bangun dan pergi dari situ sebelum apa-apa yang lebih buruk terjadi. Niat untuk menikmati makanan pun terhenti. Saya melangkah cepat-cepat, risau juga jika dia mengekori. Saya menoleh ke belakang. Tiada sesiapa. Syukur, Alhamdulillah. Tatkala itu, jantung saya berdegup laju. Hanya Allah sahaja yang tahu tahap ‘kelajuan’ itu! Saya cepat-cepat menghidupkan motosikal dan menderum laju. Vroommmmm!

Setelah kejadian itu berlaku, saya menjadi lebih berhati-hati. Sebenarnya, sudah tiga kali saya terserempak dengan lelaki itu di tempat parking motosikal. Risau juga kalau-kalau dia menyakiti saya atau paling tidak, ‘menyakiti’ motosikal saya. Masakan tidak, saat kami terserempak, lelaki itu memandang saya dengan pandangan yang tajam. Saya pasti akan mengalihkan pandangan (buat-buat tidak nampak) ataupun menunduk sahaja. Orang sebegini, usah berlaku terlalu kasar terhadapnya dan jangan pula terlalu berlembut. Berlagak selamba sahaja. Usah ‘tonjolkan’ ketakutan, kelak kita akan di apa-apakan. Ingatlah bahawa Allah pasti akan menjaga kita jika kita menjaga hak-Nya. Yakinlah dengan Allah. Hanya kepada Allah kita bertawakal.

Dan Alhamdulillah, Allah menjaga saya. Kerana apa? Kerana saya menjaga hak-Nya dengan menutup aurat serba sempurna. Alhamdulillah, terima kasih Allah...

Jadi, jangan ragu-ragu dalam mentaati perintah-Nya. Yakinlah dengan Allah. Tiada suatupun ketetapan/pensyariatan-Nya yang sia-sia. Allah itu sifatnya Maha Mengetahui. Sedangkan kita, tidak. Okeyyhhhh? That’s all from me. Semoga bermanfaat. :)



~ Coretan The Servant of Allah ~
~ 30 November 2013 ~

Sunday, September 21, 2014

Berikan Aku Ikhlas ...



‘Along. Cepatlah check result.’ , mesej daripada sahabat sekelas saya, Ain, menghiasi ruang inbox telefon bimbit saya. Saya yang sedang leka membuat kerja cepat-cepat membuka komputer. Ada debaran terasa.

21 November 2013. Tarikh keramat bagi para pelajar politeknik mengetahui keputusan peperiksaan masing-masing. Saya yang baru sahaja tamat semester dua pada ketika itu tidak terkecuali.

‘Klik!’ , punat “Keputusan Peperiksaan” ditekan di laman sesawang “iPUO”. Kemudian... Alangkah terkejutnya saya melihat keputusan peperiksaan saya yang naik mendadak berbanding semester lepas.

“Eh? Ini result aku ke? Alhamdulillah....!”, terpacul kata-kata itu dari mulut saya secara spontan. Terasa ingin menangis. Bukan tangisan kerana kesedihan, tetapi tangisan kegembiraan dan keterharuan. Terharu dengan Allah yang bersifat Ar-Rahman. Hati tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran.



Bi iznillah

Setiap perkara yang berlaku adalah kerana adanya izin daripada ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala. Tanpa ada izin daripada-Nya, sesuatu perkara tidak mungkin berlaku. Mengapa begitu? Kerana ALLAH ialah Tuhan yang Maha Esa. ALLAH yang Maha Berkuasa ke atas segala-galanya. DIA yang mentadbir dan mengurus alam ini sesuai dengan kehendak-Nya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala :-

“Sesungguhnya, urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah!”. Maka jadilah sesuatu itu.”
(Surah Yaasiin : Ayat 82)

Jadi, usahlah kita berbangga diri dan sombong tatkala mendapat keputusan yang cemerlang. Kita seharusnya sedar bahawa kita ini zero. Kosong. Ya, kosong. Tidak punya apa-apa melainkan jika adanya izin daripada Allah. Kelebihan, kepandaian dan kebijakan yang kita miliki adalah atas kehendak-Nya. Adanya izin daripada-Nya. Mana mungkin sesuatu perkara berlaku tanpa adanya izin daripada Allah? Mustahil sekali! Setiap perkara hatta perkara yang negatif seperti musibah, turut berlaku kerana adanya izin daripada Allah. Bi iznillah!

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala :-

“Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput daripada kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri.”
(Surah Al-Hadid : Ayat 22-23)

Sewaktu mengetahui keputusan peperiksaan saya yang naik begitu mendadak, hati saya berbisik sesuatu.
‘Semoga Allah memberkati result exam aku ini... Amin....’

Saat itu, saya juga terfikir tentang sesuatu. Bagi saya, pelajar yang BENAR-BENAR cemerlang di dunia dan di akhirat ialah pelajar yang belajar kerana mahukan keredhaan dan keberkatan daripada Allah. Bukan belajar kerana mahukan keputusan peperiksaan yang gempak semata-mata dek kerana terpaksa menduduki peperiksaan pada akhir semester atau seumpamanya.

Saat ini juga, hati saya mula berbisik, ‘Benar-benar cemerlangkah aku?’

Buat sahabat-sahabat yang membaca coretan saya ini, muhasabahlah semula tentang diri kita. Adakah segala perkara yang kita dapat atau buat mendapat barakah? Adakah diberkati Allah? Apakah Allah redha?

Bagaimana mahu menilai tentang perkara ‘sekecil’ ini? Tidak. Ia mungkin nampak kecil. Tetapi memainkan peranan yang sangat besar dalam kehidupan kita. Keberkatan itu sangat penting, sahabat. Apalah guna keputusan yang cemerlang tetapi keberkatan terbang melayang? Nilailah semua segala usaha yang kita lakukan sebelum mendapat keputusan cemerlang, apakah ianya BENAR-BENAR diberkati oleh Allah ataupun tidak? 

Ayuhlah kita memuhasabah kembali.
  1. Adakah kita benar-benar ikhlas belajar kerana Allah atau kerana mahukan keputusan yang cemerlang semata-mata?
  2. Adakah kita benar-benar jujur dalam quiz ataupun test tempoh hari? Meniru ataupun tidak?
  3. Adakah segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah disiapkan dengan penuh rasa tanggungjawab dan ikhlas atau sekadar terpaksa?
Sahabat... Jika benar kita lakukan sesuatu kerana Allah, diri kita pasti sentiasa bersemangat dan tidak akan pernah jemu dalam menuntut ilmu. Jika kita benar-benar ikhlas dalam menuntut ilmu, sudah tentu kita tidak akan meniru. Andai ada antara sahabat saya yang pernah melakukan hal itu, ingatlah bahawa Allah itu Maha Melihat. Tiada suatupun yang terhalang daripada pandangan dan penglihatan Allah. Andai ketika kamu meniru, pensyarah tidak nampak akan hal itu, ingatlah bahawa, ‘Allah is watching you!’. Jika kamu meniru kerana mahu tinggikan markah, muhasabahlah bahawa, apalah guna tinggi markah tetapi hilang barakah?



Ilmu Itu Mulia

Untuk mendapatkan sesuatu yang mulia, tentulah dengan cara yang mulia juga, bukan? Ilmu itu mulia. Maka, dapatkanlah ia dengan cara yang mulia dan terhormat. Bagaimana ilmu boleh dikategorikan sebagai mulia? Masakan tidak? Ilmu merupakan jalan menuju ke Syurga-Nya yang abadi. Oleh sebab itu, ilmu mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam.

Sabda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam :-

“Barangsiapa yang meniti suatu jalan untuk memperoleh ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan baginya menuju ke Syurga.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam kitab ‘Hadis 40 oleh Imam Al-Nawawi’, Imam Al-Nawawi ada menyatakan, untuk menguatkan bahawa ilmu ialah jalan paling pendek yang dapat membawa seseorang kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, kita boleh melihat kepada wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam, iaitu dengan menitikberatkan masalah ilmu dan cara untuk mendapatkannya, juga mengingatkan betapa penting dan mulianya kedudukan ilmu. Wahyu tersebut ialah :

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Surah Al-‘Alaq : Ayat 1-5)

Oleh itu, dapatkanlah sesuatu ilmu itu dengan cara yang mulia kerana ilmu itu mulia! Mana mungkin sesuatu perkara yang keji dapat menginap di Syurga yang abadi?



‘Berikan’ Aku Ikhlas

Orang yang menuntut ilmu bukan kerana Ilahi tetapi kerana kepentingan duniawi, sebenarnya hanya mensia-siakan dirinya sendiri. Jika seseorang menuntut ilmu kerana kedudukan atau populariti misalnya, kerana mahu dikenali oleh setiap orang bahawa dirinya insan yang hebat dan bijak, ilmu itu akan menjadi sia-sia belaka. Tiada nilainya di sisi Allah. Bahkan, mendapat kemurkaan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Nau’zubillahi min zalik.

Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda :

“Barangsiapa yang mempelajari ilmu yang harus dituntutnya kerana Allah, namun dia mencarinya hanya kerana menginginkan kepentingan duniawi, maka dia tidak akan mendapatkan bau syurga pada hari kiamat.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Sedangkan bau Syurga tidak dapat dihidu, apatah lagi masuk ke dalamnya? Masya-Allah... Hadis ini benar-benar memberikan kesedaran kepada kita agar benar-benar ikhlas dalam menuntut ilmu. Jadi, ayuhlah betulkan niat kita sebelum belajar atau mengulangkaji pelajaran bahawa,

"Sahaja aku belajar kerana Allah Ta’ala."

Insya-Allah, ikhlas itu akan dapat dipupuk dan terus dipupuk. Jangan biarkan syaitan merasuk ikhlas yang sedang dipupuk. Jangan pernah sekali-kali mengaku diri kita ikhlas kerana tahap keikhlasan seseorang manusia hanya dapat dinilai oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala semata-mata. Bahkan, malaikat turut tidak dapat mengetahui sama ada seseorang itu ikhlas ataupun tidak. Hanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala sahaja yang Maha Mengetahui. Ya, hanya Allah.

Bukan itu sahaja, titipkanlah juga doa buat dirimu, wahai sahabat. Misalnya, berdoalah seperti di bawah ini :-

‘Ya Allah... Berikanlah aku ikhlas dalam setiap perkara yang aku lakukan. Semoga benar-benar kerana-Mu. Lantas dapatlah aku meraih keredhaan dan keberkatan daripada-Mu. Amin...’


~ Coretan The Servant of Allah
~ 29.11.2013
~ KAMSIS, PUO
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...