Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Tuesday, November 4, 2014

Aurat Dijaga, Allah Pelihara

Credit pic : Aimi :)


Cuti semester sudahpun bermula. Azam saya, saya ingin memanfaatkan cuti ini dengan sesuatu yang lebih bermanfaat berbanding cuti semester yang lepas. Alhamdulillah, Allah memudahkan niat saya. Sepanjang cuti selama sebulan, saya berpeluang menjadi salah seorang pekerja sementara di OCBC Al-Amin Bank Berhad. Dapatlah saya menimba pengalaman dan menambah pengetahuan tentang dunia perbankan Islam yang secara kebetulan, saya memang mengambil bidang Perbankan Islam di Politeknik Ungku Omar saat itu. Insya-Allah.

Seperti biasa, saya akan mengenakan tudung labuh, jubah atau baju kurung, stoking dan armsock untuk ke tempat kerja. Walaupun saya menaiki motosikal ke tempat kerja, bagi saya pakaian sebegitu tidaklah menyukarkan saya untuk bergerak. Tetapi sebenarnya, lebih menjamin keselamatan saya sebagai seorang wanita yang beragama Islam. Saya lebih selesa berpakaian sebegitu. Biarpun kadangkala kelihatan asing di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, namun ianya tidaklah mematahkan prinsip saya untuk terus menutup aurat dengan sempurna. Jika aurat dijaga, pasti Allah pelihara!

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda :
“Jagalah Allah, Dia pasti menjagamu. Jagalah Allah, Dia sentiasa bersamamu.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Seperti biasa juga, tamat sahaja waktu bekerja, saya akan singgah sebentar di sebuah gerai yang terletak di tepi jalan untuk membeli keropok lekor. Sekadar ingin mengalas perut sebelum ‘merempit’ untuk pulang ke rumah. Setelah membelinya, saya duduk sebentar di tempat duduk menunggu bas untuk menjamahnya. Sedang saya leka menikmati keenakan keropok lekor yang baru dibeli sebentar tadi, tiba-tiba ada seorang lelaki yang turut berada di perhentian bas tersebut yang mungkin berumur dalam lingkungan 40-an, menegur saya.

“Adik nak balik ke mana?”, tanya lelaki tadi.

“TTDI.”, balas saya pendek, sekadar menepati ‘syarat-syarat’ small talk. Mungkin dia kira, saya sedang menunggu ketibaan bas. Sedangkan, saya hanya ingin menumpang tempat duduk di situ.

“Oh. TTDI tu kat mana? Abang mana tahu tempat-tempat kat sini.”, balasnya sambil tersengih-sengih, membuatkan saya berasa kurang selesa.

‘Erk! Abang??’, bisik hati saya sambil terselit rasa meluat dengan gelaran yang digelarnya sebentar tadi.

Melihat respon saya yang hambar, lelaki itu kembali ke tempat duduknya sambil berkata dengan suara yang seakan-akan control macho, “Maaflah mengganggu adik. Maaf ya.... Maaf...”

Saya sekadar membalasnya dengan pandangan tanpa berkata apa-apa. Rasa meluat semakin menular ke dalam diri. Firasat hati membujuk saya untuk pergi dari situ demi keselamatan diri, tetapi perut pula minta diisi! Itulah tempat makan yang paling ‘strategik’ bagi diri saya saat itu. Aduhai....

Selang beberapa saat kemudian, lelaki itu mula mendekati tempat yang saya duduk.

Boleh abang duduk sini?”, tanyanya sambil menunjuk tempat duduk yang mungkin memiliki jarak sedepa dari tempat duduk saya.

“Duduklah.”, balas saya dengan muka yang serius. Senyuman langsung tidak terukir di bibir.

‘Ya Allah. Kenapalah aku bagi green light.’, gerutu hati saya. Sedikit sesal.

Lelaki itu mula mengajukan soalan demi soalan kepada saya. Umur berapa.. Adik-beradik berapa.. Sekolah di mana.. Universiti di mana.. Anak ke berapa.. Huh, naik rimaslah jawabnya! Jantung saya tiba-tiba berdebar-debar. Perasaan risau bercampur marah dan menyampah semakin bertambah.

“Kenapa pak cik nak tahu?”, tanya saya dengan nada yang sungguh serius.

“Tak apalah kalau tak boleh. Abang merajuk ni...”, jawabnya.

Saya diam membatu. Buat tidak tahu dengan si lelaki miang itu.

“Adik... Abang merajuk ni...”, pancingnya lagi.

Saat itu, rasa menyampah semakin membuak-buak dalam diri. Saya lantas bangun dan pergi dari situ sebelum apa-apa yang lebih buruk terjadi. Niat untuk menikmati makanan pun terhenti. Saya melangkah cepat-cepat, risau juga jika dia mengekori. Saya menoleh ke belakang. Tiada sesiapa. Syukur, Alhamdulillah. Tatkala itu, jantung saya berdegup laju. Hanya Allah sahaja yang tahu tahap ‘kelajuan’ itu! Saya cepat-cepat menghidupkan motosikal dan menderum laju. Vroommmmm!

Setelah kejadian itu berlaku, saya menjadi lebih berhati-hati. Sebenarnya, sudah tiga kali saya terserempak dengan lelaki itu di tempat parking motosikal. Risau juga kalau-kalau dia menyakiti saya atau paling tidak, ‘menyakiti’ motosikal saya. Masakan tidak, saat kami terserempak, lelaki itu memandang saya dengan pandangan yang tajam. Saya pasti akan mengalihkan pandangan (buat-buat tidak nampak) ataupun menunduk sahaja. Orang sebegini, usah berlaku terlalu kasar terhadapnya dan jangan pula terlalu berlembut. Berlagak selamba sahaja. Usah ‘tonjolkan’ ketakutan, kelak kita akan di apa-apakan. Ingatlah bahawa Allah pasti akan menjaga kita jika kita menjaga hak-Nya. Yakinlah dengan Allah. Hanya kepada Allah kita bertawakal.

Dan Alhamdulillah, Allah menjaga saya. Kerana apa? Kerana saya menjaga hak-Nya dengan menutup aurat serba sempurna. Alhamdulillah, terima kasih Allah...

Jadi, jangan ragu-ragu dalam mentaati perintah-Nya. Yakinlah dengan Allah. Tiada suatupun ketetapan/pensyariatan-Nya yang sia-sia. Allah itu sifatnya Maha Mengetahui. Sedangkan kita, tidak. Okeyyhhhh? That’s all from me. Semoga bermanfaat. :)



~ Coretan The Servant of Allah ~
~ 30 November 2013 ~

Sunday, August 5, 2012

Mujahadah dalam Meningkatkan Iman


Assalamua'laikum. Ini assignment untuk subjek Pengajian Islam saya. Kami ditugaskan untuk tulis artikel. Banyak tajuk yang ada, tapi lecturer suruh pilih satu je. Rambang mata saya jadinya. Pilih punya pilih, akhirnya, tajuk ni yang menjadi pilihan saya (atas sebab-sebab tertentu). 

Kami kena tulis artikel macam artikel kat dalam majalah-majalah. Contohnya, Solusi, Gen-Q, Anis, dan yang sewaktu dengannya. Mula-mula nak menulis tu, kepala saya memang agak blank. Saya ni bukanlah jenis yang celik IT sangat. Saya tahu yang basic-basic je. Tup tup, artikel ni kena guna Publisher. Mau tak kena 'culture shock'. Masya-Allah! Microsoft Word pun saya tak berapa pro sangat, inikan pula Publisher. Tapi, takpe. Saya percaya, Allah pasti akan mudahkan kalau kita berusaha. Yang penting kena YAKIN dengan Allah. Jangan mengalah!

Alhamdulillah, selepas bersengkang mata, inilah hasilnya. Tapi tak sama macam apa yang saya buat la. Tak dapat nak tunjuk sebijik-sebijik macam apa yang saya buat. So, saya just kongsi ilmu yang saya dapat hasil daripada usaha menelaah buku-buku untuk cari maklumat yang berkaitan. Semoga bermanfaat! Dalam artikel ni, watak saya ialah ustazah dan seorang lagi tu, remaja yang nak bertanya. Konon-konon macam slot "Tanyalah ustazah"... :)


**************************************************************
TANYALAH USTAZAH

Oleh : SyahidatulHusna Birkamsin
“Ustazah, saya seringkali tewas dalam bermujahadah. Semakin saya bermujahadah, semakin kuat pula saya diuji oleh Allah. Saya berazam hendak jadi muslimah yang lebih baik. Namun, keasyikan dunia disekeliling saya membuatkan iman saya tunggang terbalik. Berilah saya tips bagaimana hendak bermujahadah supaya hidup saya lebih terarah. Bantulah saya ustazah,” luah seorang remaja kepada saya dalam sebuah e-mel.

Tersentuh hati saya saat membacanya.

‘Lunak sungguh hati remaja ini,’ fikir saya.

Apakah itu mujahadah?

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pengertian mujahadah  ialah perang atau perjuangan untuk mempertahankan agama Islam. Selain itu, mujahadah juga membawa maksud jihad.
Pengertian mujahadah secara umum pula ialah berjuang bersungguh-sungguh untuk melawan musuh. Siapakah musuh itu? Tentu sekali hawa nafsu! 


Berkata Imam Al-Ghazali dalam kitabnya, Minhajul Abidin, “Hawa nafsu ialah musuh yang sangat keji dan hina malah mencelakakan serta sukar untuk dihindari.” Oleh sebab itu, kita haruslah berwaspada.

Hal ini kerana :
1. Hawa nafsu merupakan musuh dari dalam dan bukan musuh dari luar seperti syaitan sebagaimana syair di bawah ini,

‘Nafsu sentiasa mengajak aku ke jalan celaka hingga aku merasa sakit dan ngeri. Bagaimana seharusnya aku bertindak jika musuh itu menyelinap di antara tulang rusukku.’

2. Hawa nafsu ialah musuh yang disukai. Maka, manusia yang  mencintainya akan menutup mata terhadap segala keaibannya sebagaimana yang dikatakan dalam syair di bawah ini,

‘Engkau tidak akan melihat keaiban orang yang engkau cintai dan orang yang engkau jadikan saudara,
Bahkan tidak sedikitpun keaibannya akan terlihat bila engkau sudah mencintainya,
Mata yang redha itu rabun terhadap keaiban,
Sedangkan mata yang benci akan melihat segala keaiban yang ada.’

Imam Al-Ghazali berkata lagi, “Hawa nafsu sangat sukar diajak berkrompomi dalam membulatkan hati untuk beribadat kepada Tuhan kerana hawa nafsu akan sentiasa menjauhkan kita dari Allah S.W.T.

Oleh sebab itu, kita memerlukan sesuatu dalam mengendalikan hawa nafsu iaitu takwa.”


Jadi, apakah tips yang terbaik dalam bermujahadah? Tentu sekali jawapannya ialah takwa kepada Allah S.W.T! 


Dengan mempunyai sifat takwa yang tinggi, nafsu jahat dapat ditumpaskan sekaligus dapat meningkatkan iman kepada Allah S.W.T.

Takut?
Takwa bererti takut, patuh dan tunduk kepada Allah S.W.T.

Firman-Nya :-
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.”

(Surah Ali-Imran, 3 : Ayat 102)

Dengan adanya sifat takwa dalam diri, kita akan lebih mudah menguatkan diri kita dalam bermujahadah. Masakan tidak, perasaan takut kepada Allah S.W.T yang wujud dalam diri akan membuatkan kita lebih berhati-hati dalam mengambil tindakan seharian.


Baiklah. Biar saya berikan contoh. Sekiranya kamu dikejar oleh anjing, sudah tentu kamu akan berlari sekuat-kuatnya supaya kamu tidak digigit oleh anjing tersebut.

Mana mungkin kamu akan membiarkan dirimu cedera disebabkan oleh anjing itu? Mana mungkin kamu akan membiarkan dirimu luka-luka akibat gigitan anjing itu? Sampai begitu sekali tindakan kita yang mahu menjaga diri!


Tanya semula pada diri sendiri, mengapa wujudnya tindakan untuk berlari sekuat hati? Hal ini kerana lahirnya perasaan takut yang menguasai diri. Takut digigit oleh anjing dan takut diri tercedera ekoran daripada gigitan yang sungguh berbisa.


Begitulah perumpamaannya dengan perasaan takut kepada Ilahi. Malah aura takut kepada Ilahi lebih dahsyat lagi. Sekiranya wujud perasaan takut yang mendalam kepada Allah S.W.T, kita akan lebih berhati-hati dalam menjaga hati. Sudah pasti kita tidak akan membiarkan hati cedera walau sedikitpun. 


Dengan ini, iman akan bertambah dari hari ke hari. Semua ini ekoran daripada sifat takwa yang terbit dalam diri sehingga mampu menjaga hati lalu iman pun semakin subur setiap hari! Inilah jalan mujahadah yang indah. Hanya bertakwa kepada Allah. Subhanallah!

Kesimpulan perumpamaan di atas ialah :-
1. Takutkan anjing :
· Tindakan : Lari sekuat hati.
· Sebab : Mahu menjaga diri.

2. Takutkan Allah S.W.T :
· Tindakan : Melakukan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya serta mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W.
· Sebab : Mahu menjaga hati dan menyuburkan iman.

Peringkat nafsu
Seperti yang telah kita ketahui, mujahadah yang terbesar untuk meningkatkan iman kepada Allah S.W.T. ialah mujahadah melawan nafsu. ‘Inspirasi’ mujahadah pula ialah takwa. Jihad nafsu merupakan jihad yang agung. Keagungan jihad nafsu bukanlah bererti jihad yang lain tidak penting. Jihad nafsu merupakan jihad yang agung kerana sulitnya perjuangan ini. Hal ini demikian kerana pada hakikatnya, perjuangan ini adalah antara manusia dengan dirinya sendiri.

Namun begitu, menurut Al-Quran dan hadis, nafsu dikategorikan kepada tujuh peringkat :-

1. Nafsu Ammarah
* Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Malah, si pemilik nafsu ini akan berasa bangga dengan kejahatannya.

2. Nafsu Lawwamah
* Mengetahui dengan ilmunya bahawa perbuatan jahat dan dosa itu salah tetapi masih melakukan perbuatan tersebut. Namun, setelah itu, dia menyesal di atas perbuatan jahatnya.

3. Nafsu Mulhamah
* Jiwanya banyak terkumpul dengan sifat-sifat baik akan tetapi jiwanya memerlukan kesabaran, tabah dalam bermujahadah dan sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah S.W.T.

4. Nafsu Mutmainnah
* Nafsu yang tenang dan tenteram ketika mengingati Allah S.W.T. Jiwanya sentiasa merindui Allah dan sentiasa dekat dengan-Nya.

5. Nafsu Radhiah
* Jiwa yang reda terhadap Allah dan sentiasa dalam keadaan selamat sejahtera kerana mereka puas dengan nikmat kurniaan Allah S.W.T.

6. Nafsu Mardhiah
* Jiwanya sentiasa mendapat keredaan Allah. Bukti keredaan-Nya dapat dilihat melalui akhlak yang mulia dan mempunyai sifat ikhlas dalam amalannya.

7. Nafsu Kamilah
* Jiwa yang sempurna, jiwanya berada di peringkat tinggi dan sempurna serta memiliki sifat-sifat yang baik.

Nafsu kita berada di peringkat yang mana? Jika berada di peringkat yang baik, maka baiklah peribadi kita, begitu juga sebaliknya. Nafsu yang baik perlu dipertahankan tetapi nafsu yang jahat perlu ditentang habis-habisan! Apabila nafsu dapat dikalahkan, iman turut dapat disuburkan.

Usah mengalah!
Wahai sekalian manusia, usah mengalah dalam bermujahadah. Jangan mengatakan payah, kerana kita semua ada Allah…!

Teruskanlah bermujahadah dan bersangka baiklah dengan Allah. Allah Maha Menilai setiap usaha yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya. Kadangkala, kita rasa teruji dan diuji kerana Allah mahu melihat tahap kesabaran kita dalam menempuh dugaan yang diberikan oleh-Nya. Allah mahu melihat sejauh mana kita mengharapkan pergantungan daripada-Nya.

Allah telah berfirman :
“Pergilah kepada hamba-Ku lalu timpakanlah berbagai-bagai ujian kepadanya kerana Aku ingin mendengar rintihan-Nya.”

(Hadis riwayat Thabrani dari Abu Umamah)

Allah juga menurut persangkaan hamba-hamba-Nya. Jika baik sangkaan hamba-Nya, maka kebaikanlah yang akan diperoleh. Begitu juga sebaliknya.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda,
“Berfirman Allah Azzawajalla : ‘Aku berkuasa untuk melakukan apa yang hamba-Ku sangkakan terhadapku. Dan Aku berserta dengannya ketika dia menyebut-Ku (berzikir kepada-Ku.)’ ”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, bersangka baiklah dengan Allah. Jika mind set kita selalu berkata susah, maka tindakan yang ingin dilakukan juga menjadi sukar. Sukar itu lumrah kehidupan. Jika segala perkara mudah untuk dilakukan, tiadalah ‘nikmat’ kehidupan. Bertindaklah ikut kemampuan. Mulakan langkah sedikit demi sedikit untuk mendapat hasil yang berbukit! Namun, jangan sekali-kali mengeluh tetapi merintihlah. Sentiasa berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segala niat yang baik dan mintalah petunjuk. Allah Maha Menilai segala usaha kita dan doa yang kita panjatkan. Yang paling penting, yakinlah bahawa Allah sentiasa mendengar rintihan dan luahan hati setiap hamba-Nya. Tiada keyakinan, maka tiadalah jalan. Put your trust in Allah. Allah S.W.T. maha dalam segala perkara. Teruskanlah berbaik sangka! 

Akhir kata daripada ustazah,

‘Marilah bermujahadah,
Itu bukanlah sesuatu yang mudah,
Maka, berdoalah! Merintihlah!
Agar diri tidak kalah mahupun lelah…
Bertakwalah kepada Allah,
Supaya iman tidak menjadi lemah,
Inilah jalan mujahadah yang indah,
Usahlah mengeluh walaupun payah…!’

Wallahua’lam. Wassalam.

**********************************************************












Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...