Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Friday, December 19, 2014

Cerpen : Calitan Pengharapan

S
eminggu sahaja lagi peperiksaan akhir bagi semester enam akan berakhir. Sayyidah membaca semula nota-nota yang telah ditulisnya sebelum-sebelum ini. Bibirnya terkumat-kamit membaca isi-isi nota yang telah lali meniti dibibirnya yang mungil. Dia harus gigih dalam perjuangan ini. Tinggal dua sahaja lagi subjek yang bakal menguji minda dan kefahamannya selama dia menjadi pelajar di universiti itu ketika di medan peperiksaan nanti. Bagi Sayyidah, segulung ijazah itu tidak bermakna sekiranya tidak menuntut ilmu kerana Allah. Niat wajib diperbetulkan ketika hendak melanjutkan pelajaran. Ilmu dituntut bukan kerana peperiksaan. Bukan jua kerana pujian insan tetapi kerana hati yang mendambakan keberkatan daripada Tuhan. Segala-galanya perlu dilakukan atas dasar ‘kerana Allah’ semata-mata.

“Tut tut! Tut tut!”

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi menandakan sebuah mesej telah diterimanya. Tiada nama. Hanya nombor sahaja yang tertera di skrin telefon bimbitnya. Nombor dari luar negara. Fikirannya menebak. Jantungnya pula bagaikan dipalu namun tiada irama dan lagu. Berdegup laju. Sayyidah lantas menekan punat view.

Assalamualaikum ukhtie. Kaifa haluki al-aan? Insya-Allah, saya akan pulang ke Malaysia minggu depan. Semoga kamu dan keluarga sihat-sihat sahaja hendaknya. - Fahmi -

Sayyidah terpana. Sudah tiga tahun khabar lelaki itu tidak diketahuinya melalui kiriman khabar daripada lelaki itu sendiri semenjak lelaki itu menjejakkan kaki ke negara orang. Namun, Sayyidah sedikitpun tidak berkecil hati kerana Sayyidah sangat mengerti bahawa dirinya dan Fahmi masih tiada apa-apa ikatan yang sah meskipun mereka telah bertunang. Mereka hanya ‘merisik khabar’ melalui orang tua mereka sahaja. Bagi mereka, pertunangan bukanlah tiket bagi mereka untuk berlebih-lebihan bagaikan pasangan yang telah diijabkabulkan. Sesekali, rindu bertamu. Namun, ditepisnya dengan alunan zikir nan syahdu. Sayyidah mahu berpegang pada prinsipnya bahawa cinta dan rindu hanya buat suami bukan lelaki ajnabi yang masih belum pasti menjadi suami!

Kadangkala, kerisauan menjengah di kala imannya goyah. Adakah Fahmi akan berpegang dengan kata-katanya? Adakah Fahmi masih mengingati dirinya saat dia nun jauh di sana? Bagaimana jika Fahmi berpaling dan meninggalkan dirinya yang masih tertunggu-tunggu kepulangannya? Segala tanda tanya yang dicipta oleh mindanya segera ditepis. Segala-galanya milik Allah. Jadi, letakkan segala pengharapan kepada pencipta manusia bukan kepada manusia yang dicipta. Pasakkan keyakinan kepada Allah. Sabar, redha, yakin, tawakal dan pasrah.

Sayyidah lantas membalas mesej tersebut. Ringkas.

Waalaikumussalam. Alhamdulillah ana wa usrati bikhoir fi rahmatillah, Insya-Allah. Selamat pulang ke kampung halaman.

Sayyidah cepat-cepat mengembalikan fokusnya terhadap pelajaran. Dia tidak ingin lena dalam pelukan kealpaan. Dia tidak ingin terbuai dek perasaan yang kadangkala sukar untuk ditafsirkan dengan lisan.

‘Fokus! Fokus! First thing first !’, bisiknya di dalam hati.


Kepulangan

“Sayyidah. Fahmi sudah pulang. Pagi tadi Fahmi telefon ibu. Katanya, dia sudah tamat belajar di Jordan. Ada dia telefon Sayyidah? ” , tanya ibunya, Puan Dalila.

Sayyidah tersentak lalu menggeleng.

“Ibu... Ibukan tahu yang Sayyidah tidak suka bercakap dengan lelaki dalam telefon. Lainlah kalau ada urusan yang betul-betul penting.”, Sayyidah berkata sambil menuangkan air teh panas ke dalam cawan ibunya bagi menikmati juadah petang bersama-sama.

“Fahmi itu tunang kamu, Sayyidah... Masakan tidak penting pula.... Ada ibu Fahmi telefon kamu dan bertanya khabar kamu?”, soalan yang terpacul dari mulut Puan Dalila membuatkan Sayyidah jadi kelu. Kaku.

“Emm.. Tentang itu. Biasanya, Sayyidah yang selalu tanya khabar Mak Cik Midah. Tapi, kadang-kadang mak cik itu, macam tidak mahu bercakap dengan Sayyidah saja. Satu ditanya, satu dijawab. Seolah-olah tidak sudi.”, ada nada kecewa yang lahir di bibir.

“Perasaan kamu saja agaknya. Tidak baik buruk sangka dengan bakal mak mentua.”, Puan Dalila memberi nasihat.

Angguk. Senyuman yang hambar lalu terukir. Perbualan itu terhenti seketika. Kakak Sayyidah tiba-tiba muncul di dapur.

“Fahmi datang.”, Kak Syahirah berkata sambil jarinya menunjuk ke arah pintu rumah mereka.
Puan Dalila dan Sayyidah saling berpandangan.

‘Fahmi datang? Kenapa tiba-tiba? Tidak beritahu aku pun?’ , gumam hati kecilnya. Terkejut tidak terkata. Hanya Allah yang tahu.


Akhirnya...

“Lama sungguh tidak bersua muka dengan kamu semua. Mak cik apa khabar? Mana pak cik?”, Fahmi memulakan bicara.

“Alhamdulillah, sihat. Maaflah, suami mak cik keluar. Ada urusan dengan rakan sekerjanya. Kalau Fahmi beritahu yang Fahmi hendak datang ke sini hari ini, mesti suami mak cik tidak jadi keluar. Kak Syahirah ada di belakang nun. Kemas pinggan mangkuk. Bagaimana kehidupan Fahmi di Jordan?”, kata Puan Dalila dengan ramah.

“Alhamdulillah. Segala-galanya baik dengan izin Allah. Urusan saya sentiasa dipermudahkan-Nya sepanjang saya di sana, Alhamdulillah. Emm, mak cik.... Saya minta maaf sangat sebab datang secara tiba-tiba. Maafkan saya ya, Sayyidah. Beradanya saya di sini adalah kerana permintaan ibu saya. Ibu saya tidak dapat turut serta dalam perbincangan pada hari ini. Sebenarnya, ada perkara yang sangat penting yang perlu saya bicarakan pada hari ini.” , Fahmi menyambung bicaranya. Jantungnya berdegup kencang.

Puan Dalila memberikan perhatian terhadap apa yang ingin dikatakan oleh Fahmi. Sayyidah hanya tertunduk memandang ke arah lantai. Jantungnya berdegup-degup. Gugup.

“Mak cik dan Sayyidah... Pertama sekali, saya sangat bersyukur kepada Allah kerana memberi kesempatan kepada saya untuk mengenali keluarga yang sungguh baik hati ini. Ayah Sayyidah yang selalu mengambil berat tentang keadaan diri saya. Ibu Sayyidah yang sangat menghargai saya sebagai bakal menantunya. Kakak Sayyidah yang selalu memberi nasihat dan dorongan kepada saya dalam menjaga ikatan pertunangan. Dan... Sayyidah yang setia sebagai tunang saya selama 3 tahun lamanya. Pada hari ini, saya... Saya... Err... Saya...”, Fahmi sukar untuk mengucapkan kata-kata yang seterusnya. Tangannya terketar. Jantungnya berdebar.

“Kenapa dengan kamu, Fahmi...? Kamu kurang sihat ya? ”, tanya Puan Dalila. Cemas dengan perubahan ekspresi yang ditunjukkan oleh Fahmi. Sayyidah masih tertunduk. Syahirah pula sedang mengopeng dari dapur. ‘Semangat’ inkuiri semakin membuak-buak dalam diri mereka. Kedatangan Fahmi yang sangat mengejutkan itu membuat mereka diburu pelbagai tanda tanya.Ibu Fahmi pula tidak ikut serta. Aduh! Mengapa ini? Apa yang sedang terjadi?

“Mak cik... Maafkan saya. Sayyidah, maafkan saya. Tujuan saya datang ke mari pada hari ini adalah untuk ‘memenuhi’ desakan ibu saya. Ibu saya mahu kita putuskan tali pertunangan ini, Sayyidah... Saya tidak sanggup! Sungguh! Saya benar-benar tidak sanggup. Saya tersepit, Sayyidah.”, air jernih mengalir di pipi Fahmi.

Sayyidah terkedu lalu mengangkat mukanya memandang ke arah Fahmi. Pipinya dibasahi air mata. Puan Dalila pula diam membisu. Putus? Ingin sahaja dia menjerit dan marah-marah tatkala mendengar perkataan ‘ibu mahu putuskan tali pertunangan’. Perasaan anak gadisnya telah dimainkan dan maruah anaknya telah dirobek oleh seseorang yang turut bergelar wanita. Sungguh tidak berperikemanusiaan! Puan Dalila bingkas bangun menuju ke dapur dan menyuruh Syahirah menemani adiknya di ruang tamu bersama Fahmi. Puan Dalila benar-benar tidak mampu menahan amarahnya. Fahmi pula diselubungi perasaan serba salah. Fahmi jadi bingung. Kehilangan ibu sendiri atau Sayyidah? Kedua-dunya sangat bermakna dalam hidupnya. Ah! Buntu! Keliru!

“Betulkah apa yang kamu katakan ini, Fahmi?”, bola mata Sayyidah dipenuhi air mata. Air mata yang dicampur dengan kesedihan, kekecewaan dan keterlukaan itu masih dicalit rasa pengharapan.
“Maafkan saya, Sayyidah. Saya benar-benar tersepit. Saya tidak mahu melukai hati ibu saya. Saya juga tidak mahu melukai hatimu. Saya tidak pernah sama sekali menyangka ibu saya hanya berpura-pura menyetujui pertunangan ini. Maafkan saya....” , Fahmi sudah tidak lagi malu membiarkan pipinya dibasahi air mata.

“Tapi, mengapa selepas tiga tahun? Mengapa selepas kamu pulang baru ibumu mahu memutuskan pertunangan ini? Mengapa? Kesilapan apa yang telah saya lakukan?”, Sayyidah bertubi-tubi mengajukan persoalan demi persoalan. Sendu tangis kedengaran.

“Saya juga tidak tahu, Sayyidah.... Ibu saya yang memaksa saya untuk memutuskan pertunangan ini tanpa sebab dan musabab yang berasas. Saya tidak mahu hubungan yang tidak direstui. Saya tidak mahu kamu terseksa sepanjang kamu menjadi isteri saya nanti. Terseksa menghadap ibu saya yang membencimu tanpa sebab. Maafkan saya.... Tolonglah hentikan tangisanmu itu... Tolonglah... Saya terpaksa memilih keputusan yang sungguh menyakitkan ini. Benar-benar terpaksa tanpa rela. Tolonglah berhenti menangis...”, rayuan Fahmi tidak diendahkan oleh Sayyidah. Sendu tangis semakin lama semakin kuat kedengaran.

‘Ya Allah... Kasihan sungguh adikku...’, getus hati Syahirah. Syahirah bertindak mengusap-usap belakang Sayyidah bagi menenangkan diri Sayyidah yang merupakan satu-satunya adik yang dia ada.
“Eloklah kamu pulang dulu. Berikan sedikit masa buat kami sekeluarga terutama Sayyidah.”, Syahirah bersuara.

Fahmi beredar dan mengucapkan salam dengan membawa hati yang penuh rasa bersalah dan bingung.

“Maafkan saya...” bisik Fahmi. Perlahan. Sementelahan, Sayyidah pula ditenangkan oleh Syahirah.

‘Aduhai... Petang yang sungguh memilukan. Kasihan adikku.’, bisik hati Syahirah lagi.


Gusar

Puan Dalila berwara-wiri di hadapan bilik Sayyidah. Gusar sungguh hatinya jika anaknya itu berubah serta merta setelah apa yang terjadi tempoh hari. Dua hari Sayyidah tidak banyak bercakap dan kelihatan murung. Sedikit sekali makanan yang dijamah oleh Sayyidah. Namun, mujurlah Sayyidah mahu juga menjamah makanan walaupun sedikit. Tetapi pada hari ini, Sayyidah tidak pula keluar dari biliknya untuk mengambil sarapan pagi bersama-sama ahli keluarganya yang lain.

Krek!

Pintu bilik Sayyidah terkuak. Senyuman terukir di bibirnya yang mungil itu tatkala dirinya terpacul di hadapan pintu biliknya. Puan Dalila terkesima. Encik Hisham yang sedang sibuk membaca surat khabar menghentikan bacaannya. Keserian terserlah di wajah anak mereka. Sangat mengejutkan.

“Sayyidah... Mari sarapan. Tentu Sayyidah lapar.”, bicara ibu. Lembut.

“Sayyidah puasalah, ibu...”, jawab Sayyidah sambil tersenyum.

“Hari Ahad pun puasa?”, tanya Encik Hisham kehairanan.

“Yalah, ayah. Puasa ganti.” jawab Sayyidah. Sayyidah lantas duduk berlutut di hadapan ayahnya dan meminta ibunya duduk bersebelahan dengan ayahnya. Sayyidah memanggil kakaknya untuk turut serta dalam ‘adegan’ itu.

“Ibu... Ayah... Dan kakak. Maafkan Sayyidah ya sebab agak murung beberapa hari ini. Sayyidah cuma perlukan masa untuk tenangkan diri. Apa yang berlaku pada Sayyidah, tidak pernah Sayyidah sangkakan. Begitu juga dengan ibu, ayah dan kakak, bukan? Sayyidah tidak mahu terus menerus melayan perasaan. Sayyidah tidak mahu membuka ruang bagi syaitan menyesatkan Sayyidah. Sejujurnya, memang Sayyidah patah hati dengan semua ini. Kecewa tidak terkata. Namun, semua ini pasti ada hikmahnya. Ayah jangan marah pada Fahmi ya?” , Sayyidah berkata-kata dengan tenang.

“Ayah tidak marah, anakku sayang... Cuma, ayah agak terkilan dengan semua ini. Ayah amat mengerti perasaan Fahmi. Niatnya baik. Dia tidak mahu kamu terseksa menghadapi kenyataan-kenyataan akan datang. Dia tidak mahu kamu dibenci oleh ibunya sendiri. Dan dalam masa yang sama, dia tidak mahu kehilangan ibunya kerana dirinya yang yatim itu. Ibunya pula, ibu tunggal. Tentulah dia tersepit, Sayyidah. Kasihan sungguh Fahmi. ”, kata Encik Hisham.

“Adik... Mungkin terasa perit semua ini. Tapi, yakinlah bahawa Allah sedang merancang sesuatu yang lebih baik buat adik. Kakak sangat yakin yang adik kuat untuk menghadapi ujian ini. Belajarlah daripada kesilapan. Usah letakkan pengharapan yang tinggi kepada insan. Bersyukurlah kerana sikap sebenar ibu Fahmi sudah kelihatan sebelum kamu bergelar menantunya. Kakak takut kalau apa-apa yang buruk berlaku jika pertunangan ini tetap diteruskan sehingga ke alam perkahwinan.”, Syahirah memberi pendapatnya kepada Sayyidah.

Sayyidah diam dan memandang ke arah lantai dengan mata yang berkaca. Tertunduk. Dirinya cuba untuk sabar walaupun kadangkala sukar. Dirinya benar-benar kecewa kerana hatinya telah dirobek tanpa belas ihsan dan kasihan. Tegarnya manusia melihat orang lain derita. Sungguh tidak pernah disangka olehnya bahawa ibu Fahmi selama ini hanya berpura-pura dan talam dua muka. Tidak hairanlah jika ibunya hanya memberi respon yang ala kadar setiap kali Sayyidah menelefonnya atau menjenguknya di rumah.

‘Hasbiyallah...’ gumam hati Sayyidah.


Khatimah cinta

Sayyidah membelek-belek cincin di jarinya. Hari ini, dia tekad untuk memulangkan semula cincin pertunangan itu kepada Fahmi. Dia perlu ‘memadam’ semua memori ini dengan cepat. Dirinya harus kuat.

“Sayyidah sudah siapkah?”, Syahirah bertanya kepada adiknya.

“Err.. Sudah, kak.”, jawab Sayyidah sambil menanggalkan cincin itu dijarinya lalu memasukkan semula ke dalam kotak cincin yang berbentuk love.

“Mari. Fahmi sudah tunggu di Restoran Al-Haj. Semoga pertemuan terakhir ini membuahkan ketenangan buat kalian. Pasrah dan serahkan segala-galanya kepada Tuhan. Takdir Allah itu masih berjalan. Tidak pernah sekali-kali tersekat di pertengahan jalan. Hakikatnya, pertemuan terakhir ini bukanlah pengakhiran yang abadi. Masih tercalit sebuah pengharapan buat dua hati ini...”, Syahirah berkata-kata sambil menguntumkan sebuah senyuman.

Sayyidah juga tersenyum. Tidak mengiyakan dan tidak pula menyangkal kata-kata kakaknya.

Sebuah bungkusan beserta kad love hasil kreativitinya dibawa bersama. Sayyidah mahu menghadiahkan bungkusan itu buat ibu Fahmi. Semoga usahanya yang kecil itu membuahkan hasil. Hati manusia milik Allah. Begitu juga hati ibu Fahmi. Semoga suatu hari nanti, ibu Fahmi dapat menerima diri Sayyidah dalam hidupnya. Benarlah kata-kata Syahirah bahawa harapan itu masih ada.Baik lambat mahupun cepat, pasti akan ada hikmah yang bakal menyusul di kemudian hari.


Sebentar lagi, khatimah cinta akan terjadi antara dua hati. Namun, Syahirah sangat yakin bahawa itu bukanlah khatimah cinta yang abadi. Itu bukanlah pengakhiran yang abadi. Masih ada peluang buat adiknya dan Fahmi. Jika tidak di dunia, di akhirat masih ada!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...