Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Showing posts with label Untuk Aku dan Kamu. Show all posts
Showing posts with label Untuk Aku dan Kamu. Show all posts

Sunday, November 23, 2014

Kisah Aku, Lesen & Motosikal :)


Assalamua'laikum. Rasa macam nak share something secara informal hari ni. :)

Mungkin sebab excited kot. Masih tak hilang lagi. Hihi.


Alhamdulillah... Jumaat hari tu, aku berjaya pergi ke Putrajaya naik motor ! Alhamdulillah... Yeayy ! Haha. Pergi pun bukannya sebab suka-suka. Just nak tolong kakak aku hantar Borang BMD (Borang Pegawai Perubatan Tetap) kat Kompleks Kerajaan, Putrajaya. 

Rasa.... tak sangka boleh pergi sejauh tu naik motor. Err. Aku tahu, mesti ada orang yang akan kata,

"Ek eleh. Pergi Putrajaya je pun. Bukannya jauh sangattt. Kalau kau pergi Sarawak naik motor tu, aku kagumlah jugak sebab tak pernah orang buat."

Ahh. Ada aku kisah? Hihi. Yang penting, aku memang rasa happy sebab aku berjaya improve something dalam diri aku. Yep, keberanian. Alhamdulillah, aku dapat tingkatkan rasa berani dalam diri aku. 

Aku ingat lagi. Dulu, abang aku yang ajar aku naik motor. Dua kali je dia ajar. Lepas tu, aku dah boleh bawak, Alhamdulillah. Bi iznillah. Time tu darjah 5. Lepas dah pandai tu, siap boleh buat wili lagi. Haha. Nakal sikit dulu. Tapi, banyak kali jugaklah aku merosakkan motor Honda Ex-5 tu. Huhu. Banyak kali accident sebab suka berangan atas motor. Kihkihkih.

Then, lepas dari tu, lama jugak aku tak bawak motor. Tak ingatlah berapa lama. Tapi, time aku Form 5, aku start bawak motor ke sekolah walaupun tak ada lesen. Hihi. Nasib baik tak pernah kena tahan. Alhamdulillah.... Berkat doa mak agaknya. Aku minta izin mak dulu untuk bawak motor ke sekolah. Puas jugalah nak yakinkan mak yang aku boleh bawak motor sampai ke TTDI sana tu. Kalau tak, selama ni aku bawak motor kat area Sungai Penchala ni je. Huhu. Selama aku bawak motor ke kawasan TTDI tu sebenarnya, aku cuba latih keyakinan aku kat atas jalan raya. Bila dah lama-lama tu, aku rasa keyakinan aku bertambah. Alhamdulillah. Kalau mula-mula tu, aku bawak diri aku sendiri je, tapi lepas tu, dah boleh ada pembonceng kat belakang. ;)


Pada penghujung umur 18 tahun tu, aku baru start ambik lesen L untuk motor je. Yelah, tu je yang mampu time tu. Nak ambik terus sekali dengan lesen kereta, aku tak cukup bajet. Huhu. Aku tahu time tu, ramai dah kawan-kawan aku yang tengah ambik lesen kereta. Lesen motor pun dah ramai yang lepas. Walaupun aku macam agak ketinggalan, aku tetap takkan luputkan keberanian yang aku cuba tanamkan dalam diri aku. Rezeki orang kan lain-lain. Dah rezeki aku dapat lesen L motor time umur 18 tahun. Bersyukurlah, kan.... :)

Disebabkan aku agak busy dan tak ada masa nak ambik lesen P motor untuk masa terdekat tu, aku baru settlekan lesen P time bulan August 2014 hari tu. Lesen L kan bertahan sampai 2 tahun. So, sempatlah. Walaupun macam nyawa-nyawa ikan je aku punya masa untuk settlekan lesen P tu. Haha. Mana taknya, tarikh luput lesen L bulan September. Memang kelam kelibut jugaklah nak settlekan. Takdelah kelam kelibut sangat.... Sempat jer untuk last minute punya orang macam aku ni. Kihkihkih. Disebabkan pak cik si ejen lesen tu agak susah nak ulang alik ambik aku, aku pun hafal jalan nak ke litar tu. Esoknya nak pergi sendiri tu, malam tu aku pergi rumah pak cik tu dulu untuk ulangkaji jalan yang aku dah hafal time aku pernah pergi dengan pak cik tu. Alhamdulillah, semakin bertambah 'List Jalan Raya' yang aku pernah lalu. Hihi.


So, sekarang ni, 'List Jalan Raya' yang aku pernah lalu :-
1. Sg. Penchala. Of course lah. Ni tempat aku tinggal. Hehe.
2. TTDI.
3. Stesen LRT Kelana Jaya. 
4. TESCO & kawasan sekitarnya kat Mutiara Damansara. Ni tempat favourite mak aku. So kenalah hafal. Senang nak bawak mak nanti. :D
5. Masjid Jamek. Time ni, aku pernah kerja sebulan kat OCBC Al-Amin, aku hafal jalan nak ke sini. :)
6. Jalan Tunku Abdul Rahman a.k.a Jalan TAR. Ni tempat shopping terbaik. Kenalah hafal. Haha.
7. KL Sentral. Ni tempat nak pick up orang yg baru balik dari mana-mana. Dan tempat aku nak beli tiket ETS. Maksud aku, tiket KTM Intercity. :)
8. Safety Driving Centre yang dekat dengan Hospital Mata Tun Hussien Onn tu. :D
9. Kebanyakan Jalan raya kat KL. Sebabnya, aku dah banyak kali pusing-pusing kat KL. Bukan sebab sengaja nak pusing-pusing, tapi sebab aku sesat! Tak tahu jalan nak balik ke TTDI. Kahkahkah. :D
10. Plaza Kelana Jaya & kawasan sekitarnya. Aku praktikal kat tempat ni. So, kenalah tahu kan.

and....

11. PUTRAJAYA ! Inilah yang paling jauh yang pernah aku pergi (dengan menaiki motor). Tu yang macam terover excited. Hahaha.  



Ni gambar aku & Kak Ya kat Kenny Rogers, Alamanda Putrajaya. Jalan-jalanlah kejap before meneruskan perjalanan yang panjang. Bukannya selalu pergi pun kan. Hikhikhik. :D


Okay. List kat atas ni saje je aku buat. Untuk tatapan aku nanti. Korang kalau tak nak baca pun takde masalah. Sebab aku tahu, pencapaian aku takdelah bagus mana pun kalau nak dibandingkan dengan kawan-kawan aku yang lain yang dah pandai bawak kereta tu. Tapi takpe.... Ni bukan masanya untuk aku bandingkan diri aku dengan diorang. Ini aku. Dan ini pencapaian aku. Kalau kita asyik bandingkan diri kita dengan orang lain sampai rasa down, kita takkan maju sampai bila-bila. Kan? :)

Time aku praktikal dulu, ada staff tu kata kat aku,
"Beraninya Husna bawak motor. Jauh jugak Plaza Kelana Jaya ni dari rumah Husna. Jammed pulak tu setiap hari."

Sebenarnya, bagi aku, keberanian ni perlu dipupuk. Kita kena sentiasa cuba dan berusaha untuk hilangkan rasa takut dalam diri. Takut accident? Sampai bila? Aku pun pernah accident. Time mula-mula nak latih diri bawak motor ke Pusat Bandaraya KL tu, aku jatuh motor sebab nak elak daripada melanggar kereta yang tiba-tiba tukar lane. Nasib baik luka tak berapa teruk. Dan nasib baik uncle tu bertanggungjawab. Dan nasib baik ada sorang laki ni, dengan baik hatinya tolong aku. Gentleman gitu. Nasib baik jugak aku tak buat muka touching depan mamat tu. Haha. Lain pulak jadinya nanti. Kihkihkih, gurau je. Tapi, Alhamdulillah la, Allah kuatkan semangat aku. Lepas dari accident, ada la truma sikit. Tapi, jangan layan sangat. Kalau teringat-ingat, cepat-cepat istighfar dan selawat. Insya-Allah nanti hilanglah perasaan trauma tu.

Pernah suatu masa, time aku nak balik dari Plaza Kelana Jaya, minyak motor boleh pulak kering di tengah-tengah lebuh raya LDP tu. Dengan banyak keretanya.... Masya-Allah. Serem jugaklah aku dibuatnya. Aku tolak motor ke sisi kiri jalan raya. Motor tu, bapak aku punya. Meter minyaknya dah rosak. Aku ada check tangki minyak tu sebelum naik. Aku ingatkan cukup. Ghupenyer, idak. Huhu. Nasib badannnn. Aku call ayah aku untuk datang kat tempat kejadian untu 'selamatkan' aku. Lama jugaklah aku tunggu. Huhu. Yelah, jammed. Ayah aku naik kereta pulak tu. Dah motornya aku cilok. Mana ada motor lagi dah untuk bapak aku bawak. Hehe. Dipendekkan cerita, ada pulak dua orang jejaka yang stop untuk 'selamatkan' aku. Alhamdulillah, nampak okay. Tak ada yang mencurigakan. Yang paling gentleman nya, sorang temankan aku kat tempat kejadian. Sorang lagi pergi cari stesen minyak. Dahlah dah tolong aku, minyak tu pun diorang sedekahkan aje kat aku. Baik sungguh la. Semoga Allah merahmati kalian dan beri balasan setimpal yaaa. Insya-Allah. Aamiin. :) 

Itulah dua kejadian yang agak cemas bagi aku setakat ni. Taklah cemas mana pun, tapi cemas la jugak. Haha. Sekarang ni kan macam-macam benda boleh berlaku. Nasib baiklah tak ada yang ambik kesempatan time aku dalam kesusahan tu. Alhamdulillah, berkat tawakal kepada Allah, mungkin. :)

Ni kisah aku. Aku cuma nak pesan, untuk orang yang masih rasa tak yakin dan masih takut-takut tu, berusahalah untuk pupuk keberanian. Jangan takut untuk mencuba. Setkan minda yang positif. Barulah kita boleh maju. Kalau berterus-terusan dengan negative thinking, memang selamanya kita akan berada di takuk yang lama. Bangkit dan majulah! Kembangkan potensi yang kita ada. Bak kata kakak saya, "perlahan-perlahan kayuh..."
Maksudnya, berusaha untuk ubah sedikit demi sedikit. Kalau kurang berani, cuba sikit-sikit untuk jadi lebih berani. Dan jangan fikirkan dengan mendalam apa yang orang cakap pada kita.

"Kau ni apa pun tak boleh buat! Dahlah tak reti bawak kereta. Bawak motor pun tak pandai. Asyik nak harapkan aku hantar kau je!"

Mungkin, ada orang yang menghadapi keadaan sebegini. Jangan putus asa. Jadikan tohmahan tu sebagai 'alat' untuk terus maju dan bangkit. Setiap manusia tu, punyai potensi masing-masing. Cuma, bergantung pada kita nak kembangkan macam mana. Dalam hidup ni, kita punyai kuasa untuk memilih. Segala pilihan adalah di tangan kita. Pilihan yang baik, pasti akan membawa kebaikan. Pilihan yang buruk, akan membawa keburukan. Jadi, pilihlah nak yang mana. Baik atau buruk? Tepuk dada, tanya iman. :)

Ingat. Jangan putus asa, Setiap kali dah cuba dan berusaha untuk perbaiki diri tu, banyakkan doa kepada Allah. Minta Allah bantu kita dalam setiap perkara yang kita lakukan hatta perkara kecil sekalipun. Minta Allah permudahkan segala niat kita yang baik. Banyakkan pergantungan pada Allah, bukan pada manusia. Manusia takkan dapat beri kita apa-apa kebaikan atau keburukan, melainkan dengan izin Allah. Segala-galanya daripada Allah. Jadi, segala pergantungan dan pengharapan selayaknya perlu diberi kepada Allah. Okay? :)


Akhir kalam, doakan saya berjaya habiskan lesen kereta pulak, okay. Saya memang tak pernah dan tak reti bawak kereta buat masa ni. Takpe, benda boleh settle. Kalau tak reti, belajar sungguh-sungguh. Insya-Allah pandailah nanti tu. Ye tak? Hehe. Ingat DUIT. Doa, Usaha, Istiqamah, Tawakal. :)


Okay... All the best untuk semua. Ingat. JANGAN PUTUS ASA! Cayok cayok! :)







Sunday, September 21, 2014

Berikan Aku Ikhlas ...



‘Along. Cepatlah check result.’ , mesej daripada sahabat sekelas saya, Ain, menghiasi ruang inbox telefon bimbit saya. Saya yang sedang leka membuat kerja cepat-cepat membuka komputer. Ada debaran terasa.

21 November 2013. Tarikh keramat bagi para pelajar politeknik mengetahui keputusan peperiksaan masing-masing. Saya yang baru sahaja tamat semester dua pada ketika itu tidak terkecuali.

‘Klik!’ , punat “Keputusan Peperiksaan” ditekan di laman sesawang “iPUO”. Kemudian... Alangkah terkejutnya saya melihat keputusan peperiksaan saya yang naik mendadak berbanding semester lepas.

“Eh? Ini result aku ke? Alhamdulillah....!”, terpacul kata-kata itu dari mulut saya secara spontan. Terasa ingin menangis. Bukan tangisan kerana kesedihan, tetapi tangisan kegembiraan dan keterharuan. Terharu dengan Allah yang bersifat Ar-Rahman. Hati tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran.



Bi iznillah

Setiap perkara yang berlaku adalah kerana adanya izin daripada ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala. Tanpa ada izin daripada-Nya, sesuatu perkara tidak mungkin berlaku. Mengapa begitu? Kerana ALLAH ialah Tuhan yang Maha Esa. ALLAH yang Maha Berkuasa ke atas segala-galanya. DIA yang mentadbir dan mengurus alam ini sesuai dengan kehendak-Nya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala :-

“Sesungguhnya, urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah!”. Maka jadilah sesuatu itu.”
(Surah Yaasiin : Ayat 82)

Jadi, usahlah kita berbangga diri dan sombong tatkala mendapat keputusan yang cemerlang. Kita seharusnya sedar bahawa kita ini zero. Kosong. Ya, kosong. Tidak punya apa-apa melainkan jika adanya izin daripada Allah. Kelebihan, kepandaian dan kebijakan yang kita miliki adalah atas kehendak-Nya. Adanya izin daripada-Nya. Mana mungkin sesuatu perkara berlaku tanpa adanya izin daripada Allah? Mustahil sekali! Setiap perkara hatta perkara yang negatif seperti musibah, turut berlaku kerana adanya izin daripada Allah. Bi iznillah!

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala :-

“Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput daripada kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri.”
(Surah Al-Hadid : Ayat 22-23)

Sewaktu mengetahui keputusan peperiksaan saya yang naik begitu mendadak, hati saya berbisik sesuatu.
‘Semoga Allah memberkati result exam aku ini... Amin....’

Saat itu, saya juga terfikir tentang sesuatu. Bagi saya, pelajar yang BENAR-BENAR cemerlang di dunia dan di akhirat ialah pelajar yang belajar kerana mahukan keredhaan dan keberkatan daripada Allah. Bukan belajar kerana mahukan keputusan peperiksaan yang gempak semata-mata dek kerana terpaksa menduduki peperiksaan pada akhir semester atau seumpamanya.

Saat ini juga, hati saya mula berbisik, ‘Benar-benar cemerlangkah aku?’

Buat sahabat-sahabat yang membaca coretan saya ini, muhasabahlah semula tentang diri kita. Adakah segala perkara yang kita dapat atau buat mendapat barakah? Adakah diberkati Allah? Apakah Allah redha?

Bagaimana mahu menilai tentang perkara ‘sekecil’ ini? Tidak. Ia mungkin nampak kecil. Tetapi memainkan peranan yang sangat besar dalam kehidupan kita. Keberkatan itu sangat penting, sahabat. Apalah guna keputusan yang cemerlang tetapi keberkatan terbang melayang? Nilailah semua segala usaha yang kita lakukan sebelum mendapat keputusan cemerlang, apakah ianya BENAR-BENAR diberkati oleh Allah ataupun tidak? 

Ayuhlah kita memuhasabah kembali.
  1. Adakah kita benar-benar ikhlas belajar kerana Allah atau kerana mahukan keputusan yang cemerlang semata-mata?
  2. Adakah kita benar-benar jujur dalam quiz ataupun test tempoh hari? Meniru ataupun tidak?
  3. Adakah segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah disiapkan dengan penuh rasa tanggungjawab dan ikhlas atau sekadar terpaksa?
Sahabat... Jika benar kita lakukan sesuatu kerana Allah, diri kita pasti sentiasa bersemangat dan tidak akan pernah jemu dalam menuntut ilmu. Jika kita benar-benar ikhlas dalam menuntut ilmu, sudah tentu kita tidak akan meniru. Andai ada antara sahabat saya yang pernah melakukan hal itu, ingatlah bahawa Allah itu Maha Melihat. Tiada suatupun yang terhalang daripada pandangan dan penglihatan Allah. Andai ketika kamu meniru, pensyarah tidak nampak akan hal itu, ingatlah bahawa, ‘Allah is watching you!’. Jika kamu meniru kerana mahu tinggikan markah, muhasabahlah bahawa, apalah guna tinggi markah tetapi hilang barakah?



Ilmu Itu Mulia

Untuk mendapatkan sesuatu yang mulia, tentulah dengan cara yang mulia juga, bukan? Ilmu itu mulia. Maka, dapatkanlah ia dengan cara yang mulia dan terhormat. Bagaimana ilmu boleh dikategorikan sebagai mulia? Masakan tidak? Ilmu merupakan jalan menuju ke Syurga-Nya yang abadi. Oleh sebab itu, ilmu mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam.

Sabda Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam :-

“Barangsiapa yang meniti suatu jalan untuk memperoleh ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan baginya menuju ke Syurga.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam kitab ‘Hadis 40 oleh Imam Al-Nawawi’, Imam Al-Nawawi ada menyatakan, untuk menguatkan bahawa ilmu ialah jalan paling pendek yang dapat membawa seseorang kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, kita boleh melihat kepada wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam, iaitu dengan menitikberatkan masalah ilmu dan cara untuk mendapatkannya, juga mengingatkan betapa penting dan mulianya kedudukan ilmu. Wahyu tersebut ialah :

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Surah Al-‘Alaq : Ayat 1-5)

Oleh itu, dapatkanlah sesuatu ilmu itu dengan cara yang mulia kerana ilmu itu mulia! Mana mungkin sesuatu perkara yang keji dapat menginap di Syurga yang abadi?



‘Berikan’ Aku Ikhlas

Orang yang menuntut ilmu bukan kerana Ilahi tetapi kerana kepentingan duniawi, sebenarnya hanya mensia-siakan dirinya sendiri. Jika seseorang menuntut ilmu kerana kedudukan atau populariti misalnya, kerana mahu dikenali oleh setiap orang bahawa dirinya insan yang hebat dan bijak, ilmu itu akan menjadi sia-sia belaka. Tiada nilainya di sisi Allah. Bahkan, mendapat kemurkaan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Nau’zubillahi min zalik.

Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda :

“Barangsiapa yang mempelajari ilmu yang harus dituntutnya kerana Allah, namun dia mencarinya hanya kerana menginginkan kepentingan duniawi, maka dia tidak akan mendapatkan bau syurga pada hari kiamat.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Sedangkan bau Syurga tidak dapat dihidu, apatah lagi masuk ke dalamnya? Masya-Allah... Hadis ini benar-benar memberikan kesedaran kepada kita agar benar-benar ikhlas dalam menuntut ilmu. Jadi, ayuhlah betulkan niat kita sebelum belajar atau mengulangkaji pelajaran bahawa,

"Sahaja aku belajar kerana Allah Ta’ala."

Insya-Allah, ikhlas itu akan dapat dipupuk dan terus dipupuk. Jangan biarkan syaitan merasuk ikhlas yang sedang dipupuk. Jangan pernah sekali-kali mengaku diri kita ikhlas kerana tahap keikhlasan seseorang manusia hanya dapat dinilai oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala semata-mata. Bahkan, malaikat turut tidak dapat mengetahui sama ada seseorang itu ikhlas ataupun tidak. Hanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala sahaja yang Maha Mengetahui. Ya, hanya Allah.

Bukan itu sahaja, titipkanlah juga doa buat dirimu, wahai sahabat. Misalnya, berdoalah seperti di bawah ini :-

‘Ya Allah... Berikanlah aku ikhlas dalam setiap perkara yang aku lakukan. Semoga benar-benar kerana-Mu. Lantas dapatlah aku meraih keredhaan dan keberkatan daripada-Mu. Amin...’


~ Coretan The Servant of Allah
~ 29.11.2013
~ KAMSIS, PUO

Monday, March 17, 2014

Taubat Si Pendosa


“Tut tut! Tut tut!”, telefon bimbit saya berbunyi menandakan mesej baru masuk.

Tertera nama seseorang. Sahabat yang saya kenali sewaktu kami sama-sama mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Sarawak dahulu.

Mesej tersebut berbentuk luahan tentang dirinya yang ingin berubah, namun bimbang taubatnya tidak diterima oleh Allah.

Duhai teman, Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Mana mungkin Allah sanggup membiarkan hamba-Nya yang sedang merintih dengan penuh pengharapan di hadapan-Nya? Tidak mungkin! Bukankah Allah telah berfirman di dalam Surah An-Nisa’ ayat 106,
“Dan mohonkanlah keampunan kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”

Benar, saya akui, kadangkala kita berasa taubat kita tidak diterima oleh Allah bukan kerana kita ragu-ragu dengan sifat Ar-Rahman dan Al-Ghafur-Nya. Tetapi kerana memikirkan dosa-dosa yang telah kita lakukan yang tidak terkira banyaknya. Terlalu banyak. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui dosa-dosa yang dilakukan sudah berada di ‘tahap’ mana. Oleh sebab itu, perasaan bimbang, risau, dan takut mulai timbul dalam diri namun bukan kerana sangsi terhadap sifat Ilahi tetapi kerana dosa-dosa yang membelenggu diri.

Biarpun begitu, yakinlah duhai sahabat. Andai kita benar-benar ikhlas mengharap keampunan daripada Allah, pasti Allah tidak akan mensia-siakan pengharapan kita. Allah itu Maha segala-galanya. Maha Lembut, Maha Penerima Taubat, Maha Pengampun, Maha Penyanyang dan banyak lagi sifat-sifat Allah, Tuhan yang Maha Esa, Maha Sempurna.

Setiap manusia tidak akan terlepas daripada melakukan dosa kerana kita memang dilahirkan dengan bermacam-macam kekurangan dan bermacam-macam kelebihan. Kekurangan boleh diperbaiki dengan kelebihan yang dimiliki. Bukan terus-terusan membiarkan kekurangan bersarang dalam diri. Walaupun kita memang tidak mampu untuk menjadi manusia yang benar-benar sempurna, namun segala usaha untuk memperbaiki kekurangan pasti akan dinilai oleh-Nya. Tiada satu pun yang terlepas daripada nilaian Allah. Indah bukan ciptaan dan aturan Allah ini? Subhanallah.

Manusia memang tidak sempurna. Kita bukanlah rasul dan nabi yang maksum abadi. Kita cuma manusia biasa yang pasti ada silapnya. Kita juga bukanlah malaikat, cuma mampu sentiasa beringat. Semua insan pernah melakukan dosa termasuk saya. Saya juga pernah lalai. Saya juga pernah berada di zaman kegelapan yang mustahil sungguh bagi saya untuk kembali pada ‘Zaman Gelap’ itu. Mustahil sekali. Nau’zubillah.

Zaman remaja benar-benar mencabar. Hakikatnya, setiap zaman yang kita telah, sedang, dan akan lalui memang akan ada cabaran-cabarannya yang tersendiri. Zaman kanak-kanak ada cabarannya. Namun, apabila sudah meningkat usia, kita pula yang tersenyum atau mungkin juga kesal mengenangkan tingkah laku dan kenakalan kita sewaktu kecil-kecil dulu. Begitu juga dengan zaman remaja. Pasti akan ada cabarannya. Pelbagai perkara ingin kita cuba. Ditambah-tambah pula dengan dunia sekarang yang terdedah kepada bermacam-macam pengaruh yang tidak baik, adakalanya, perkara yang Allah murka pun mahu kita cuba! Nastaghfirullah.

Duhai teman,
Saya juga remaja, dan masih lagi berada di alam remaja. Walaupun kita masih muda, tidak semestinya kematian itu tidak ‘mengejar’ kita. Adakah mana-mana dalil yang mengatakan sebegini,

“Yang tua mati dulu, yang muda tunggu dulu...!”

Tidak, tidak, tidak. Yang namanya ‘kematian’ itu, tidak akan pernah mengenal usia. Sesiapa sahaja pasti akan menemui ajal walau berapapun usianya pada ketika itu sesuai dengan kehendak-Nya.

Allah Subhanahu wa ta’ala telah berfirman dalam Surah Al-Munafiqun ayat 11,
“Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang apabila tiba waktu kematiannya telah datang. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”

Oleh sebab itu, saya memilih untuk berubah. Dan cuba untuk istiqamah agar terus berada di jalan-Nya. Saya memilih untuk bertaubat meskipun sangat kesal memikirkan dosa-dosa yang telah dilakukan yang tidak terkira banyaknya, kerana saya yakin, Allah pasti tidak akan mensiakan-siakan taubat yang kita lakukan jika taubat yang dilakukan benar-benar hanya kerana-Nya. Niat yang benar-benar lurus; hanya KERANA ALLAH.

Pada suatu masa, saat saya sedang diburu rasa gelisah dan resah kerana keterlanjuran perbuatan dan percakapan yang boleh mendatangkan dosa, saya membuka Al-Quran lantas membaca bait-bait cinta-Nya yang luar biasa. Mengharap kata-kata cinta-Nya dapat mengubati keresahan di jiwa. Ternyata Allah benar-benar ‘mengirimkan’ ayat-ayat cinta-Nya yang sungguh menenangkan jiwa saya saat itu.

“Dan barangsiapa berbuat kejahatan dan menganiaya dirinya sendiri, kemudian dia memohon ampunan kepada Allah, nescaya dia akan mendapatkan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
(Surah An-Nisa’, ayat 110)

Tidak semena-mena, suatu titisan air mengalir di pipi. Rasa terharu menyelubungi diri. Terharu dengan Allah. Benar-benar terharu. Bagaikan terasa seperti Allah benar-benar berada dekat dengan saya di saat itu. Subhanallah. Suatu perasaan yang sungguh sukar untuk diungkapkan melalui lisan mahupun penulisan. Subhanallah ya Rahman.


Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman lagi dalam surah Ali-‘Imran, ayat 135 dan ayat 136,
“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.”


 Dalam Surah Al-Furqan, ayat 70, Allah juga ada berfirman,
"Orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan kebajikan, maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Subhanallah, subhanallah, subhanallah. Maha Pengampun sungguh Tuhan kita. Jadi, usahlah ragu. Insya-Allah, Dia tidak akan sekali-kali mensia-siakan taubatmu jua taubatku. Jangan biarkan syaitan menghasut kita dengan rasa ragu-ragu seperti itu. Yakinlah dengan janji Allah. Sesungguhnya, Allah tidak memungkiri janji.

Sahabat, hayatilah kata-kata ini,
"Don't let shaytan beat you twice. First, by making you sin. Then, by stealing hope on Allah's forgiveness."



Saturday, March 15, 2014

Rinduku Palsu


Kamar asrama yang sungguh redup membuatkan mata seakan-akan ‘memanggil’ minta ditutup. Saya mengerling ke arah jam. Pukul 2.15 petang. Kelas Bahasa Arab akan bermula pada pukul 4.00 petang. Saya berkira-kira, masih bersisa kurang dari dua jam.

‘Jangan tidur. Buat perkara lain yang lebih berfaedah.’, iman bersuara. Membisikkan peringatan buat diri.

Sedang saya sibuk menelaah ayat-ayat cinta-Nya, sahabat saya, Hidayah Hanisah tiba-tiba berkata yang memecah kesunyian kantung jiwa yang sedang diisi, “Along, bacalah kuat sikit. Nak dengar...”

Saya tersenyum melihat keletahnya. Saya lantas membacakan ayat 129 daripada Surah An-Nisa’.

“Uda, cuba dengar ayat ini ya – ‘Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil  antara isteri-isterimu walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai) sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (daripada kecurangan), maka sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.’ ”

“Apa maksudnya, Along?”, tanya Hidayah Hanisah yang digelar sebagai Uda dalam kalangan ahli usrah yang kami sertai.

“Maksudnya, memang sangat susah nak betul-betul adil dalam poligami. Yalah, manusiakan. Pasti akan cenderung kepada salah seorang antara semua isteri yang ada.”

Saya lantas menceritakan mengenai asbabun nuzul (sebab-sebab ayat tersebut diturunkan) kepadanya. Menceritakan mengenai Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang sangat mencintai ‘Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq melebihi kecintaan baginda terhadap para isteri yang lain. Sehinggalah sampai suatu masa, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berasa tidak dapat berlaku adil sebagaimana perintah Allah Subhanahu wa ta’ala. Rasullullah lantas merintih dalam doa baginda, “Ya Allah, inilah giliranku sesuai dengan kemampuan yang ada pada diriku. Janganlah Kau memaksakan sesuatu yang menjadi perintah-Mu di atas kemampuan yang ada pada diriku.” (HR. Ibnu Abi Hatim)

Hidayah Hanisah mendengar dengan khusyuk setiap bait kata yang saya tuturkan. Ekspresinya menggambarkan bahawa dia sedang memproses sesuatu dalam mindanya.

“Seronoknya kalau dapat mimpi Nabi....”, Hidayah Hanisah tiba-tiba bersuara perlahan.

Saya jadi kelu. Akal sedang giat memikirkan sesuatu setelah mendengar pernyataannya yang sebegitu. Ya Rasulullah, kami merindui dirimu!



Benarkah Rindu?

“Kalau kita nak mimpi Nabi, akhlak kita kena perbaiki dulu. Kalau dengan diri yang masih sebegini, macam mana nak mimpi Nabi...”, saya bersuara perlahan. Menzahirkan rasa terkilan terhadap diri sendiri. Mengenangkan dosa-dosa dan maksiat-maksiat yang pernah atau masih dilakukan. Allahu Rabbi...
Hidayah Hanisah mengangguk. Dia masih giat memikirkan tentang sesuatu. Memuhasabah dirinya juga, mungkin.

“Cuba kamu fikir. Kalau kita rindukan seseorang manusia, dia mesti ‘masuk’ dalam mimpi kita, kan? Mudah saja kita nak mimpi tentang dia. Sebab apa? Sebab perasaan rindu kita terhadapnya sangat tinggi. Sampailah termimpi-mimpi.”, saya melontarkan buah fikiran saya.

“Tapi kenapa kalau Nabi, kita susah nak mimpi sedangkan kita selalu cakap yang kita rindu Nabi?”, saya menyambung.

Hidayah Hanisah terdiam. Sedang merenung kata-kata yang saya lontarkan.

“Itu tandanya, rindu kita kepada Nabi masih belum sepenuhnya lagi. Sekadar meluah kata ‘rindu’, tapi hakikatnya, masih belum sampai tahap rindu yang sedalam-dalam kalbu. Kalau benar rindu, kenapa kita masih tak dapat nak mimpi bertemu dengan Nabi? Tapi, lebih banyak mimpi tentang orang lain. Itu tandanya, kita merindui orang lain lebih daripada Nabi. Sebab itulah, asyik mimpi orang lain, bukan mimpi Nabi. Tahap rindu kita terhadap Nabi masih belum di tahap yang tertinggi...”, saya menyambung lagi. Rasa kesal menyelubungi diri. Kecewa dengan diri sendiri kerana rindu yang dituturkan masih ‘palsu’!
Hidayah Hanisah terangguk-angguk.

“Betullah... Betul sangat apa yang Along cakap. Tak terfikir pula.”, katanya sambil merenung ke arah dinding. Kami sama-sama berfikir dan merenung. Memuhasabah diri di petang hari. Kisah Ustaz Harun Din yang pernah mimpi bertemu dengan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam tiba-tiba menjengah di fikiran. Begitu juga mengenai kisah pelajar UIA (perempuan), yang juga pernah bermimpi bertemu dengan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Subhanallah, beruntungnya mereka! Tentu sangat bahagia tatkala dipilih oleh Allah untuk bertemu dengan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam.


‘Indahnya andai Rasulullah tahu namaku dan menyebut namaku walaupun cuma dalam mimpi... Tentu hari-hari yang aku lalui menjadi semakin ceria, kerana hati bahagia bertemu dengan Baginda!’, hati berbisik sendirian. Berangan-angan. Namun, sedang berusaha menjadikan ia kenyataan! Insya-Allah, Amin!




Kalamullah di atas adalah Firman Allah yang menenangkan Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam yang menangis teresak-esak dek kerana begitu risaukan umat-umat Baginda. Baginda sangat risau akan nasib umat-umatnya setelah membaca keluhan demi keluhan daripada para Nabi terdahulu mengenai kaum mereka yang ingkar dan enggan menyembah Allah. Subhanallah... Dalamnya cinta Baginda buat kita. Bagaimana pula dengan kita...? 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...