Saat ini, betapa Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang aku rasai.
Hanya satu yang dapat aku simpulkan setelah segala yang aku lalui iaitu;
Nikmatnya hidup ber-Tuhan.
Sangat nikmat.
Kerana, setelah segala keperitan hati dan keterujian iman yang aku lalui akan terasa lebih ringan, setelah aku mengingati Tuhanku.
ALLAH. Dialah Tuhanku. Satu-satunya Tuhanku. Tiada yang lain melainkan Dia.
Dalam hidup ini...
Banyak perkara yang telah memberi ibrah yang begitu berharga buat diriku ini.
Antaranya yang terpenting adalah tentang kebergantungan aku pada sesuatu.
Seharusnya, kebergantungan itu sepatutnya aku letakkan pada Allah semata-mata. Aku sedar akan itu. Namun, terkadang aku lupa. Terkadang, aku tetap meletakkan kebergantungan pada manusia. Terutama dalam meluahkan rasa keserabutan di hati. Sering saja mencari manusia sebelum mencari Sang Pencipta.
Natijahnya, aku kecewa dan sedih sendiri. Kerana, apa yang aku kongsi tidaklah begitu dipeduli oleh orang yang telah aku pinjam telinganya untuk mendengar cerita dan luahanku.
Aku semakin sedar. Kebergantunganku masih lagi tak sepenuhnya aku serahkan kepada yang Maha Esa. Sebab itu, aku terlalu mudah meluahkan kepada manusia. Memang aku tidak meletakkan pengharapan yang tinggi kepada semua manusia di sekeliling, namun ada satu hal yang aku sedar;
Aku meletakkan pengharapan yang agak tinggi terhadap ****** sendiri.
Mungkin kerana sayangnya aku kepadanya begitu tinggi. Sebab itu, aku selalu mengharap dia juga akan menyayangi aku sepertimana aku menyayanginya tanpa ada elemen pilih kasih dalam curahan kasih sayangnya. Tapi, ternyata aku takkan pernah mampu memaksa hati orang lain walaupun ****** sendiri. Memang hatinya sudah begitu, aku takkan pernah mampu untuk memaksa.
Tapi, aku redha. Sekiranya memang ini takdir-Nya untukku, aku redha.
Biarpun kasih seorang **** juga tak dapat aku rasakan dengan sebaiknya, cuma secebis dan sipi-sipi sahaja pun, aku redha.
Andai ini takdir-Nya untukku, aku redha.
Andai suatu hari nanti Allah mengizinkan aku untuk memiliki suami, aku cuma mampu berdoa supaya Allah mengurniakan aku seorang suami yang soleh dan dapat menyayangi aku sepenuh hatinya hanya kerana Allah semata-mata.
Apapun yang Allah ingin berikan kepadaku, aku redha. Aku cuma mampu berdoa dan berusaha yang baik-baik sahaja supaya aku boleh memliki keadaan yang baik, di dunia dan di akhirat.
Natijahnya, aku redha. Yang penting, aku berusaha sebaiknya supaya aku boleh menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik.
No comments:
Post a Comment