Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Saturday, January 31, 2015

Gred Bukan Segala-galanya

Orang selalu fikir yang bergelar “pandai” ialah orang yang dapat gred yang tinggi dalam exam. Bagi mereka, yang “pandai” itu ialah budak-budak yang dapat result SPM yang kebabom. Yang selalu dapat 4 flat. Yang selalu score setiap test yang lecturer buat. Pokoknya, yang dapat gred yang tinggi-tinggilah.
Tapi.... tidak bagi saya. For me, soal “kepandaian” bukan bergantung pada gred semata-mata. Ia lebih daripada itu.
Ramai juga yang tanya saya, “Husna dulu SPM dapat berapa?”
Saya suruh mereka teka. Ada yang teka, saya dapat result yang rendah. Ada yang teka, saya dapat 5A. Ada yang teka, lebih dari apa yang saya dapat.
Apabila saya jawab, “Saya dapat 8A time SPM dulu...”
Mereka yang bertanya terus respon, “Wahhhh. Pandainya Husna...... Pandainya......”
Saya senyum je. smile emoticon
Sebab, gelaran “pandai” itu masih belum layak untuk saya. Masih dalam proses. Mereka kata saya “pandai”, hanya kerana gred yang saya dapat. Bukan kerana faktor-faktor lain yang lebih luas.
Saya teringat kata-kata yang saya baca dalam coretan Aiman Azlan,
“Your grades do not determine your self-worth.”
“Keputusan peperiksaan kamu tidak menentukan nilai kamu sebagai seorang individu.”
Saya sangat setuju dengan apa yang diperkatakan. Sebenarnya, yang penting dalam soal menuntut ilmu ini, bukanlah tentang gred yang kita dapat. Yang penting ialah, sejauh mana penghayatan ilmu di dalam dada. Kalau kita dapat gred yang tinggi pun, tapi tiada penghayatan ilmu, apa guna?
Saya teringat kejadian yang sering berlaku sewaktu exam. Ada yang sanggup meniru hanya kerana mahu markah yang tinggi. Sedarlah kawan....
Apa guna tinggi markahmu, tetapi kau meniru?
Hanya semata-mata kerana markah, kau sanggup hilang barakah?
Jangan terlalu obsess pada nombor sehingga kau sanggup buat sesuatu yang boleh mendatangkan murka Allah.
Hayati kata-kata yang dikeluarkan oleh Aiman Azlan ini:
“Keputusan peperiksaan ada kepentingannya, tetapi tidak ada kaitan dengan nilai keseluruhan seseorang individu. Sekiranya kita tidak cekap dalam sesuatu perkara, itu tidak bermakna kita tidak cekap dalam semua perkara. Islam jelas prinsipnya dalam hal ini. Islam tidak menekankan manusia untuk obsesi pada keputusan akhir. Islam menekankan supaya bersihkan niat, cuba yang terbaik, dan bertawakal kepada Allah.
Walau apapun keputusan akhirnya, sama ada menepati keinginan diri ataupun tidak, seorang Muslim itu tetap akan bersyukur kerana pahala daripada Allah tidak bergantung pada keputusan akhir. Tetapi, bergantung pada niat dan usaha. Allah menghargai usaha kita, bukan keputusan akhir kita.”
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Al-Insan, ayat 22:
“Sesungguhnya, segala pemberian ini adalah untuk kamu sebagai balasan, dan adalah usaha amal kamu di dunia dahulu, diterima dan dihargai oleh Allah.”
Jadi, usah kecewa jika mendapat gred yang biasa-biasa sahaja. Gred bukan segala-galanya. Yang penting kita mencuba untuk lakukan yang terbaik dan sentiasa berusaha. Allah Maha Menilai setiap inci usaha kita. Ingat, penghayatan ilmu adalah yang lebih utama, bukan gred semata-mata.
Jangan obsess dengan nombor, tau. smile emoticon
Dan, jangan sedih jika dapat markah yang biasa-biasa sahaja. Tanya semula pada diri, "Kenapa perlu sedih kalau kita memang sentiasa gigih berusaha? Tawakkal 'allallah!"
Semoga kita sentiasa setting niat,
“Sahaja aku belajar, kerana Allah Ta’ala.”
Ingat. Penghayatan ilmu yang utama, bukan gred semata-mata. wink emoticon

Saturday, January 24, 2015

Coretan: Aku Mahu Kembali Menulis

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Alhamdulillah. Allah beri saya kesempatan untuk menulis sesuatu pada hari ini. Terlalu rindu hendak menulis. Rindu. Sangat rindu. Terlalu lama saya tidak meluangkan masa untuk menulis sesuatu yang bermanfaat buat diri dan ummah.

Tetapi hari ini.... semangat kembali menggugah. Alhamdulillah.

Semangat ini datang mungkin selepas saya membaca sebuah buku yang benar-benar menyentuh hati saya. Hati yang sangat dahagakan motivasi untuk terus menjadi muslimah yang berguna buat agama, bangsa dan negara.

Buku yang saya baca itu bertajuk, “Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti” yang ditulis oleh Hilal Asyraf dan Aiman Azlan. Kedua-duanya sama hebat. Masing-masing dapat menjadi contoh buat pemuda-pemudi zaman ini. Kedua-duanya mempunyai fikrah yang bagus ketika di usia muda lagi. Boleh dijadikan ikon buat sekalian remaja dan diri saya sendiri.

Salah satu bab yang ditulis oleh Hilal Asyraf ialah, “Berdakwah Melalui Penulisan”. Tatkala membaca fikrahnya yang ini, hati saya disentuh oleh sesuatu. Allahu Akbar. Saya dapat rasa seolah-olah Allah sedang ‘memanggil’ saya untuk menulis kembali. Memang ketika itu, hati saya betul-betul rindu untuk menulis. Cuma, kekurangan yang ada pada diri saya membuatkan saya terbantut untuk menulis. Barangkali saya lupa bahawa manusia tidak akan pernah sempurna. Barangkali saya lupa, setiap manusia pernah membuat silap dalam hidupnya. Begitu juga dengan saya. Saya bukan Nabi yang maksum abadi. Saya bukan malaikat, cuma mampu sentiasa beringat. Jadi mengapa langkah saya terhenti untuk menghasilkan sesuatu buat umat ini?

Allahu Akbar. Sayunya hati. Maafkan aku, ya Rabbi.


Pendakwah Manusia Sempurna

Saya teringat akan kata-kata Imam Hasan Al-Basri, “Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka, akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan.”

Benar. Jika kita menunggu kesempurnaan pada diri kita, ia ibarat menunggu bulan jatuh ke riba. Mustahil. Sangat mustahil. Manusia memang tidak boleh menjadi sempurna. Tetapi boleh sentiasa memperbaiki dirinya. Jika pernah melakukan kesilapan, perbetulkan. Jangan bantutkan perjuangan. Jika pernah jatuh, bangun kembali. Jika jatuh lagi? Bangunlah lagi! Walaupun berkali-kali telah jatuh, jangan pernah berputus asa untuk bangkit kembali. Hendak menjadi pendakwah itu, tidak perlu tunggu ketika diri sudah menjadi sempurna. Kerana, hakikatnya kita memang tidak akan pernah sempurna. Namun, sentiasalah perbaiki diri, sambil mengajak orang lain.

Dakwah ini, tanggungjawab semua. Setiap umat Islam ialah pendakwah. Tidak perlu menunggu gelaran “ustaz” atau “ustazah”, kita semua sememangnya memang bertanggungjawab untuk berdakwah. Tidak perlu juga menunggu untuk digelar “Da’i”, “Imam Muda”, “Ustazah Pilihan” dan sebagainya, sememangnya kita sudahpun menggalas tanggungjawab untuk terus menyebarkan Islam.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah memberitahu hal ini dalam Surah An-Nahl, ayat 125 yang bermaksud:

“Serulah ke jalan Tuhanmu, dengan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya. Dia yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Ingat, setiap umat Islam menggalas tanggungjawab sebagai da’i, tiada yang terkecuali. Kita diciptakan adalah untuk memimpin dan mentadbir. Kita semua ialah khalifah di bumi Allah ini. Hal ini telahpun Allah nyatakan di dalam Surah Al-Baqarah,, ayat 30. Jadi, meskipun kita memang mempunyai kelemahan, tetapi itu bukan alasan untuk hentikan perjuangan. Jika bukan kita yang menegakkan dan menyebarkan agama yang suci ini, siapa lagi?


Semangat Mereka

Saya teringat akan kata-kata beberapa orang yang sentiasa memberi sokongan kepada saya. Mereka yang sangat saya hormati dalam hidup saya. Ingin juga saya kongsikan kata-kata mereka di sini sebagai penguat semangat bagi diri saya.

Kata-kata Kak Ai, kakak kandung saya:

“Semakin Una besar, penulisan Una semakin matang. Sibukkan diri Una dengan menulis. Isi masa dengan penulisan yang sepatutnya. Kak Ai yakin Una boleh. Cayok cayok, Una!”

Terharu dengan Kak Ai yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan. Semoga Allah sentiasa merahmati kakakku, Nor Aisyah Binti Birkamsin dan seluruh ahli keluargaku. Amin.

Kata-kata Cikgu Azim, seorang guru yang saya kenali ketika menyertai Kem Pengawas Tahun 2011 dulu:

“Teruskan menulis. Kamu ada bakat dalam bidang penulisan.”

Dan, Cikgu Azim pernah berkata lagi:

“Bila cikgu dapat tengok buku kamu sebaris dengan buku-buku Fatimah Syarha?”

Dulu, Cikgu Azim pernah menawarkan untuk menerbitkan buku hasil penulisan saya. Cuma, Allah belum mudahkan. Waktu itu, saya memang bersemangat untuk terima. Maka, saya terima. Kemudian, saya blank. Blur. Tidak tahu mahu tulis apa. Dengan ujian yang Allah timpakan kepada saya ketika itu, membuatkan saya down, lalu terbantut untuk menulis. Rasa tidak layak. Selalu sahaja kata-kata yang negatif bermain di benak saya ketika itu. Sekarang, saya akan sentiasa cuba untuk tepis segala yang negatif. Insya-Allah.

Berbulan-bulan selepas itu, Cikgu Azim menghubungi saya. Dia menyatakan bahawa dia dan krew-krewnya memohon maaf kerana tidak dapat menjadi penerbit untuk buku saya. Ada sedikit masalah yang mereka hadapi. Ketika itu, saya dapat rasa yang Allah betul-betul hendak saya sedar bahawa,

“Bukan masanya kamu terbitkan apa-apa buku hasil penulisanmu lagi saat ini.”

Saya muhasabah. Sekali-kali tidak akan menyalahkan Allah. Saya yakin, semuanya ada hikmah. Dan, saya juga yakin, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk saya. Maka, di waktu ini, saya cuba memperbaiki diri saya. Saya mahu membentuk fikrah yang matang. Perlu ada pemikiran yang baik terhadap sesuatu perkara. Perlu berfikir di luar kotak. Perlu berfikiran dengan lebih meluas. Jangan pernah bermain-main ketika di usia muda. Hadapi hidup dengan lebih matang, kerana hidup ini penuh erti. Saya juga yakin, Allah Maha Mengetahui segala niat saya. Suatu hari nanti, pasti Dia akan memudahkan segalanya. Cuma, saya perlu terus bersabar dan terus berusaha. Insya-Allah.

Seterusnya, saya teringat kata-kata Ustaz Amal beberapa tahun yang lepas. Ketika itu, saya telah menyatakan kepada ustaz bahawa saya sangat meminati bidang penulisan dan saya kongsikan link blog saya. Respon ustaz:

“Kalau Husna minat menulis, tuliskan sebuah buku motivasi, ada 40 bab. Ustaz akan terbitkan. Gunakan bahasa yang santai seperti bahasa percakapan. Dah siap, bagi ustaz.”

Allahu Allah. Sayang seribu kali sayang. Ketika itu, saya tidak memanfaatkan peluang. Habis, terbang melayang.

Dan, sekarang saya mahu memulakannya kembali. Saya mahu aktif semula menulis. Insya-Allah akan betul-betul serius untuk menulis kali ini. Jika saya sudah berjaya menghasilkan artikel yang banyak, baru saya akan cuba mencari inisiatif untuk membukukannya. Insya-Allah. Doakan saya. Semoga dapat menjadi penulis yang berjaya di dunia dan di akhirat. Doakan saya ya. Insya-Allah.


Usah Mempertuhankan Kelemahan

Setelah membaca buku “Cerita Dari Hati, Hidup Penuh Erti” tersebut, saya semakin sedar bahawa hidup ini benar-benar penuh erti. Allah banyak membuka minda saya melalui fikrah-fikrah yang dilontarkan oleh Hilal Asyraf terutamanya. Maka, sebab itu pada hari ini, semangat saya kembali menggugah untuk membiarkan jari saya menari.

Bak kata Hilal Asyraf dalam sebuah bab yang bertajuk ‘Usah Mempertuhankan Kelemahan’:

“Manusia memang akan mempunyai kekurangan. Namun itu bukan alasan yang perlu diperbesar-besarkan. Berhenti menjadikan kelemahan sebagai alasan. Sekiranya ada kelemahan, cari jalan bagi mengatasinya. Bukan mempertuhankannya. Lihat dan ikhtiarkan bagaimana mahu mengatasi kelemahan itu. Senaraikan kekuatan yang ada, dan ketahuilah bagaimana hendak menggunakannya.”

Setelah membaca bait-bait kata tersebut, saya tersedar. Saya perlu menerima hakikat bahawa saya memang mempunyai kelemahan, namun itu bukan alasan untuk saya berhenti dalam dakwah saya melalui penulisan. Setiap kesilapan yang pernah saya buat dalam hidup ini, bukan bererti saya tidak layak menyebarkan Islam lagi. Tidak, tidak, tidak. Saya perlu kembali bersemangat untuk menghasilkan sesuatu buat umat ini. Saya perlu bersemangat untuk menyumbangkan sesuatu untuk umat ini. Kerap kali saya bertanya kepada diri saya,

“Selama berumur 21 tahun ini, apa yang telah aku sumbangkan untuk Islam?”

Allahu Akbar. Tidak tahu. Tiada jawapan. Maka, saya perlu bangkit dengan kekuatan yang ada supaya dapat memperbaiki kelemahan yang ada. Kesilapan semalam, jadikan pengajaran. Hadapi kehidupan sekarang dengan mengerahkan segala kekuatan iaitu dengan iman. Ajak orang buat baik, tetapi dalam masa yang sama, kita berusaha menjadi baik. Bukan di mata ciptaan-Nya, tetapi di mata Dia, Sang Pencipta. Bak kata Almarhum Syeikh Mustapha Masyur,

“Perbaikilah diri kamu sambil mengajak orang lain.”

Akhir kata, buat kamu yang sudi meluangkan masa untuk membaca penulisan saya ini, terima kasih saya ucapkan. Doakan saya, semoga impian saya untuk menjadi penulis, berjaya. Berjaya di dunia dan di akhirat. Doakan saya, semoga impian saya untuk menghasilkan sebuah buku pada tahun ini, terlaksana. Insya-Allah. Semoga Allah memudahkannya. Ini cuma target saya. Bukan suatu janji. Dan saya belum tandatangan apa-apa kontrak pun lagi. :)  Ia cuma target sahaja. Mohon doakan yang terbaik. Saya doakan, kamu juga berjaya di dunia dan di akhirat. Semoga kamu dirahmati Allah selalu.

Semoga dapat bertemu kamu di Syurga nanti ya. Insya-Allah. :)

“Hidup ini penuh erti. Perlu sentiasa berbakti. Kau pernah berkata yang kau cintakan Tuhan, terus mana bukti? Kalau benar cinta, ambil tindakan. Bukan terus-terusan mencari kekurangan. Sehingga perjuangan ini kau bantutkan. Sedarlah. Umat ini memerlukan fikrahmu. Sebarkan dakwahmu. Tebarkan ilmumu. Maka, akan tersebarlah bahagia kepada seluruh manusia, dengan izin-Nya....”


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...