Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda :-
"Allah telah berfirman, 'Aku telah membahagi (kandungan makna) surah Al-Fatihah untuk-Ku dan untuk hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca , 'Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
'Allah akan membalasnya dengan berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah memuji-Ku.'
Apabila dia membaca, 'Yang menguasai Hari Pembalasan.'
Allah berfirman, 'Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.' lalu Allah berfirman sekali lagi, 'Hamba-Ku telah pasrahkan segala urusannya kepada-Ku.'

Apabila dia membaca, 'Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.'
Allah berfirman, 'Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.'

Apabila dia membaca 'Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau beri nikmat (iman) ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.'
Allah berfirman, 'Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dia pinta.' "

(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa'ie dan Ibnu Majah)


Monday, October 19, 2015

Seuntai Kata, Meluahkan Rasa

Tepat jam 12.30 tengah hari, ETS Train berlepas ke Ipoh, Perak.

Saat ini, aku masih lagi terbayang-bayang kebengisan wajah Babah tatkala menghantar aku ke KL Sentral. Sungguh, aku tidak tahu apa yang sedang Babah rasakan ketika itu. Jujurnya, aku bukan mahu mencari Babah ketika aku butuhkannya saja. Apalagi mahu menderhaka, jauh sekali. 

Menjadi penderhaka, bukan matlamat hidup aku di dunia ini. Nau'zubillahi min zalik. Tentu saja, aku mahu menjadi wanita solehah yang aku idam-idamkan selama ini.

Aku tidak tahu, mengapa hubungan aku dengan Babah sudah menjadi agak keruh. Padahal, akulah orang yang mula-mula memperbaiki hubunganku dengan Babah saat yang lainnya menjauh. Biarpun saat aku ingin memperbaiki hubunganku dengan Babah, Babah buat tidak endah, aku tetap kuatkan hati untuk memperbaiki hubungan ini. Setahun aku makan hati. Setiap kali aku datang menjenguk Babah ketika itu, Babah banyak diam dan biarkan aku seperti tunggul saja. Aku tahan saja air mata, memendam rasa. Pulang sahaja ke rumah, air mataku mengalir deras. Menangis sendirian. Hanya Allah yang Maha Menyaksikan segala kehibaan.

Ketika berumur 17 tahun, hubungan aku dengan Babah sudah semakin baik. Aku masih lagi istiqomah menjenguk Babah. Dan yang paling penting, adik-beradik yang lain juga sudah mula membina hubungan baik dengan Babah. Alhamdulillah, aku sangat bersyukur ketika itu kerana Allah memudahkan niat baikku. Sasaranku tidak tersasar tetapi sudah tercapai.

Namun kini, saat yang lainnya sudah berbaik-baik dengan Babah, aku pula sebaliknya. Aku dengan Babah tidak sebaik dahulu, kini cuma biasa-biasa saja. Kalau dulu, aku boleh bercanda dengan Babah tetapi kini tidak lagi. Kalau dulu, aku boleh meminta bantuan daripada Babah tetapi kini rasa kekok sekali. Kalau dulu Babah sering mencariku tatkala ingin ke mana-mana tetapi kini aku tidak lagi dicari. 

Hubungan aku dengan Babah sudah renggang.

Semuanya bermula ketika tahun lepas. Tahun 2014.

Ketika itu, aku sangat membutuhkan pertolongan Babah untuk menghantar aku pulang ke Perak. Inilah kali pertama aku meminta bantuan Babah untuk menghantarku. Tidak terniat langsung di hati untuk membebankan Babah. Cuma, barang aku memang sangat banyak ketika itu. Cuma memerlukan Babah untuk hantar sahaja. Segala kos, aku sedia menanggungnya dengan menggunakan duit hasil bekerja di Kacamuda Resources.

Dua kali aku meminta pertolongan Babah, namun Babah buat tidak endah sahaja. Ma shaa Allah, hibanya hati hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Babah lebih melayan permintaan Kak Ya, berbanding permohonan bantuan aku. Hati menjadi semakin hiba. Tidak mampu lagi aku memendam rasa. Tidak mampu lagi mengawal emosi. Ketika itu, aku biarkan nafsu menguasai diri.

Aku lantas menjauh..... Menjauh..... Dan terus menjauh.

Terus aku lupa akan matlamat sebenarku mewujudkan hubungan baik dengan Babah. Aku sebenarnya mahu menjadi anak solehah buat Emak dan Babah. Oleh kerana itu, aku cuba lupakan segala yang pernah Babah buat terhadap kami. Segala ketidakacuhan, aku cuba untuk lupakan.

Namun kini, lain pula yang terjadi. Aku dengan Babah, tidak begitu baik seperti dulu lagi. Biasa-biasa cuma.

Ya Allah.. Bukan niat hamba untuk menjadi anak derhaka. Ingin sekali hamba berbakti kepada kedua orang tua hamba. Tapi hati hamba tidak sekuat dulu.... Jiwa hamba yang dahulu sudah semakin hilang... Entah ke mana dia pergi. Hamba terkapai-kapai ya Allah.... Banyak yang telah 'pergi' dan 'hilang' dari hidup hamba.... Hamba dapat merasakannya... Mengapa semua ini terjadi ya Allah.... Tolonglah berikan hamba kekuatan iman sepanjang perjalanan. Jangan Kau pesongkan hatiku setelah Kau beri aku petunjuk. Hamba ini cuma hamba yang lemah. Siapalah hamba tanpa ada Kau disisiku....

Kurniakan aku hati yang baru. Hati yang sentiasa tunduk dan patuh akan perintah-Mu. Semoga dengan kurniakan hati yang baru itu, aku menjadi seorang insan yang jauh lebih baik dari yang sebelum-sebelumnya. Jauh lebih baik dari sosokku yang mula-mula berhijrah dahulu.

Tolonglah ya Allah... Tolong hamba.

Terima kasih duhai Allah atas segala pemberian-Mu. Di kesempatan ini, ingin aku panjatkan kesyukuran kerana telah Kau kirimkan seorang Paman yang begitu penyayang. Sempatlah juga aku merasakan curahan kasihnya biarpun sebentar cuma. Hanya lebih kurang 7 hari aku bertemu dengan Paman, tetapi wujud rasa kasih yang agak dalam dari lubuk hatiku buat Paman. Subhanallah, semua dengan izin-Mu. Beginilah rupa-rupanya keindahan hidup bersaudara. Jauh, tapi dekat. Dekat, tapi jauh. Subhanallah....

Kadang, aku jadi berfikir sendiri. Untungnya anak-anak paman miliki seorang ayah yang begitu penyayang. Sangat menjaga hati orang sekeliling sehinggakan ramai orang berasa senang ketika berada bersama dengannya. Tidak pernah aku lihat paman marah-marah. Bicaranya lembut saja. Nasihatnya juga berhikmah sehingga menusuk ke hati. Aku doakan, semoga paman miliki derajat yang tinggi di sisi-Nya. Semoga paman istiqomah dengan segala kebaikan yang dibuatnya. Dan semoga paman dilindungi dari segala kejahatan.

In shaa Allah, aku akan mengingati paman sampai bila-bila. Segala nasihatnya, aku sematkan di hati dan cuba mengamalkannya, in shaa Allah.

Paman E'en... Anak saudaramu ini tak akan melupakanmu selama mana Allah mengizinkan aku untuk mengingatimu. Semoga Paman E'en sekeluarga  sentiasa berada di bawah naungan rahmat Allah. 

Sekiranya Allah mengizinkan, in shaa Allah, aku akan ke Indonesia suatu hari nanti, untuk menziarah keponakanku di sana. Aku kepingin berjumpa dengan Paman yang lainnya dan semua Etek yang berada di sana. Semoga Allah memurahkan rezekiku dan memudahkan niat baikku. Kepingin rasanya berjumpa dengan sepupuku dan seluruh saudara aku di Indonesia. :)

Paman E'en, jaga diri baik-baik. Jika diizinkan Tuhan, kita jumpa lagi ya. Doakan kami di sini. Doakan saya ya, semoga saya kuat iman. Terima kasih nasihatkan saya tentang peranan seorang anak tu ya. Thanks for everything, Paman. May Allah rewards you with the best rewards. :)

Allahumma Aamiin.

〰 syahidatulhusna ⚫in ETS Train ⚫1358 ⚫ 19102015 〰
〰 sekadar ingin meluahkan secebis rasa hati 〰


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...