asikal buruknya ditongkatkan. Dia masuk ke dalam rumah lalu
dihenyakkan punggung di atas kerusi.Terdengar helaan nafas yang
panjang. Kepalanya dipicit-picit walaupun tidak sakit. Dadanya diurut-urut. Perasaannya
kalut. Fikirannya serabut. Terasa ingin mempersoalkan takdir. Namun, dilawannya
dengan alunan zikir. Terasa ingin menjerit bagi mengubat sakit. Namun, ternyata
hanya menambah perit.
“Emak, abah tidak pulang ke rumah lagi ya semalam?”, Layyinah memecah
kebuntuan fikirannya.
Pertanyaan anak sulungnya dibalas dengan anggukan cuma.
“Sudahlah emak.Along risau tengok emak berkeadaan begini.
Insya-Allah, Along akan bantu emak apa yang Along mampu untuk sara hidup kita
sekeluarga.”, pujuk Layyinah.
“Bukan itu masalahnya, Along. Emak difitnah lagi..... Orang kata
emak tidak reti jaga suami. Sebab itu suami tidak balik-balik. Abah kamu cerita
yang bukan-bukan tentang emak. Emak malu, Along.... Emak berpenat lelah mencari
rezeki yang halal, orang pula mengata yang bukan-bukan. Emak tidak tahu nak
mengadu pada siapa. Emak tidak punya keluarga di sini, Along....... Hiba hati
emak. Hiba sangat.”, air matanya bercucuran. Keperitan hati tidak dapat
ditahan. Dirinya menghadapi berbagai-bagai cercaan.
Layyinah mengusap-usap belakang ibunya. Kebenciannya terhadap ayah
sendiri semakin memuncak. Seolah-olah menunggu masa untuk meledak. Geram melihat
ibunya diperlakukan seperti kuli batak! Sekiranya memerlukan ibu, ayah pasti
pulang menabur janji asalkan kemahuannya ditepati. Setelah kemahuan ayah
tercapai, ibu dibiarkan terkapai-kapai. Lesapnya ayah, lesaplah janji-janjinya.
Ah...! Aku benci abah!
BOYAK !
“Merajuk, merajuk, merajuk! Itu sahajalah yang dia tahu. Perasaan
aku ini langsung tidak diambil peduli!”, dia bermonolog sendiri.
Kelmarin, suaminya pulang setelah beberapa bulan tidak menjejakkan
kaki ke rumah. Keperluan anak-anak dan dirinya tidak diendah. Lepas tangan dengan
mudah. Itulah sifat suaminya yang tidak berubah-ubah! Nafkah tidak diberi. Rasa
tanggungjawab sebagai ayah dan suami, entah ke mana melayang pergi!
Suaminya mengemas beg pakaian lalu melangkah pergi tanpa sebarang
bunyi. Sepatah kata pun tidak diucapkan. Membuatkan dirinya bertambah tidak
keruan. Sembilan anak mereka yang perlu diberi makan. Gajinya pula, masih tidak
cukup untuk memenuhi keperluan mereka anak-beranak. Dia yang hanya bekerja
sebagai pencuci pejabat cuma berpendapatan RM800 sebulan. Kini, dia kehilangan
pekerjaan ekoran difitnah oleh rakannya sendiri. Rakannya bercerita yang
bukan-bukan tentang dirinya kepada majikan. Sungguh tidak berperikemanusiaan.
Kawan makan kawan! Kehilangan kerja, membuatkan dia kehilangan sumber pendapatan. Mujur,
masih ada simpanan untuk memulakan perniagaan. Biarpun, cuma kecil-kecilan. Suaminya
pula, buat tidak kisah. Seolah-olah, anak-anak itu lahir sendiri tanpa seorang
ayah. Sadis!
“Emak, abah mana? Tadi adik nampak abah tapi sekarang sudah tidak
ada. Adik sedih. Semua orang bermanja-manja dengan abah mereka. Tapi, adik tidak
pun.”, anaknya yang paling bongsu menghampirinya yang sedang mengemas pinggan
mangkuk. Mencebik.
“Fasehah, sayang... Janganlah sedih... Emakkan ada? Emak tidak akan
tinggalkan semua anak emak, ya? Fasehah belajar pandai-pandai di tadika, lepas
itu jadi orang yang berjaya.Boleh ubah nasib kita sekeluarga. Boleh?”,
balasnya. Hatinya sedikit tersentuh dengan kata-kata anak bongsunya. Namun,
disimpannya jauh ke dalam lubuk hati. Biarlah Allah sahaja yang mengetahui. Tiada
guna diluahkan, jika semakin menambah calar dihati, fikirnya.
Fasehah akhirnya tersenyum. Satu ciuman singgah di pipi ibunya. Anak
kecil itu kemudiannya berlari-lari anak ke ruang tamu untuk menyambung
permainannya yang ‘tergendala’ sebentar tadi.
Dia semakin hiba. Tidak pernah terjangka olehnya bahawa rumahtangga
‘binaan’nya hanya dipenuhi sengsara. Derita. Perit dan sakit tidak
terkata. Kebahagiaan yang diimpikannya selama ini hanya tinggal
ilusi. Kesengsaraan yang selama ini hanya ilusi dalam drama televisyen, ternyata
telah menimpa diri.
Kata orang, calon pilihan ibu bapa ialah calon yang terbaik.Tanpa
membantah, dia menurut sahaja kemahuan orang tuanya yang ingin melihat dia
bernikah. Dalam keadaan terpaksa rela, dia akhirnya melangsungkan pernikahan
dengan lelaki yang dia tidak sukai. Namun, dipaksa juga diri untuk cuba
mencintai. Ketaatan sebagai isteri sering ditumpahkan buat sang suami. Di awal
pernikahan lagi, sang suami sudahpun menunjukkan belang. Barannya tidak dapat
dihalang. Hampir setiap hari, dia dilempang bagai tiada perasaan sayang dalam
diri suami buat dirinya. Sedikit sahaja perkara yang suaminya tidak senang,
habislah dirinya diterajang!
Kini, dia sudah boyak! Bosan! Sudah 20 tahun dia bertahan, suaminya
tetap langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan. Panas baran suaminya masih
sama. Sifat kuat merajuk masih serupa.Asal sahaja dia tidak menuruti kemahuan
suaminya, suaminya pasti membawa diri.Merajuk?Ingin aku pujuk? Ah....! Aku
boyak!
RUNSING .
“Assalamualaikum.....”, sapaan salam di muka pintu rumah membuatkan
dirinya kembali ke alam nyata.
“Wa’alaikumussalam. Encik cari siapa?”, jawabnya.
“Puan Khadijah ada di rumah?”, soal lelaki itu.
“Ya, saya Puan Khadijah. Ada apa ya encik ke mari?”, dia menyoal
kembali.
“Maaf, puan.Saya pekerja Tuan Hamzah. Sudah dua bulan puan tak
bayar duit sewa rumah. Tuan ada pesan, jangan sampai berlambakan sangat,
puan. Takut beban sangat pada puan nanti. Katanya, ansur-ansur dulu pun
boleh.RM600 tunggakan sewa puan untuk dua bulan ini. Tuan sudah kurangkan jadi
RM500.” , jawab lelaki itu. Sopan.
“Maaf, encik. Duit gaji saya yang bulan lepas masih belum dapat
lagi. Duit simpanan saya juga sudah habis. Saya baru kehilangan kerja. Beritahu
kepada Tuan Hamzah, Insya-Allah saya akan cuba bayar secepat mungkin.”, dia
berkata.
“Baiklah. Akan saya sampaikan kepada tuan. Semoga puan dirahmati
Allah selalu.” , balas lelaki itu sambil menyedekahkan satu senyuman buatnya.
“Terima kasih ya. Insya-Allah.”, balasnya pula. Lelaki itu sekadar
mengangguk dan berlalu pergi.
‘Ya Allah.... Yuran anak-anak masih tidak terbayar. Hutang di kedai
runcit juga sudah semakin bertambah. Duit sewa rumah pula, sudah
tertangguh. Pekerjaan pula, sudah tiada. Bagaimana nasibku ini...... Hanya
kepada-Mu tempat aku mengadu.... Ya Allah.... Tunjukkanlah jalan keluar bagi semua
ini. Aku benar-benar buntu. Hanya Engkaulah yang dapat membantu. Bantulah aku, ya
Allah.......’ , hatinya merintih pedih.
Ujian hidup menimpa dirinya secara bertubi-tubi. Kehilangan kerja
beberapa hari lepas membuatkan fikirannya bertambah runsing. Disebabkan dengki,
dia difitnah oleh rakannya di tempat kerja. Rakannya mereka-reka cerita tentang
dirinya. Majikannya pula menerima bulat-bulat tanpa usul periksa. Dia cuba
bersabar walaupun terasa sukar. Biarpun dia telah menafikan tuduhan yang
dilemparkan, semuanya masih tidak makan saman.
Walaupun telah kehilangan sumber pendapatan, dia tetap tidak
mengalah. Simpanan wang yang masih bersisa, dimanfaatkannya untuk dibuat modal
berniaga secara kecil-kecilan. Namun, untung berniaga yang diperoleh, hanya
cukup-cukup untuk makan pakai anak-anaknya. Lebih daripada itu, dia terpaksa
berhutang daripada mereka yang berkemampuan.
Empat minggu sudah berlalu.Kiranya, sudah masuk bulan ketiga sewa
rumahnya tertangguh. Dia benar-benar buntu. Imannya pula menggerutu. Terkadang
mengeluh dan seolah-olah menyoalkan takdir. Gajinya daripada majikan terdahulu,
masih tidak dapat-dapat. Dia sudah mula membuat tebakan. Pasti majikannya tidak
mahu membayar gajinya untuk bulan terakhir dia bekerja. Geram sungguh rasanya.
“Tok! Tok! Tok!”, ketukan pintu rumahnya membuat dia panik.
‘Aduh!Bagaimana ini? Aku masih tidak punya wang! Ya Allah....
Janganlah aku dihalau. Ya Allah... Tolonglah aku.... Tolonglah aku, ya
Allah......”, keringat paniknya mencurah-curah.
“Tok! Tok! Tok!” , ketukan itu kedengaran lagi. Dia memberanikan
diri untuk membuka pintu. Terkejut. Bagaimana lelaki ini boleh berada di hadapan
pintu rumahnya? Hatinya tiba-tiba penuh tanda tanya. Seribu soalan yang
terungkai perlu dileraikan.
LELAKI ITU ...
“Maaf, kak.Penat saya cari rumah Kak Ijah tadi. Mujur, jumpa juga
akhirnya. Alhamdulillah.”, Sulaiman berkata.
“Terkejut Kak Ijah. Ada apa kamu ke mari? Kamu masih bekerja
melukis batikkah? Kawan-kawan di sana apa khabar?”, dia menyoal. Dirinya
dirundung pelbagai persoalan. Sudah dua tahun dia tidak ketemu dengan Sulaiman. Kedatangan
Sulaiman pada hari itu membuatkan dia kebingungan.
“Alhamdulillah, masih bekerja melukis batik, kak. Kawan-kawan pun,
sihat-sihat semuanya. Saya ke mari ingin menyampaikan bungkusan ini. Amanah
daripada Encik Hisyam.”
“Bungkusan apa ini?”
“Kak Ijah masih ingat? Dulu sewaktu Kak Ijah masih bekerja melukis
batik, Kak Ijah masih belum terima gaji untuk bulan terakhir sebelum Kak Ijah
berhenti secara tiba-tiba. Kebetulan, Kak Ijah tiba-tiba pindah rumah. Saya
kehilangan alamat tempat tinggal Kak Ijah. Jadi, saya tidak dapat memberikan
bungkusan ini ke tangan Kak Ijah serta merta. Saya kemudiannya menyimpan wang
ini ke dalam bank saya untuk sementara waktu. Maafkan saya ya. Setiap hari, saya
berdoa supaya dipertemukan dengan Kak Ijah. Rasa berat sangat sebab amanah masih
tidak tertunai. Alhamdulillah, hari ini sudah rasa ‘ringan’ sikit.”, Sulaiman
menerangkan dengan panjang lebar. Senyumannya juga turut melebar. Benar-benar
lega!
“Alhamdulillah, ya Allah......... Alhamdulillah....................”,
air mata keterharuan bercucuran. Allah itu benar-benar Maha Menunjukkan jalan.
Sulaiman tersenyum. Terkadang, terasa hendak menitiskan air mata
tatkala melihat air mata Kak Ijah berguguran. Tersentuh hati kudus Sulaiman.
“Dalam bungkusan ini, ada RM1800. Saya yakin, Kak Ijah sangat
membutuhkannya.”, Sulaiman memberitahu.
“Gaji Kak Ijah yang saya simpan, RM1500.Lagi RM300 itu, memang saya
sudah berniat hendak berikan kepada Kak Ijah apabila saya dapat bonus sewaktu
kita bekerja sama-sama dulu.Semoga Kak Ijah sudi menerimanya.” , Sulaiman
menyambung bicaranya.
“Tapi Sulaiman, bukankah gaji Kak Ijah dulu cuma RM900 saja?
Bagaimana boleh menjadi RM1500?”
“Waktu itu, perniagaan batik Encik Hisyam naik mendadak. Jadi,
setiap orang dapat bahagian bonusnya masing-masing, kak.”
Dia mengangguk-angguk tanda mengerti. Setelah semuanya jelas,
Sulaiman meminta izin untuk pulang. Dia mengiringi Sulaiman ke muka pintu sambil
mengucap syukur serta ucapan penghargaan buat Sulaiman yang benar-benar
bersifat amanah. Dia takjub melihat Sulaiman yang benar-benar bertanggungjawab
dan jujur.
ADA JALANNYA ...
Dia tidak henti-henti bersyukur. Sungguh, Allah benar-benar Maha
Pemurah. Di setiap kesulitan yang dialami, pasti ada kemudahan yang akan
menyusuli. Benarlah firman Allah dalam surah Al-Insyirah ayat 4 dan ayat 5.
Sungguh, Allah benar-benar tidak memungkiri janji! Dalam surah Al-Ankabut, ayat
63, Allah telah berfirman bahawa Allah berkuasa untuk melapangkan rezeki bagi
sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya dan Allah juga berkuasa
untuk membatasinya kerana Allah itu Maha Mengetahui segala sesuatu. Sebagai
hamba yang mengaku taat kepada-Nya, dia hanya perlu pasakkan keyakinan terhadap
kekuasaan Allah s.w.t.!
“Manusia ini, pelik.Kadangkala, sering merisaukan sesuatu yang
Allah sudah jamin. Contohnya, Allah sudah jamin bahawa Dialah yang akan beri
rezeki kepada kita. Tapi apa yang perlu kita buat? Kata Allah, ‘sembahlah aku’.
Maksudnya di sini, kita cuma perlu taat kepada Allah. Solat jangan tinggal!
Pasti rezeki akan Allah beri. Yang penting, taat dan solatlah! Ini tidak, sibuk
kejar harta, solat entah ke mana! Kalau beginilah sikap kita, keberkatan pasti
akan ditarik oleh-Nya. Nau’zubillah..! Ianya mesti seiring. Usaha perlu ada. Solat
perlu dijaga. Tuan-tuan dan puan-puan, ingatlah bahawa Allah telah berfirman
dalam Surah Hud, ayat 6 yang bermaksud, ‘Dan tiada satu pun makhluk bergerak
(bernyawa) di muka bumi melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya. Dia
Mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semua telah tertulis
dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuz).’ Ingat ya tuan-tuan dan puan-puan, jika
dunia yang kita risaukan, akhirat diabaikan, dunia akan ‘lari’. Namun, jika
akhirat yang kita risaukan, dunia pasti akan ‘ikut’ sekali.”, ceramah Ustaz
Kariman tempoh hari tiba-tiba terngiang-ngiang di telinganya.
‘Benarlah kata ustaz. Rezeki kita telahpun dijamin oleh Allah. Yang
penting, sembahlah Allah. Jangan sekali-kali mengabaikan segala perkara yang
telah diperintahkan oleh Allah. Setiap beban yang Allah pikulkan, pasti akan
diringankan jika keyakinan kepada-Nya dipasakkan. Pasti ada ‘jalan’ bagi setiap
kesusahan. Pasti!’, fikirnya. Akalnya semakin hari, semakin membentuk fikrah
yang baik. Alhamdulillah.